10 robot memasak berentap di dapur, hidangan Malaysia jadi taruhan Battle of the Bots

Iklan

Bayangkan hidangan kegemaran rakyat Malaysia disediakan bukan oleh tangan seorang chef, sebaliknya mesin robotik yang mampu memasak secara automatik.

Lebih menarik, hasil masakan itu bukan sekadar perlu kelihatan menyelerakan, malah turut dinilai dari segi rasa, kreativiti dan persembahan.

Iklan
Iklan

Itulah keunikan Battle of the Bots yang berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), hari ini, apabila 10 mesin memasak robotik berentap menunjukkan keupayaan masing-masing dalam menyediakan sajian tempatan.

Dilancarkan secara rasmi oleh Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Sri Mohd Shahar Abdullah, pertandingan memasak secara langsung itu merupakan antara tarikan utama Taste & Trade 360 (TT360) 2026.

Iklan

Menerusi dua kategori iaitu Malaysia Local Cuisine Challenge dan Creative Dish Challenge, setiap mesin diuji berdasarkan keupayaan menghasilkan hidangan yang memenuhi beberapa kriteria utama, termasuk rasa, kreativiti, tahap kerumitan penyediaan serta persembahan.

Bukan sekadar mempamerkan kecanggihan teknologi, pertandingan itu turut membuka ruang kepada pemain industri makanan dan minuman (F&B) untuk melihat sendiri bagaimana automasi boleh dimanfaatkan dalam operasi dapur komersial.

Iklan

Bagi pemilik restoran, chef dan pengusaha F&B, demonstrasi berkenaan memberikan gambaran lebih jelas tentang potensi penggunaan robot memasak dalam membantu mempercepatkan penyediaan makanan, mengekalkan konsistensi rasa serta mengenal pasti cabaran operasi.

Antara teknologi yang mencuri perhatian ialah X-Bot, sistem memasak robotik yang dibangunkan oleh Gene Tech Sdn Bhd.

Inisiatif tersebut merupakan kerjasama Gene Tech, Ping Edge dan UOW Malaysia bagi meneroka penggunaan automasi dalam persekitaran perkhidmatan makanan sebenar.

Pengarah Gene Tech Sdn Bhd, Brian Ding berkata, kemampuan sesebuah mesin memasak hidangan sahaja belum cukup untuk membuktikan keberkesanan teknologi tersebut.

Sebaliknya, aspek kualiti, konsistensi dan kecekapan perlu diberi perhatian supaya penggunaannya benar-benar memenuhi keperluan dapur komersial.

"Ujian sebenar teknologi memasak robotik bukanlah sama ada sesebuah mesin boleh menyediakan hidangan, tetapi sama ada ia dapat menyampaikan kualiti, konsistensi dan kecekapan seiring permintaan dapur komersial.

"Melalui Battle of the Bots, kami ingin menunjukkan bahawa teknologi ini sesuai digunakan dalam persekitaran kulinari sebenar, menggunakan hidangan dan keperluan memasak yang tidak asing dengan rakyat Malaysia," katanya.

Selain memperkenalkan teknologi baharu kepada pemain industri, inisiatif berkenaan turut mengetengahkan keperluan menyediakan tenaga kerja berkemahiran bagi menghadapi perubahan landskap F&B yang semakin dipengaruhi teknologi.

Perkembangan automasi dalam sektor makanan bukan sahaja membuka peluang meningkatkan kecekapan perniagaan, malah menuntut industri bersedia dari segi kepakaran, latihan dan pembangunan bakat masa depan.

Dalam pada itu, TT360 2026 yang melabuhkan tirainya pada 7 November memberikan peluang terakhir kepada pemilik restoran, chef dan profesional industri untuk meneroka pelbagai teknologi yang dipamerkan.

Pengunjung juga berpeluang mengenali syarikat di sebalik inovasi berkenaan serta menilai kesesuaiannya untuk diaplikasikan dalam perniagaan masing-masing.

Persoalannya, adakah teknologi robotik bakal menjadi sebahagian daripada rutin dapur komersial pada masa hadapan? Apa yang pasti, Battle of the Bots memberikan gambaran bahawa dunia kulinari kini semakin terbuka kepada gabungan kreativiti manusia dan kecanggihan mesin.