'Jangan judge luaran, kenali hati budi'- Erra Fazira respon isu elak pilih wanita mekap tebal, Mr E kata sejuk mata memandang
ISU mengenai wanita bermekap tebal kembali menjadi perbualan hangat di media sosial selepas cef selebriti dan penyanyi terkenal, Datuk Fazley Yaakob memuat naik satu hantaran di Threads baru-baru ini.
Dalam perkongsian tersebut, Fazley menasihatkan golongan lelaki supaya tidak mudah terpesona dengan wanita yang memakai mekap tebal sehingga mengubah rupa wajah asal. Menurutnya, adalah penting untuk mengenali wajah sebenar seseorang wanita sebelum jatuh cinta bagi mengelakkan rasa kecewa di kemudian hari.
Bagaimanapun, Fazley tidak melarang wanita untuk bersolek, sebaliknya menekankan konsep kesederhanaan agar penampilan tidak terlalu berlebihan sehingga menukar tona kulit dan raut wajah asal.
Kenyataan itu menerima pelbagai reaksi daripada orang ramai, ada yang bersetuju dan tidak kurang juga yang tampil mempertahankan wanita yang gemar bermekap sebagai satu bentuk ekspresi diri.

SinarPlus turut berkesempatan mendapatkan pandangan primadona filem Melayu, Erra Fazira bersama suaminya, Ezwan Zain mengenai isu berkenaan.
Menurut Erra, setiap individu berhak mempunyai pandangan dan citarasa masing-masing, namun ia tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menilai karakter seseorang hanya berdasarkan penampilan luaran.
“First of all, kita hormati pandangan. Itu pendapat dia dan mungkin selera dia mahukan wanita yang natural. Tetapi itu tidak bermakna wanita yang bermekap tidak mempunyai ciri-ciri wanita yang baik. Tak semestinya.
“Bila awak samakan mekap dengan karakter seseorang, saya rasa itu tak kena. Mekap is mekap. Awak tak boleh campurkan dengan label negatif seperti ‘red flag’. Itu pendapat saya,” kata bekas ratu cantik Miss Malysua 1992 itu lagi.
Tambahnyalagi, pengalaman hidup seseorang mungkin mempengaruhi cara mereka melihat sesuatu perkara.
“Mungkin kebetulan dia pernah berjumpa dengan wanita yang bermekap tebal dan pengalamannya kurang baik. Tapi tugas saya sendiri pun perlu bermekap tebal.
“Ramai orang yang bermekap tebal, tetapi hati mereka baik dan tingkah laku mereka elok. Semuanya sangat subjektif,” jelasnya.
Ibu kepada Engku Aleesya itu turut menegaskan pentingnya mengenali seseorang terlebih dahulu sebelum membuat sebarang penilaian.

“Kenali dulu seseorang itu. Jangan terus menilai dari fizikal. Hati budi tak boleh nampak dari luar. Tak boleh dinilai hanya melalui penampilan,” katanya.
Menurut Erra lagi, penampilan yang kelihatan sopan juga tidak menjamin akhlak seseorang itu baik.
“Ramai je yang nampak elok di luar, tetapi perangainya sebaliknya. Sebab itu jangan terlalu cepat menghukum,” tambahnya.
Sementara itu, suaminya, Ezwan Zain atau lebih dikenali sebagai Mr E turut berkongsi pandangan ringkas secara bersahaja.
“Kebetulan isteri saya memang bermekap. Tebal atau tidak saya tak pasti, tapi sejak mata memandang memang sejuk mata memandang,” katanya sambil tersenyum.
Fahami dunia solekan wanita
Erra kemudian menambah bahawa ramai lelaki sebenarnya tidak begitu memahami dunia solekan wanita.

“Sebenarnya kadang-kadang lelaki tak tahu. ‘Natural look’ pun masih mekap. Ada yang nampak simple tetapi sebenarnya tebal juga, cuma tekniknya membuatkan ia kelihatan semula jadi.
“Ada yang suka warna lembut, ada yang warna terang. Tahap tebal itu susah nak digambarkan sebab setiap orang berbeza,” jelas Erra.
Menurutnya lagi, wanita bermekap bukan semata-mata untuk orang lain, tetapi sebagai usaha menjaga penampilan dan keyakinan diri.
“Ada orang rajin bersiap walaupun di rumah. Ada yang sanggup bermekap, lepas solat cuci, kemudian pakai balik.
"Kalau sanggup dan rasa selesa, buatlah. Itu pilihan masing-masing,” katanya.
Erra berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran dan perasmian butik Amelia Jewellery di Shah Alam, pada Ahad.

Pemilik nama sebenar, Fazira Wan Chek turut memberitahu, dia bukan duta sebaliknya hadir sebagai tanda sokongan terhadap jenama berkenaan.
Pun demikian, Erra tidak menolak untuk menjalankan kerjasama bersama Amelia Jewellery dalam rekaan emasnya sendiri untuk dijual kepada pembeli.
"Sebenarnya memang ada perancangan itu. Cuma dia agak kompleks sikit sebab saya sukakan design yang simple, and yet maybe Emelia pun ada design tertentu yang nak ditampilkan. Tetapi kami masih lagi discuss about it lah.
"Tidak mustahil Insya-ALLAH kalau kena dengan design tu kena dengan selera, saya tidak kisah untuk bekerjasama," ungkapnya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
