'Jangan burukkan pasangan, ingat dia bapa anak-anak & pernah bahagia bersama kita'-Rebecca Nur Al Islam bangkit dengan hati tenang

No Image Caption
A
A
A

BUKAN semua perpisahan hadir dengan pertelingkahan terbuka. Ada yang memilih jalan lebih matang dengan menyimpan rasa, menjaga maruah dan menyerahkan segalanya kepada ALLAH.

Itulah pendekatan pelakon dan usahawan, Rebecca Nur Al-Islam, selepas sah bercerai pada awal Mei 2025, sekali gus menamatkan perkahwinan yang dibina sejak 14 Januari 2011.

Hampir 14 tahun melayari bahtera rumah tangga, Rebecca mengakui dirinya sendiri tidak menyangka perkahwinannya akan berakhir dengan perceraian.

Namun takdir yang tertulis diterima dengan hati terbuka.

No Image Caption

“Alhamdulillah, semuanya okey.

"Tak tahu nak terangkan apa, semua okey,” ujarnya ringkas ketika ditanya mengenai keadaannya kini.

Jawapan yang sederhana itu menggambarkan kekuatan seorang wanita yang memilih untuk tidak memanjangkan luka.

Bagi Rebecca, apa pun yang berlaku, satu perkara tidak pernah berubah, anak-anak adalah keutamaan.

“Asalkan anak-anak okey, anak-anak sihat. Itu yang paling penting untuk saya.

"Pelajaran mereka okey, kesihatan mereka okey, itu sudah cukup," ujarnya tulus.

Sebagai ibu, kestabilan emosi dan kebajikan anak-anak menjadi fokus utama. Hubungan suami isteri mungkin berakhir, tetapi tanggungjawab sebagai ibu dan bapa tetap kekal.

Malah wanita berusia 39 tahun itu memohon agar orang ramai mendoakan kesejahteraan mereka sekeluarga.

No Image Caption

“Saya minta orang doakan yang baik-baik untuk saya dan anak-anak. Kesihatan itu paling penting.

"Doa yang baik-baik insya-ALLAH akan kembali kepada orang yang mendoakan," titipnya lagi.

Rebecca yang mesra disapa Mummu Becca melihat ujian yang berlaku bukan sekadar episod sedih, tetapi sebahagian daripada aturan hidup yang telah ditetapkan ALLAH.

“Apapun yang terjadi dalam hidup kita, baik atau tidak, semuanya datang daripada ALLAH.

"Kita kena fikir positif. Itu nombor satu," ujarnya lagi.

Baginya, kekuatan sebenar bukan datang daripada manusia, tetapi daripada hubungan yang kukuh dengan Tuhan.

“Kita kena trust ALLAH. Kena bersyukur, ingat ALLAH, minta dan doa pada ALLAH. Manusia tak boleh membantu sepenuhnya. Semuanya daripada DIA.”

Beliau juga mengakui tempoh awal selepas perceraian bukanlah mudah, namun memilih untuk tidak membiarkan fikiran negatif menguasai diri.

“Kita tak boleh fikir benda negatif. Memang tak boleh. Kena paksa diri untuk positif," ujarnya penuh makna.

Apa yang paling menyentuh hati ialah prinsip yang dipegang Rebecca sejak awal perpisahan, tidak memburukkan bekas pasangan.

“Jangan memburukkan pasangan masing-masing. Kita kena ingat, pasangan kita itu juga adalah bapa kepada anak-anak kita.

"Dan pasangan kita juga pernah bahagia dengan kita," kongsinya lagi.

No Image Caption

Kematangan  emosi

Kenyataan itu jelas mencerminkan kematangan emosinya. Menghormati masa lalu dan menjaga maruah bekas suami adalah prinsip yang tidak pernah dilupakan.

“Pasangan kita pernah ada kebaikan yang dilakukan. Jadi semuanya kita letak pada kepercayaan kita yang kuat kepada ALLAH.

"Itu sahaja yang saya pegang daripada awal perceraian," dedah Rebecca lagi.

Kini, Rebecca Nur Al-Islam meneruskan kehidupan seperti biasa dengan bekerja, mengurus keluarga dan memperbaiki diri sedikit demi sedikit.

Tiada lagi cerita lama yang mahu diperbesarkan.

Baginya, perceraian bukan penamat, sebaliknya satu fasa baharu untuk menjadi insan yang lebih kuat dan lebih dekat dengan Yang Maha ESa.

“Apapun yang ALLAH bagi, kita terima dan fikir benda yang positif," ujarnya.

No Image Caption

Sekadar info, Rebecca berkahwin dengan Datuk Norazam yang merupakan peguam dan ahli perniagaan pada 14 Januari 2011.

Pasangan itu dikurniakan sembilan orang anak yang mana lima daripadanya merupakan anak kandung, dua orang anak tiri dan dua orang anak angkat.

Tenang, matang dan penuh reda — itulah wajah Rebecca Nur Al-Islam hari ini. Tanpa membuka aib sesiapa, dia membuktikan bahawa bangkit selepas perpisahan bukan tentang siapa yang benar atau salah, tetapi tentang menjaga hati, menjaga maruah dan memastikan anak-anak terus membesar dalam kasih sayang.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang