Ditinggalkan seorang diri di hospital oleh keluarga angkat, hidup remaja ini berubah selepas...

Iklan
keluarga angkat anak terbiar

BANYAK kita dengar kisah pengabaian kanak-kanak yang cukup menyedihkan, bahkan ada yang didera, dijadikan mangsa seks dan merempat di jalanan.

Lebih menyayat hati, terdapat di antara mereka yang terpaksa mengikat perut dan makan apa yang ada termasuk sisa sampah. Ada yang masih bawah umur, tetapi terpaksa bekerja demi mencari sesuap nasi.

Iklan
Iklan

Namun, jika kes sebegitu sampai ke pengetahuan pihak berkuasa, mereka boleh diselamat dan ditempatkan di rumah penjagaan demi kebajikan lebih baik.

Pun begitu, sebenarnya masih ramai yang ada di luar sana yang perlu dibela sebaiknya, cuma keprihatinan masyarakat setempat amat penting untuk bersama membantu.

Iklan

Di Amerika Syarikat misalnya, keluarga angkat diberi tanggungjawab untuk menjaga anak-anak terbiar, selain golongan itu akan ditempatkan di pusat jagaan.

Iklan

Sistem tersebut dikatakan 'lebih harmoni' bagi mengurangkan lambakan anak-anak tanpa ibu bapa dan waris di rumah selamat yang diselia kerajaan.

Keluarga angkat akan dibayar oleh kerajaan dengan kadar standard RM1,854.73 hingga RM2,885.22 sebulan bergantung kepada usia kanak-kanak.

Turut diberikan adalah elaun pakaian berjumlah RM1,236.58 hingga RM2,060 setahun.

Lumayan bukan? Mungkin disebabkan itu, kerjaya sebagai keluarga angkat antara yang popular di negara Uncle Sam. Lebih ramai anak angkat, lebih banyak tanggungjawabkan?

Pada kesempatan ini, SinarPlus mahu kongsikan kisah seorang remaja yang dikenali dengan nama Tony di Charlotte, California Utara, Amerika Syarikat yang cukup menyentuh perasaan.

Mana tidaknya, seorang lelaki yang masih bujang sanggup menjaga budak lelaki berusia 13 tahun selepas beliau ditinggalkan di sebuah hospital oleh keluarga angkatnya.

Peter Mutabazi yang berasal dari Uganda, Afrika Timur itu sebenarnya baru saja tamat mengikuti kursus mengambil anak angkat dan baru empat bulan menerima lesen rasmi.

Lapor goalcast.com, Mutabazi yang memahami hidup sebagai kanak-kanak jalanan disebabkan sejarah hidupnya lebih kurang sama membuatkannya terpanggil untuk membantu Tony.

"Saya dibesarkan dalam keluarga cukup miskin. Zaman kanak-kanak tidak pernah indah. Saya lari dari rumah dan hidup di jalanan bertahun-tahun sebelum diselamatkan.

"Melihat keadaan Tony yang terabai, kenapa tidak saya bantu? Mungkin inilah masanya saya berjasa kepada yang memerlukan," katanya yang berjaya menjadikan remaja tersebut sebagai anak angkat secara rasmi pada November 2019.

Kongsi Mutabazi dalam akaun Instagram, pertemuan buat pertama kali dengan Tony membuatkan dirinya nekad untuk menjaganya lebih-lebih lagi remaja itu disifatkan lebih matang dari usia.

"Tony suka membaca buku, bermain permainan video, berbasikal dan berjalan-jalan. Menjaganya seolah-olah saya mengembalikan zaman remaja yang hilang.

"Menjadi seorang ayah membuatkan saya lebih bertanggungjawab, bersyukur dan gembira. Sukar untuk digambarkan dengan kata-kata selepas satu perjalanan yang cukup jauh," katanya yang juga menerima kerakyatan negara tersebut.

Bukan sahaja Tony, beberapa anak angkat lain turut dijaga Mutabazi sebagai satu keluarga dan perkembangan mereka dikongsikan dalam media sosial miliknya.

Apa yang boleh disimpulkan, perbezaan bangsa, warna kulit dan budaya tidak menghalang Mutabazi menjaga kesemua anak angkatnya dengan penuh kasih sayang.

Lebih ramai insan seperti Mutabazi di dunia ini, mungkin lebih ramai anak-anak terbiar dalam dibela dengan sebaiknya.

Mungkin konsep sama boleh dipraktikkan di Malaysia kerana dengan bantuan kerajaan dan orang ramai, kebajikan anak-anak kurang bernasib baik itu dapat dibela. #kitajagakita #kitalaluibersama