'Adik tak pernah jatuhkan air mata mama' — Perkongsian Kilafairy tentang arwah Rohana Jalil undang hiba

No Image Caption
A
A
A

RINDU seorang anak pada ibu yang telah pergi, hakikatnya tak pernah kenal erti selesai. 

Walau masa terus berjalan, kenangan dan kata-kata yang ditinggalkan menjadi “bekalan hidup” paling mahal untuk terus kuat. 

Perasaan itulah yang dizahirkan pelakon dan penyanyi, Kilafairy atau nama penuhnya Syakila Nisa binti Jahangir Khan, saat berkongsi tentang arwah ibunya, Allahyarham Rohana Jalil, dalam satu sesi kerohanian yang cukup menyentuh hati.

Berkesempatan dijemput oleh Neelofa, suaminya Haris Ismail serta pasukan Nunha untuk berkongsi dalam sesi bertajuk 'Bekalan Untuk Aku Mati', Kila hadir dengan hati yang penuh rasa, bukan sebagai anak yang sempurna, tetapi sebagai seorang anak yang masih belajar menerima kehilangan paling besar dalam hidupnya.

No Image Caption

Untuk rekod, Allahyarham Rohana Jalil yang juga merupakan penyanyi veteran tanah air telah pergi menghadap Ilahi pada 20 Jun 2023 akibat kebocoran usus perut, meninggalkan satu kehilangan besar bukan sahaja buat keluarga, malah peminat yang membesar dengan lagu-lagu nyanyiannya.

Menurut pelakon dan penyanyi dari Kuala Lumpur itu, terlalu banyak kekurangan dirinya sebagai seorang anak.

Rindu tak pernah habis 

Namun, satu kata-kata arwah ibunya yang sentiasa tersemat kemas dalam ingatan menjadi pengubat rindu yang tidak pernah berpenghujung.

“Arwah mama pernah cakap, adik tak pernah sekali pun jatuhkan air mata mama.

"Bila ingat balik kata-kata itu, Kila rasa lega sikit, walaupun hakikatnya rindu itu tak pernah habis,” kongsinya penuh jujur.

No Image Caption

Bagi Kila, perkongsian yang dibuat bukanlah untuk menunjukkan dirinya kuat, jauh sekali sempurna. Sebaliknya, ia sekadar cerita tentang apa yang termampu dilakukan sebagai seorang anak selepas pemergian insan tersayang, daripada doa, amalan kecil sehinggalah usaha meneruskan legasi kebaikan arwah.

Dalam nada yang cukup merendah diri, Kila berharap setiap amalan yang dilakukan buat ibunya diterima ALLAH SWT dan menjadi bekalan berharga buat arwah di sana.

Malah, dia turut menitipkan doa agar semua yang hadir turut sama menghadiahkan Al-Fatihah buat Allahyarham.

No Image Caption

“Doakan juga untuk arwah mama Kila, Dara binti Abd Jalil. Semoga ALLAH lapangkan kubur mama dan tempatkan mama bersama orang-orang yang beriman. Amin,"titipnya penuh tulus.

Sesungguhnya, kehilangan seorang ibu tidak pernah ada noktahnya. 

Namun bagi wanita berusia 33 tahun itu, mengenang kata-kata dan kasih sayang arwah menjadi kekuatan untuk terus melangkah perlahan, tetapi penuh makna.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang