DUA negara, bahasa yang hampir sama dan budaya yang saling dekat. Namun, di sebalik persamaan itu, setiap karya seni tetap mempunyai warna dan cerita tersendiri. Bagaimana jika keunikan Malaysia dan Indonesia digabungkan dalam satu naskhah hiburan?
Itulah antara perkara menarik yang dibawa UTV Nusantara, platform hiburan digital yang membuka ruang kerjasama kreatif antara penggiat seni kedua-dua negara menerusi penerbitan telefilem dan muzik.
Dilancarkan di Hotel Waldorf Astoria, Kuala Lumpur, inisiatif yang diterajui Usanita Entertainment itu turut memperkenalkan tiga telefilem baharu iaitu My Toxic Boyfriend, 9 Bulan dan Puteri Maya.
Menariknya, ketiga-tiga naskhah berkenaan menjalani penggambaran di Jakarta dan Yogyakarta dengan kerjasama pasukan produksi tempatan, sekali gus memperlihatkan pengalaman bekerja merentas negara dalam menghasilkan karya hiburan.
Sebagai naskhah pertama yang diperkenalkan, My Toxic Boyfriend menampilkan pelakon Malaysia, Siti Khadijah Halim bersama dua pelakon Indonesia, Cinta Brian dan Adly Fayruz.
Gabungan pelakon dari dua negara itu memberikan warna tersendiri kepada karya berkenaan, manakala 9 Bulan dan Puteri Maya pula menampilkan barisan pelakon Indonesia sepenuhnya.
Presiden UTV merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Entertainment, Datuk Adzliana Hasan, berkata, kerjasama berkenaan bukan sekadar menghasilkan kandungan hiburan, malah membuka peluang kepada penggiat seni untuk berkongsi kepakaran dan meneroka pasaran serantau.
“Pelancaran UTV Nusantara bukan sekadar memperkenalkan sebuah platform hiburan digital, sebaliknya menjadi titik permulaan kepada usaha kami membina hubungan kreatif yang lebih kukuh antara Malaysia dan Indonesia,” katanya.
Menurut Adzliana, kedua-dua negara mempunyai kekuatan tersendiri dalam aspek bakat, penceritaan dan produksi yang boleh digabungkan bagi menghasilkan karya dengan daya tarikan lebih luas.
Telefilem My Toxic Boyfriend dijadualkan mula ditayangkan pada 23 November 2026, jam 9 malam menerusi platform UTV.
Selain dunia lakonan, Usanita Entertainment turut melebarkan langkah ke bidang muzik menerusi single sulung Janji Untuk Setia yang menampilkan penyanyi Indonesia, Allan Andersn dan Rimar.
Pembabitan dalam penerbitan muzik itu menjadi satu lagi usaha syarikat meneroka cabang hiburan, selain membuka peluang kepada kolaborasi seni yang lebih pelbagai.