Sembunyikan lelah demi keluarga, Shiha Zikir terjemah kisah Hazreen Amreena menerusi Teruskanlah

Iklan

ADA masanya seseorang terpaksa menyembunyikan keletihan di sebalik senyuman, terus melangkah dan menggalas tanggungjawab meskipun hati sendiri sedang sarat dengan beban.

Lebih-lebih lagi bagi mereka yang menjadi sandaran keluarga, perjuangan mencari rezeki dan memastikan insan tersayang terus bahagia adakalanya membuatkan perasaan sendiri terpaksa diketepikan.

Iklan
Iklan

Situasi itu menjadi inti pati single terbaharu penyanyi naungan Shiha Zikir Empire, Hazreen Amreena, berjudul Teruskanlah yang mengangkat kisah pengorbanan, ketabahan dan kekuatan meneruskan kehidupan.

Menurut Hazreen, 29, lagu hasil kerjasama Shiha Zikir Empire dan Sony Music Entertainment Malaysia itu cukup dekat dengan dirinya kerana membawa penceritaan berbeza berbanding karya terdahulu yang lebih menjurus kepada kisah cinta.

Iklan

"Tipulah kalau tak ada rasa penat, rasa nak mengalah, tetapi kita tetap gagah meneruskan kehidupan demi orang tersayang.

Iklan

"Ada juga yang kita pendam sendiri supaya tetap nampak kuat di mata orang tersayang, padahal jauh di sudut hati, kita sebenarnya tidak kuat.

"Jadi, menerusi lagu Teruskanlah ini, sedikit sebanyak ia dapat meluahkan apa yang tersimpan dalam hati seseorang yang mungkin tidak mampu diungkapkan sendiri," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran single dan muzik video lagu berkenaan pada 3 November lalu.

Shiha komposer dan penulis lirik

Menariknya, karya yang dicipta sepenuhnya oleh Shiha selaku komposer dan penulis lirik itu bermula daripada perkongsian Hazreen mengenai kehidupan seorang anak sulung atau individu yang menjadi penyara keluarga.

Hazreen berkata, dia pernah meluahkan hasrat untuk memiliki lagu yang menceritakan tentang seseorang yang bekerja keras demi insan tersayang, biarpun diri sendiri berdepan keletihan dan tidak mempunyai ruang untuk meluahkan perasaan.

"Saya sangat berterima kasih kepada Shiha Zikir Empire kerana mempercayai diri saya dan sentiasa membantu. Kak Shiha seorang yang mahukan hasil terbaik dan tegas ketika bekerja. Bagi saya, sikap itu membantu saya supaya tidak leka mengejar impian.

"Lagu ini saya tujukan kepada diri sendiri dan sesiapa sahaja yang sedang berjuang dalam kehidupan. Saya pun masih berusaha mencapai impian dalam bidang seni. Tipulah kalau tak pernah rasa mahu mengalah, tetapi itu bukan alasan untuk berhenti," ujarnya.

Menyendiri dalam bilik

Sementara itu, Shiha menjelaskan, proses menghasilkan lagu berkenaan dimulakan dengan beberapa sesi perbualan bagi memahami pengalaman dan emosi penyanyi tersebut.

Menurutnya, antara perkongsian Hazreen yang memberi inspirasi kepadanya ialah kebiasaan penyanyi itu menyendiri di dalam bilik dan menangis ketika bersedih.

Daripada luahan tersebut, Shiha mengolah pengalaman berkenaan menjadi bait lirik yang menggambarkan perjuangan seseorang untuk terus berdiri ketika berdepan kesukaran.

"Saya mahu lagu ini menjadi peneman kepada mereka yang penat melalui perjalanan kehidupan. Bukan anak sulung sahaja, malah sesiapa yang bekerja keras mencari rezeki untuk keluarga, ibu bapa dan pasangan juga boleh menghayati mesejnya," katanya.

Julat vokal

Mengulas keistimewaan Hazreen, Shiha menyifatkan penyanyi itu memiliki julat vokal yang luas selain mudah menguasai teknik nyanyian.

Katanya, sikap rajin, disiplin dan kesediaan Hazreen untuk mencuba pelbagai perkara turut menjadi antara sebab dia yakin dengan potensi bakat baharu itu.

Malah, Shiha tidak keberatan mengadakan sesi latihan lebih awal di pejabatnya supaya Hazreen benar-benar bersedia sebelum memasuki studio rakaman.

Bagi muzik video pula, beberapa elemen visual digunakan sebagai simbolik perjalanan hidup, termasuk lilin yang hampir terpadam sebagai gambaran seseorang yang tetap berusaha menyinari kehidupan insan tersayang.

Hazreen berharap Teruskanlah bukan sahaja membuka lebih banyak peluang dalam kerjaya seninya, malah mampu menjadi sumber kekuatan kepada pendengar yang sedang melalui fasa sukar.