Sedih...anak mithali selamatkan ibu diperkosa, tetapi dibunuh secara brutal oleh pelaku!
KISAH Rangga, seorang kanak-kanak lelaki yang dibunuh secara zalim selepas cuba menyelamatkan ibunya yang cuba dirogol lelaki tidak dikenali ternyata mengundang sebak dalam kalangan warganet di Indonesia mahupun Malaysia.
Bukan sahaja bahu dan dada berlumuran darah dek terkena libasan parang, budak kecil yang berusia sembilan tahun itu telah ditikam di perut dengan kejam sehingga mangsa meninggal dunia.
Berita mengerikan yang dilaporkan Detiknews dan Tribunews itu ternyata menggemparkan penduduk di Aceh Timur, Indonesia dan ramai meluahkan rasa kesal dan geram.
Masakan tidak, pelaku tersebut yang dikenali sebagai Samsul Bahri, 41, sanggup membunuh demi melampiaskan nafsu serakahnya.
Menurut laporan berita tersebut, pada mulanya, Rangga tersedar daripada tidur selepas mendengar ibunya sedang bergelut dengan seorang lelaki yang memecah masuk rumahnya pada 10 Oktober lalu.
Ibunya yang dikenali Da, 28, cuba melawan suspek dan sempat meminta Rangga lari menyelamatkan diri. Namun, Rangga terus menerpa ke arah lelaki tersebut dan memintanya berhenti daripada terus 'mengacau' ibu kesayangannya.
Ketika itu, suami mangsa tiada di rumah kerana keluar memancing udang.
Barangkali berang hajatnya tidak kesampaian, Samsul seperti hilang kewarasan lalu membunuh Rangga tanpa belas kasihan.
Menurut laporan bedah siasat seperti yang disiarkan oleh portal berkenaan, Rangga meninggal dunia disebabkan nadi utama pada lehernya terputus akibat serangan brutal itu.
Tidak terhenti setakat itu sahaja, Samsul dikatakan telah mengheret keluar wanita malang itu secara paksa dan keterlaluan ke dalam semak berhampiran untuk diperkosa lagi. Masya-Allah!
Lagi menambah geram mendengar kisah itu, Samsul sempat mengajak wanita yang dianiayanya untuk membuang mayat anaknya sendiri, Rangga.
Pelaku berkata kepada mangsa:"Kau ikut aku ya, anak kau kita buang aja ya?." Kemudian mangsa menjawab:"Jangan, biar bapanya saja yang kebumikan."
Samsul kemudiannya meninggalkan mangsa yang terikat dalam semak belukar sebelum kembali membawa guni yang berisi mayat Rangga.
Dalam satu kenyataan pihak berkuasa di republik itu, suspek dikatakan sempat menggali tanah untuk menanam mayat Rangga sebelum melarikan diri.
Pada saat lelaki itu pergi membawa guni ke arah sungai, wanita tersebut sempat melarikan diri selepas berjaya membuka ikatan dan menjerit meminta pertolongan dengan jiran.
Suspek kemudiannya berjaya ditangkap pihak berkuasa dengan kesan tembakan di kaki kerana cuba melawan.
Jenazah Rangga kemudian ditemui di dalam sungai berhampiran dengan keadaan mengerikan.
Setimpal dengan jenayah yang dilakukan, Samsul berdepan hukuman mati.
Sesungguhnya, syurga buatmu Rangga. Sanggup membahayakan diri demi menyelamatkan ibu tersayang.
Kredit Foto: Detiknews dan Tribunews