ANAK adalah dambaan setiap pasangan yang telah mendirikan rumah tangga. Justeru, tiada siapa yang mahukan bayi yang dikandung hampir sembilan bulan menjadi milik orang lain, apatah lagi jika tertukar.
Namun begitu, insiden sedemikian tidak dapat dielakkan kerana ia berlaku di seantero dunia.
Sehingga kisah seumpama itu dijadikan plot drama antara Switched at Birth dan Autumn in My Heart.
Terdapat bayi yang tertukar selepas dilahirkan disebabkan kecuaian atau tindakan disengajakan menyebabkan si kecil dibesarkan mereka bukan ibu bapa kandung.
Hari ini SinarPlus kongsikan 10 insiden tertukar bayi yang pernah berlaku. Antaranya:
Kes 1
Berlaku pada tahun 1931 di Leiden University Medical Center yang mana dua bayi perempuan Agnes van Vegten dan Lenie van Duyn telah tertukar.
Kebenaran hanya selepas dua dekad apabila dua gadis terbabit bertemu padadi sebuah majlis perkahwinan dan menyedari ciri persamaan ketara antara ibu bapa masing-masing.
Kes 2
Akibat kecuaian kakitangan Hospital San-Ikukai pada Mac 1953 telah menyebabkan dua bayi lelaki yang dilahirkan selang 13 minit terpisah daripada keluarga masing-masing.
Kisah itu menjadi kontroversi selepas 60 tahun kemudian. Lelaki yang bekerja sebagai pemandu lori rupa-rupanya berasal daripada keluarga kaya raya.
Namun begitu, beliau telah dibesarkan dalam kesusahan oleh seorang ibu tunggal dan tinggal di sebuah pangsapuri berkeluasan 100 kaki persegi.
Sementara, anak lelakinya dibesarkan dalam keluarga yang kaya hingga menjadi presiden sebuah syarikat hartanah.
[caption id="attachment_49464" width="1024"] Keadaan bayi di dalam sebuah katil di wad bersalin. Keadaan ini membimbangkan ibu bapa kerana berisiko membawa pulang bayi pasangan lain.[/caption]
Kes 3
Pada tahun 1975, dua bayi Norman Barkman dan Leon Swanson tertukar di Hospital Norway House.
Mereka membesar dalam komuniti kecil dan menjadi sahabat baik sehingga mengetahui kebenaran tentang episod tertukar anak pada tahun 2010.
Kes 4
Dua bayi lelaki milik dua ibu dari Afrika Selatan, Margaret Clinton-Parker dan Sandra Dawkins tertukar pada tahun 1989. Kecuaian itu menyebabkan para ibu berkenaan bertindak menyaman kerajaan pada tahun 1995 dan memohon pampasan sebanyak ZAR120,000 (RM3,5942.05).
Setahun kemudian pampasan tersebut diperoleh untuk menampung pebelanjaan perubatan dan kos lawatan anak biologi masing-masing.
Keluarga tersebut memelihara anak yang tertukar tanpa perlu kembali kepada keluarga kandung sehingga anak Margaret Clinton-Parker bernama Robin mengambil keputusan untuk tinggal bersama ibu kandungnya.
Kes 5
Dua pasang kembar seiras dari Bogota tertukar di hospital semasa dilahirkan dan dibesarkan sebagai kembar tidak seiras. Insiden yang berlaku pada tahun 1988 itu hanya diketahui pada tahun 2015 dan dipulangkan kepada keluarga kandung semula.
Kes 6
Dua bayi iaitu Callie Johnson dan Rebecca Chittum tertukar pada tahun 1995. Selepas tiga tahun kebenaran terbongkar apabila ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dilakukan ke atas Callie yang menunjukkan tiada pertalian darah dengan ibunya, Paula Johnson ataupun bapa, Carlton Conley secara biologi.
Dalam insiden tragis, ibu bapa kandung Callie mati dalam kemalangan sehari selepas ujian tersebut. 'Bayi' yang tertukar dengannya bernama Rebecca Chittum terselamat kerana berada bersama datuk dan nenek.
10 tahun kemudian, Paula masih tidak berputus asa cuba mendapatkan hak penjagaan terhadap anaknya Rebecca hingga hakim memutuskan bahawa kedua-dua remaja itu boleh membuat keputusan sendiri untuk bertemu dengan keluarga.
Pada 2001, bapa kandung Rebecca iaitu Carlton Conley berkahwin dengan ahli keluarga yang memelihara Rebecca dan mendapatkan hak penjagaan ke atas gadis itu.
Beliau tinggal bersama bapanya hingga tahun 2008 dan tidak kerap berhubung dengan ibunya sementara Callie terus tinggal dengan Paula.
Kes 7
Pada tahun 2001, seorang ibu berusia 35 tahun dari Canary Islands melahirkan sepasang kembar seiras dan tidak sengaja tertukar salah seorang anak kembarnya dengan bayi lain.
Anak kembar yang tertukar tersebut membesar menjadi anak tunggal tanpa menyedari dia mempunyai pasangan kembar.
Kebenaran diketahui apabila seorang rakan tersilap menganggapnya adalah saudara kembar yang tidak pernah dikenalinya.
Ciri seiras pada kedua-dua anak tersebut membawa kepada ujian DNA yang membuktikan mereka bersaudara. Ibu bapa pasangan kembar itu bertindak menyaman pihak hospital.
Kes 8
Pada 9 Disember 2006, dua bayi perempuan tertukar di sebuah hospital di Trebik, sebuah bandar di Republik Czech. Perkara itu tidak disedari hingga September 2007 apabila rakan bapa bayi berkenaan membuat jenaka bukan bapa sebenar lantaran wajah yang berlainan.
Ujian DNA yang dilakukan membuktikan bayi itu bukan anak kandung, sebaliknya tertukar di hospital. Sehari selepas penyiasatan, keluarga asal ditemui dan anak masing-masing dipulangkan.
Kes 9
Pada Oktober 2011, dua kanak-kanak perempuan tertukar selama 12 tahun di sebuah kawasan penempatan di pergunungan Ural, Rusia .
Kebenaran dibuktikan apabila bekas suami kepada ibu salah seorang kanak-kanak enggan membayar nafkah lantaran rupa wajah si anak yang berlainan. Ujian DNA dilakukan mendapati kanak-kanak berkenaan bukan anak kandung lelaki itu.
Sebuah keluarga di sebuah bandar berhampiran dikenal pasti keluarga kanak-kanak itu. Kanak-kanak berkenaan kekal bersama keluarga yang tertukar dan masing-masing memohon pampasan sejumlah 5 juta Rubles (RM2,85736.35) daripada kerajaan sebagai ganti rugi.
Kes 10
Pada 11 Mac 2015 dua bayi lelaki tertukar di hospital di Assam, India. Salah seorang daripada dua ibu bayi berkenaan ragu-ragu dan menghubungi hospital. Ketika dihubungi, pihak hospital menafikan, sebaliknya menyalahkan ibu berkenaaan bermasalah mental.
Bapa bayi berkenaan bagaimanapun memohon hak untuk melakukan ujian DNA. Susulan daripada itu, siasatan mendapati bayi mereka yang tertukar dan pulang ke pangkuan pada tiga tahun kemudian.
Bermacam-macam kisah yang melibatkan bayi yang tertukar semasa lahir. Diharapkan ia dijadikan teladan supaya semua pihak berhati-hati pada masa akan datang.