TULAR mengenai kisah seorang wanita berusia 42 tahun yang dibunuh kejam menggunakan tuil besi dan mayatnya dibakar di dalam kenderaan bagi meninggalkan jejak si pelaku.
Hanya kerana mahu meminta hutang, wanita yang dikenali dengan nama Yulia itu dibunuh tanpa belas kasihan di sebuah kandang ayam di Sukoharjo, Jawa Tengah. Ya ALLAH kejamnya.
Jika merujuk laporan kompas.com dan suara.com, wanita tersebut dipukul menggunakan tuil besi pada bahagian kepala, kemudiannya mayatnya dihumban ke tempat kerusi belakang sebuah kenderaan sebelum dibakar pada 20 Oktober lalu.
Memetik kata-kata ketua pegawai polis bertugas, Kapolda Jateng Irjen Ahmad Luthfi:
"Pada petang Selasa, mangsa bertemu dengan suspek di sebuah kandang ayam di daerah Ngesong Bendosari kerana mahu berbincang mengenai perniagaan yang dijalankan.
"Pun begitu, mangsa yang mahu menuju ke kereta dipukul dari belakang menggunakan tuil besi sebanyak dua kali sebelum mangsa diseret dan diikat.”
Tindakan kejam itu bukan setakat itu sahaja. Mayat wanita itu difahamkan telah dibawa menggunakan kenderaan miliknya (mangsa) ke tempat lain bagi menghapuskan bukti.
Apa yang si penjenayah lakukan? Di sana, mangsa dan kereta dibakar.
Pun begitu, kepulan asap tebal dan api yang marak akibat kebakaran kenderaan menarik perhatian orang ramai sebelum mereka beramai-ramai datang memadamkan api.
Barangkali orang ramai tersebut beranggapan itu hanyalah kebakaran biasa.
Namun, selepas beberapa ketika, mereka terkejut apabila terjumpa mayat yang rentung dengan keadaan berikat di dalam kenderaan terbabit.
Kuasa ALLAH siapa mampu menidakkannya. Hasrat si pelaku mahu membuang bukti pembunuhan tidak kesampaian.
Apa yang lagi mengejutkan, mangsa difahamkan mempunyai talian persaudaraan dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo atau lebih dikenali dengan nama Jokowi.
Mungkin disebabkan hal berkenaan, kes kematian isteri kepada doktor pakar saraf itu mendapat liputan meluas sejak penemuan mayat terbabit.
Ketika artikel ini ditulis, dua suspek berjaya ditahan untuk membantu siasatan.
Menurut laporan prbandungraya, hasil bedah siasat mendapati, selain luka pada dahi, terdapat kecederaan lain seperti luka pukulan benda tajam dan tumpul pada bahagian kepala dan rahang sebelah kiri.
Betullah orang kata, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Suspek yang dikenali dengan nama Eko berjaya ditangkap selepas penemuan bukti di lokasi kejadian.
Lelaki tersebut berjaya ditahan pada 22 Oktober lalu bersama seorang lagi rakan subahat.
Dunia sekarang ini sangat menakutkan. Niat untuk meminta hutang boleh menyebabkan hilang nyawa sekelip mata.
Bagi mereka yang masih mempunyai hutang, bayarlah sikit-sikit ya? Jangan sampai jadi seperti kes ini.