'Apabila diyakinkan, dia diam. Air mata mengalir.' Sudah boleh gerak kaki tangan, Shamsul Ghau Ghau jalani fisioterapi
MENGHADAPI detik susulan strok, khabar terbaharu pelakon dan pengacara, Shamsul Ghau Ghau, 58, melegakan. Selepas menjalani pembedahan membuang darah beku pada otak sebelah kiri pada Sabtu, perkembangan kesihatannya menunjukkan tanda-tanda pemulihan yang sangat positif.
Memetik laporan BH Online, pemilik nama Shamsul Azahar Aliddin itu mula menjalani fisioterapi serta boleh menggerakkan tangan dan kakinya dengan bantuan.
Menurut isterinya, Syarifah Azrinah Syed Ibrahim, bekas hos rancangan televisyen Sinaran Pasport Kegemilangan dan Muzik Muzik itu mula menggerakkan anggota badan secara berperingkat, malah hampir semua wayar serta peralatan perubatan yang dipasang pada tubuh suaminya sebelum ini telah ditanggalkan.

“Alhamdulillah, perkembangan Abang Shamsul sangat positif dan memberangsangkan. Saya rasa sangat lega. Doktor juga memaklumkan keputusan ujian Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) di bahagian otak kiri yang dibuat Ahad lalu menunjukkan keputusan yang baik.
“Wayar-wayar di badannya sudah dicabut dan hari ini dia sudah mula menjalani fisioterapi serta boleh menggerakkan tangan dan kakinya dengan bantuan,” katanya.
Terdahulu, pemilik nama sebenar Shamsul Azahar Aliddin itu, yang pernah menjadi antara pelawak popular era 1990‑an, dilaporkan sedang menerima rawatan kecemasan di HSAAS, Serdang selepas mengalami pendarahan beku pada bahagian otak kiri.
Sudah banyak kemajuan ditunjukkan figura yang mesra disapa Pak Su itu. Sharifah Azrinah juga memaklumkan, doktor cuba memberi suaminya untuk meminum susu melalui tiub pada Ahad dan kemudiannya meneruskannya pada jam 6 pagi serta 9 pagi.
"Alhamdulillah, setakat ini tiada sebarang tindak balas negatif seperti muntah. Hari ini doktor akan cuba memberinya makan bubur melalui mulut," ujarnya lagi.
Katanya lagi, Shamsul juga mampu menjawab soalan diajukan dengan baik walaupun adakalanya mengambil sedikit masa untuk memahaminya.

Syarifah Azrinah bersyukur melihat perkembangan Shamsul yang kini sudah mampu duduk di atas atau di tepi katil, meskipun masih belum cukup kuat untuk berjalan tanpa bantuan.
Katanya, tempoh rawatan di hospital bergantung kepada perkembangan semasa Shamsul manakala rawatan fisioterapi pula diteruskan sama ada di hospital atau di rumah, bergantung kepada keputusan doktor.
Ibu kepada tiga cahaya mata itu juga berkongsi Shamsul juga lebih banyak berdiam diri dan memikirkan komitmen penggambaran yang sedang dijalani.
“Dia risau tentang penggambaran. Saya beritahu semua sudah diuruskan dan pihak produksi memahami keadaannya.
“Apabila saya yakinkan dia, dia hanya diam, termenung dan air matanya mengalir. Dia angguk faham. Saya minta dia kekal kuat dan positif supaya cepat sembuh,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Syarifah Azrinah menitip penghargaan kepada semua pihak termasuklah sahabat, rakan artis, peminat yang mendoakan dan memberi sokongan kepada keluarganya.
SinarPlus terdahulu berkongsi Shamsul menjalani pembedahan membabitkan kos RM25,000.
Sekadar info, Shamsul yang memiliki tauliah pengajar dari Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memulakan kerjaya pengacaraan pada tahun 1994.
Dia juga pernah membintangi sitkom Senario, Pi Mai Pi Mai Tang Tu dan Dunia Baru. Antara filem lakonannya ialah Senario The Movie, Soal Hati, Senario The Movie: Episode 1 dan Lang Buana.
Sumber: Sinar Harian
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
