Shamsul Ghau Ghau selamat dibedah, rakan dedah dalam diam berkhidmat dalam dakwah tabligh. 'Dia rendah hati, jaga adab dengan semua orang'
PELAWAK, pelakon dan pengacara Shamsul Ghau Ghau telah selamat menjalani pembedahan di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), Serdang.
Menerusi hantaran di Facebook pendakwah, Ustaz Taufik Khalil yang berkesempatan menziarahi figura yang lebih dikenali sebagai Pak Su itu.
"Alhamdulillah, Pak Su telah selamat menjalani pembedahan membuang darah beku di otak malam tadi. Sekarang ni beliau masih berada di bawah pemantauan rapi pihak doktor dan pasukan perubatan.
"Sebagai sahabat, saya memang terasa sangat ujian ini," kongsinya.
Saling mengenali selama dua dekad, Ustaz Taufik mendedahkan sisi Shamsul yang tidak dilihat orang ramai.
"Sempat menziarahi seorang lagi sahabat artis yang sedang diuji sakit, Pak Su Shamsul Ghau Ghau. Kami sudah saling berkawan rapat lebih 20 tahun.
"Terus terang saya cakap apabila sampai dan tengok sendiri keadaan Pak Su, hati memang jadi sebak. Selama ini orang nampak Pak Su buat orang ketawa tetapi hakikatnya dia sangat baik, rendah hati dan menjaga adab dengan semua orang.
"Dalam diam, beliau juga banyak berkhidmat dalam dakwah tabligh dan membimbing jemaah umrah serta haji.
"Ramai yang pernah gembira kerana hiburan dan bimbingan daripadanya. Hari ini,saya harap ramai juga yang sudi ingat dan doakannya," titip Ustaz Taufik.
Sementara itu, pelakon Zalif Sidek turut menguar-uarkan orang ramai untuk membantu meringankan beban kos perubatan Shamsul.
"Sumbangan boleh disalurkan terus ke akaun isteri Pak Su. Akaun bantuan melalui Maybank telah dihadkan transaksi. Kepada yang masih berusaha ingin membantu boleh terus melakukan transaksi di QR RHB isterinya, Syarifah Azrinah Syed Ibrahim .
"Diharapkan kepada yang membuat transaksi periksa dulu penama kerana tidak mahu nanti ada pihak yang mengambil kesempatan," katanya yang berkongsi kod QR di laman Instagram.
Terdahulu, media melaporkan selebriti berusia 57 tahun itu mengalami pendarahan pada otak kiri pada Sabtu. Difahamkan, pembedahan membabitkan kos RM25,000.
Sekadar info, Shamsul atau nama sebenarnya Shamsul Azahar Aliddin memulakan kerjaya pengacaraan pada tahun 1994 sebagai hos rancangan Sinaran Pasport Kegemilangan seterusnya Muzik Muzik dan Anugerah Juara Lagu.
Dia juga pernah membintangi sitkom Senario, Pi Mai Pi Mai Tang Tu dan Dunia Baru. Antara filem lakonannya ialah Senario The Movie, Soal Hati, Senario The Movie: Episode 1 dan Lang Buana.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
