Pelajar Singapura cipta robot penghantar makanan, lebih 6,000 pesanan berjaya dihantar

Iklan
Pelajar Singapura cipta robot penghantar makanan, lebih 6,000 pesanan berjaya dihantar

HARI ini untuk membuat pesanan makanan sangat mudah! Kita boleh pesan makanan apa sahaja yang kita idamkan tanpa perlu keluar dari rumah. Betul tak?

Hubungi sahaja restoran yang kita suka atau gunakan khidmat penghantar pesanan makanan melalui aplikasi di telefon pintar dan makanan sampai terus di depan pintu.

Iklan
Iklan

Namun, bagi para pelajar dan kakitangan di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) yang terletak di Singapura, mereka kini telah mencipta sebuah robot penghantar pesanan makanan.

Berbentuk seperti kotak beroda empat, pelanggan akan disajikan makanan dengan senyuman lebar terukir pada satu bahagian robot itu berserta kata-kata"Your food is here!" (Makanan sudah tiba!).

Iklan

Menurut portal mediacorp.sg, robot pandu sendiri itu akan sampai di tempat-tempat pengambilan tertentu sebaik pesanan makanan siap untuk dihantar kepada pelanggan.

Iklan

Bahagian penutup robot itu kemudian terbuka secara automatik diiringi arahan,"Please pick up the food" atau sila ambil makanan anda.

Robot yang telah diberi nama sebagai FoodBot merupakan robot penghantar makanan pertama di Singapura yang menyediakan khidmat penghantaran di luar bangunan.

Sehingga kini, ia sudah menghantar lebih daripada 6,000 hidangan dan membawa barangan termasuk makanan dan barang dapur bernilai S$60,000 atau sekitar RM245,550.

FoodBot pertama kali dilancarkan Jun tahun lalu untuk menghantar makanan di merata kampus NTU oleh syarikat pemula, Whizz Mobility, yang terdiri daripada tujuh pelajar NTU dan seorang dari Universiti Teknologi dan Rekabentuk Singapura (SUTD).

Para pelanggan boleh membuat pesanan makanan melalui aplikasi mudah alih Cates, pilih lokasi untuk mengambil makanan mereka dan tunggu di sana.

Pembeli akan dimaklumkan apabila FoodBot sudah hampir tiba di lokasi yang telah ditetapkan.

FoodBot mula membuat penghantaran ke Taman CleanTech, pada Disember lalu yang terletak bersebelahan NTU.

Kini, terdapat lima FoodBot yang dikerahkan semasa waktu makan tengah hari dan makan malam, bergantung kepada permintaan.

Ia bergerak mengikut laluan yang sudah ditentukan pada kelajuan lima kilometer sejam.

Robot itu lebih kerap bergerak di laluan pejalan kaki walaupun ia juga boleh bergerak di atas rumput dan lumpur.

Menggunakan kecerdasan buatan (AI) ia dapat mengenal pasti sebarang halangan seperti manusia atau tiang.

Atas sebab keselamatan, FoodBot dikawal dari jarak jauh oleh seorang penyelia yang akan bertindak jika perlu, jika robot tersebut tersangkut di cerun atau tempat jalan sudah berubah.

Menurut pengasas dan ketua pegawai eksekutif Whizz Mobility, Melvin Foo, 23, beliau menyifatkan FoodBot sebagai"impian seorang jurutera".

Menurut Victor Gwee, 23 tahun, ketua jurutera elektrik di Whizz Mobility dan pelajar di bawah Program Kejuruteraan Renaissance, menggunakan robot adalah satu cara untuk meningkatkan daya penghasilan, terutama sekali dengan penduduk yang semakin menua dan masalah kekurangan tenaga manusia di Singapura.

Akur dengan pandangan itu, Foo berkata, dengan robot melakukan kerja-kerja penghantaran, rakyat Singapura boleh mengalihkan tenaga mereka untuk membuat kerja-kerja tahap lebih tinggi seperti penyelia.

Syarikat pemula itu bekerjasama dengan Cates, yang mempunyai sekitar 60 penjual dalam aplikasi khidmat penghantarannya.

Sumber :  mediacorp.sg