Enggan ulas isu hutang suami Intan Najwa RM1.3 Juta, Rizman Ruzaini hormati mahkamah – 'Bila sampai masa, saya sendiri akan bercerita'

No Image Caption
A
A
A

DI sebalik gemerlapan pentas pertunjukan fesyen Raya 2026, nama besar Rizman Ruzaini sekali lagi menjadi perhatian bukan hanya kerana koleksi memukau, tetapi juga isu perundangan yang hangat diperkatakan.

Namun bagi pereka fesyen terkenal Rizman Nordin dan Ruzaini Jamil, kematangan serta profesionalisme menjadi keutamaan dalam menghadapi setiap cabaran yang datang, termasuk kontroversi yang sedang melanda jenama mereka.

Rizman berkata demikian ketika ditemui pada pertunjukan fesyen Rizman Ruzaini Raya 2026 menerusi koleksi Rebirth Vol.3 yang memukau di bawah tema 'Hikayat of Ratna'.

Dedah pereka terkenal itu, mereka mengambil pendekatan untuk tidak mengulas lanjut berhubung kes saman membabitkan tuntutan bayaran semula pinjaman berjumlah RM1.3 juta yang dimenangi suami pelakon Datin Intan Najuwa, Datuk Ahmad Azraf Azman.

Menurut Rizman, pihaknya menghormati sepenuhnya prosiding mahkamah yang masih berjalan dan percaya setiap isu wajar didengar daripada kedua-dua belah pihak.

“Saya rasa sesuatu cerita itu perlu didengar daripada kedua-dua belah pihak. Tapi dari pihak kami, saya tidak boleh berikan apa-apa komen lagi sebab ia masih dalam prosiding mahkamah.

“Jadi saya perlu hormat prosiding mahkamah itu. Bila sampai masa nanti, saya sendiri akan bercerita, insya-ALLAH,” katanya tenang.

Sebagai pereka fesyen yang sudah hampir dua dekad mengukir nama dalam industri, Rizman mengakui perjalanan membina empayar jenama tersebut bukanlah sesuatu yang mudah.

Dari dunia rekaan ke dunia keusahawanan, pelbagai dugaan telah dilalui, sekali gus mematangkan dirinya dan pasangan perniagaannya.

“Sepanjang 20 tahun Rizman Ruzaini bergelar pereka fesyen dan beralih menjadi usahawan, saya rasa setiap pendekatan yang kita buat harus menunjukkan kematangan.

“Sudah tentu setiap benda yang kami hadapi, kita perlu ambil penyelesaian terbaik yang boleh. Kami memilih untuk menyelesaikan semuanya dengan cara yang paling profesional,” jelasnya.

Tambah bapa kepada dua cahaya mata itu, mereka percaya setiap masalah ada jalan keluar yang baik sekiranya ditangani dengan penuh hikmah.

“Insya-ALLAH bila sampai masa nanti, kita akan bercerita,” katanya lagi.

Dalam pada itu, dia turut meluahkan rasa syukur apabila isu terbabit tidak menjejaskan reputasi label berkenaan, malah sokongan daripada pelanggan dan peminat rekaan mereka terus kukuh.

“Sokongan pembeli sangat kuat, Alhamdulillah. Perkara itu tidak menjadi isu kepada peminat rekaan Rizman Ruzaini.

"Sokongan mereka sangat luar biasa sampai sekarang,” ujarnya.

Figuradikenali

Mengulas kritikan dan pandangan segelintir pihak yang lantang bersuara sejak isu itu menjadi perhatian umum, Rizman menyifatkan ia sebagai lumrah dalam kehidupan seorang figura dikenali.

“Bagi saya, itu pandangan masing-masing. Ada masa kita di atas, ada masa kita di bawah. Yang penting bagaimana kita harungi masalah itu.

“Itu hak mereka untuk berkata-kata,” katanya secara terbuka.

Sebelum ini, Datin Intan Najuwa mencuri perhatian ramai apabila mendedahkan suaminya, Datuk Ahmad Azraf Azman, memenangi kes saman terhadap jenama fesyen terkenal Rizman Ruzaini berkaitan tuntutan bayaran semula pinjaman berjumlah RM1.3 juta.

Pendedahan tersebut dibuat menerusi Instagram miliknya apabila beliau memuat naik dokumen penghakiman Mahkamah Tinggi selepas hampir tiga tahun memilih untuk berdiam diri demi menghormati proses undang-undang.

Walau diuji dengan pelbagai isu, Rizman Ruzaini kekal berdiri megah di pentas fesyen tempatan, membuktikan bahawa kematangan, sokongan peminat serta pendekatan profesional menjadi kunci untuk terus bertahan dalam dunia glamor yang penuh cabaran.

Seperti yang ditegaskan Rizman sendiri, setiap fasa kehidupan ada naik dan turunnya, namun cara seseorang mengemudi badai itulah yang menentukan kekuatan sebenar sebuah jenama.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang