Suami Faziani Rohban menang saman fitnah, anak dan adik pengasas Dnars diperintah bayar ganti rugi RM100,000

No Image Caption
A
A
A

KES saman fitnah yang membabitkan Ahmad Shah Rizal dan dua individu, Mohd Faizul Rohban serta Irdiena Hakim Jasman, mencapai titik kemuncak apabila Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 21 Januari 2026 memutuskan bahawa Ahmad Shah Rizal telah difitnah.

Tuntutan saman tersebut dikemukakan berikutan penerbitan kenyataan oleh kedua-dua defendan yang menuduh dirinya berlaku curang terhadap Allahyarham Faziani Rohban, bersikap kejam terhadap anak tiri, tamak terhadap harta peninggalan serta cuba menyeleweng bukti dan mengabaikan tanggungjawab sebagai bapa tiri. 

Malah, dalam prosiding mahkamah, pihak defendan turut mendakwa plaintif  juga terlibat dalam perancangan pembunuhan, walaupun isu itu tidak pernah dibangkitkan dalam saman asal.

No Image Caption

Mahkamah mendapati semua tuduhan tersebut gagal dibuktikan dan menegaskan bahawa kenyataan yang diterbitkan adalah fitnah, tidak berasas dan telah menjejaskan reputasi serta kredibiliti Ahmad Shah Rizal. 

Berikutan itu, Faizul dan Irdiena diarahkan membayar ganti rugi RM100,000 serta membuat permohonan maaf secara terbuka melalui media arus perdana dan platform digital, selain dikenakan perintah injunksi kekal yang melarang sebarang penerbitan lanjut berunsur fitnah.

Dalam kenyataan media, Ahmad Shah Rizal menegaskan, tindakan undang-undang ini diambil bukan atas dasar kepentingan kewangan, tetapi bertujuan membersihkan namanya, mempertahankan maruah dan integriti peribadi serta memelihara nama baik keluarga.

“Saya menghormati keputusan mahkamah dan bersyukur kerana kebenaran telah ditegakkan. 

"Fitnah yang dilemparkan bukan sahaja menyentuh diri saya dan keluarga tetapi juga menjejaskan maruah dan legasi Allahyarham. 

"Saya berharap keputusan ini menjadi pengajaran kepada semua bahawa fitnah dan tuduhan jahat tanpa asas yang dibina naratifnya mengikut hawa nafsu adalah sangat kejam,” kata Ahmad Shah Rizal.

No Image Caption

Berhubung kenyataan dan reaksi di media sosial selepas mahkamah menjatuhkan hukuman semalam, dia memilih untuk kekal tenang dan tidak melayan sebarang provokasi. 

Tegasnya, keputusan mahkamah adalah rekod rasmi yang perlu dihormati dan dipatuhi oleh semua pihak. 

Pada masa sama, Ahmad Shah Rizal turut menasihati masyarakat agar sedar akan kesan buruk menyebar fitnah dan membuat tuduhan palsu terhadap orang lain kerana ia bukanlah jalan penyelesaian yang bijak.

Malah, dia juga berharap pihak yang terlibat dapat menerima keputusan mahkamah dengan patuh dan berlapang dada, serta mendoakan ketenangan dan kesejahteraan buat semua pihak yang terlibat.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang