BAYANGKANLAH perasaan seorang ibu yang baru melahirkan anaknya, namun dek Covid-19 terpaksa berpisah selama lima bulan lamanya.
"Irfan, ini adalah ibu.” Itu ungkapan pertama ibu berkenaan apabila dapat memangku semula anak bongsunya di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Sadao, Songkhla, Pattani, pada Khamis.
Mujurlah tempoh perpisahan tidak lebih dari itu lagi.
Ibu muda berkenaan, Nurhalisa Jehawee, 18, akhirnya dapat mendukung bayi lelakinya berusia lima bulan itu dengan linangan air mata.
Semuanya gara-gara terpaksa terpisah susulan penularan pandemik Covid-19 sekali gus menyebabkan penutupan sempadan Malaysia-Thailand.
[caption id="attachment_17123" width="1024"] Berikutan pandemik Covid-19 dan penutupan pintu sempadan Malaysia-Thailand, pasangan Nurhalisa Jehawae dan Muhammad Tifyoleah dari Pattani tidak dapat masuk semula ke Malaysia untuk mengambil anak mereka yang berada di Hospital Kajang. Foto: Bernama[/caption]
"Saya sangat gembira. Akhirnya, dapat mendukung anak saya buat kali pertama selepas lima bulan. Saya dan keluarga ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka yang sudi membantu dan menderma kepada kami.
"Terima kasih bantu kami melangsaikan bil hospital dan membawa pulang Irfan ke pangkuan kami,” katanya kepada Bernama.
Bertuah apabila ramai yang prihatin dengan nasibnya dan pasangan apabila hasil bantuan dan derma orang ramai, Nurhalisa yang bekerja sebagai pembantu kedai makan di Kajang, Selangor dan suaminya Muhammad Tifyoleah, 28, berjaya mengumpul wang untuk menyelesaikan bil hospital termasuk kos bersalin berjumlah hampir RM30,000.
Irfan dilahirkan ketika kandungan Nurhalisa berusia tujuh bulan di Hospital Kajang pada 27 Feb lepas.
Bagaimanapun, pasangan ini terpaksa meninggalkan Irfan yang ketika itu di bawah pemantauan doktor untuk memperbaharui visanya dan suami yang tamat tempoh pada 18 Mac lepas.
Disebabkan penutupan pintu sempadan Malaysia-Thailand susulan Covid-19 dan, pasangan itu tidak dapat kembali semula ke Malaysia untuk mengambil anak bongsu mereka di Hospital Kajang pada ketika itu.
Syukurlah akhirnya anak-beranak ini berjaya dipertemukan. -AG