Marsya dikata tidak menyerlah lepas TTMM, jadi mangsa body shaming, Liza Hanim buat laporan polis- 'Jangan usik anak kami'
BAGI seorang ibu, ada masanya diam bukan lagi pilihan. Apabila batas kesabaran disentuh, tindakan menjadi bahasa paling jelas.
Itulah yang dilakukan penyanyi Liza Hanim apabila anak sulungnya, Marsya Qistina, menjadi sasaran kecaman fizikal di media sosial.
Menerusi Instagram Story, pemilik nama sebenar, Haliza Hanim Abdul Halim tersebut berkongsi dirinya berada di perkarangan Balai Polis Klang bersama anaknya.

Tindakan berkenaan bukan sekadar simbolik, sebaliknya satu pendirian jelas terhadap budaya buli siber.
“Hidup ini ada undang-undang. Dah bersedia ke?” tulisnya ringkas.
Difahamkan, beberapa peminat Marsya turut tampil membuat laporan polis sebagai tanda solidariti.
Isu bermula apabila segelintir pengguna media sosial membandingkan perjalanan kerjaya Marsya dengan peserta lain program Talk To My Manager sehingga mencetuskan komen berbaur ‘body shaming’ dan dakwaan kononnya dia kurang menyerlah walaupun pernah menjuarai pertandingan.
Terdahulu, Marsya sendiri tampil menjelaskan keutamaannya kini bukan mengejar glamor, sebaliknya pendidikan.

Namun penjelasan itu mengundang perdebatan baharu dalam kalangan netizen.
Bagi Liza, ia bukan lagi soal karier hiburan semata-mata, tetapi maruah anak.
Tindakan membuat laporan polis dilihat sebagai usaha menghentikan budaya kecaman yang semakin membarah, terutama apabila melibatkan remaja yang masih membina masa depan.
Sementara itu, suami Liza, Shahrin Samsudin, turut mempertahankan anak mereka.
Menerusi satu ruangan komen, anggota kumpulan Indigo itu menegaskan setiap orang mempunyai perjalanan rezeki berbeza.

“Kau dah kenapa? Rezeki masing-masing. Sekarang keutamaan Marsya adalah degree dan sambung master.
"Buat benda yang menjamin masa depan dan muzik adalah bonus," tegasnya.
Tambahnya, ibu bapa bertanggungjawab menentukan arah anak, bukan orang luar yang hanya melihat dari skrin.
“Sebagai ibu bapa kami yang set direction Marsya. Buat research dulu baru bercakap atau menulis dengan bijak.”

Sebelum ini, seorang individu mendakwa secara terbuka bahawa Marsya kurang menerima tawaran persembahan walaupun bergelar juara program tersebut.
Hantaran berkenaan bagaimanapun dipadam selepas mencetuskan reaksi ramai.
Namun, kesannya sudah berlaku. Tindakan Liza bukan sahaja mempertahankan anak, tetapi memberi mesej jelas bahawa dunia maya bukan ruang bebas tanpa tanggungjawab.
Dalam era semua orang boleh menjadi pengulas, sempadan antara kritikan dan penghinaan semakin kabur.
Apa yang dianggap 'komen biasa' oleh sesetengah pihak sebenarnya meninggalkan kesan emosi yang mendalam kepada individu terlibat.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
