PELAWAK Amir Raja Lawak lega apabila tidak lagi memerlukan bantuan oksigen, namun perjalanan untuk kembali pulih sepenuhnya masih memerlukan masa.
Amir atau nama sebenarnya Mohammad Amirullah Azmi, 37, berkongsi perkembangan terbaharu tahap kesihatannya selepas menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu, Kelantan.
Menerusi hantaran di media sosial, Amir meluahkan rasa syukur apabila kini sudah boleh bernafas tanpa bantuan oksigen, meskipun masih belum mampu melakukan aktiviti harian seperti biasa.
"Alhamdulillah, dah tak pakai oksigen.
"Cuma tak boleh berjalan atau bercakap banyak lagi ni
"Saya cuba berjalan, tapi dua langkah pun semput cari nafas," tulisnya.
Meskipun menunjukkan perkembangan positif, pelawak itu mengakui dirinya masih berdepan kesukaran untuk berjalan dan bercakap dalam tempoh yang lama.
Keadaan itu sekali gus menggambarkan proses pemulihan yang masih perlu dilaluinya selepas hampir 12 hari menerima rawatan di ICU akibat jangkitan paru-paru.
Dalam perkongsian sama, Amir turut berkongsi kesan penggunaan mesin Bilevel Positive Airway Pressure (BiPAP) pada bahagian dahi dan hidung ketika menerima rawatan di ICU.
"Kat dahi dengan hidung tu kesan pakai BIPAP Machine masa kat ICU.
"Katanya saya kena sental dengan Vaseline nanti, untuk bagi clean dan nampak natural balik," katanya.
Bagaimanapun, Amir yang sebelum ini berkongsi pengalaman sukar untuk bernafas ketika menerima rawatan di hospital, tetap mengekalkan sisi humor yang cukup sinonim dengan dirinya.
Malah, dia seolah-olah memberi bayangan bahawa sudah bersedia untuk kembali bergurau dan berinteraksi dengan pengikut di media sosial, biarpun belum mampu membalas setiap komen seperti dahulu.
"Baiklah.. dengan ini, kita sekarang dah boleh start bergurau atau bahan-membahan balik kat media sosial, cuma komen-komen saya tak dapat reply semua macam dahulu.
Perkongsian itu pastinya melegakan ramai peminat yang mengikuti perkembangan kesihatan Amir sejak dia dimasukkan ke hospital.
Terdahulu, Amir dilaporkan mengalami jangkitan paru-paru sehingga memerlukan rawatan di ICU HRPZ II.
Pelawak itu juga mempunyai sejarah penyakit asma sejak kecil, manakala keadaan cuaca sejuk dan demam beberapa hari sebelum itu dilaporkan memburukkan lagi tahap kesihatannya.
Selepas hampir 12 hari dirawat di ICU, Amir kemudian dipindahkan ke wad biasa apabila keadaan kesihatannya menunjukkan perkembangan positif.
Meskipun sudah tidak lagi memerlukan bantuan oksigen, Amir masih perlu menjalani proses pemulihan secara berperingkat sebelum dapat kembali menjalani kehidupan seperti sedia kala.