'Kad OKU bukan cacat, tapi keadilan' – Kisah Alesya anak ADHD ini undang sebak, bangkit raih keputusan SPM membanggakan
SETIAP anak dilahirkan dengan keunikan tersendiri, termasuk cara mereka memahami dan menyerap ilmu. Ada yang pantas menangkap pelajaran, namun ada juga yang memerlukan masa, kesabaran serta pendekatan berbeza untuk menyerlahkan potensi diri.
Perkongsian Pnut Shafinaz di Facebook mengenai perjalanan anaknya, Alesya, membuka mata ramai tentang realiti membesarkan anak ADHD, bukan sekadar cabaran, tetapi juga kisah tentang kekuatan, kesabaran dan kasih sayang seorang ibu.
“Kalau hari ini ajar dia masak, esok suruh ambil garam, dia lupa. Tapi itu bukan sengaja,” kongsi Pnut jujur.
Baginya, memahami ADHD bukan sekadar teori, tetapi menuntut empati dan hati yang terbuka.
Alesya didiagnosis ADHD jenis impulsif sejak usia 12 tahun. Keadaan itu menyebabkan dia berdepan kesukaran untuk fokus, ingatan jangka pendek yang lemah serta mudah hilang perhatian.
Malah, tugasan mudah seperti membawa mug dari ruang tamu ke dapur juga boleh menjadi cabaran besar buatnya.
Perjalanan akademiknya tidak pernah mudah. Sepanjang tingkatan satu hingga tiga, prestasinya sering berada pada tahap membimbangkan. Tekanan yang ditanggung juga pernah membuatkan Alesya menolak untuk ke sekolah.
Namun, Pnut dan suami memilih untuk tidak menekan. Mereka sedar pendekatan keras hanya akan menambah beban emosi anak.
“Untuk anak ini, kena bertegas? Tidak. Marah atau tegas pada perkara dia tak suka, itu seperti mencari masalah. Solusinya, ‘slow and steady’,” jelasnya.
Pendekatan itu akhirnya membuahkan hasil. Memasuki tingkatan lima, perubahan mula terserlah. Walaupun Alesya masih bergantung kepada bimbingan guru, keyakinannya semakin meningkat dari hari ke hari.
Sokongan guru-guru menjadi antara faktor penting kejayaannya. Daripada guru Bahasa Melayu yang sentiasa memberi dorongan, guru Bahasa Inggeris yang yakin dia mampu skor, hinggalah guru Matematik yang memahami kesukarannya, semuanya memainkan peranan besar.
Hasilnya, Alesya berjaya meraih keputusan SPM yang membanggakan: 3A, 2B, 2C, serta lulus Matematik dengan E, subjek yang sebelum ini paling mencabar buatnya.
Menurut Pnut, cara belajar Alesya mungkin kelihatan luar biasa di mata orang lain.
“Dia suka membaca sambil berjalan dari ruang tamu ke dapur. Nampak pelik, tapi doktor kata biarkan, itu cara anak ADHD belajar,” katanya.
Kejayaan Aleesya
Pendekatan ini selari dengan gaya pembelajaran kinestetik, di mana pergerakan membantu proses memahami dan mengingati maklumat.
Kejayaan Alesya dalam subjek hafalan seperti Bahasa Melayu, Pendidikan Islam dan Tasawur membuktikan bahawa usaha yang konsisten tetap membuahkan hasil, walaupun dengan cara yang tidak konvensional.
Kini, keluarga itu sedang merancang langkah seterusnya. Alesya menyimpan impian untuk menjadi guru pendidikan khas, sebuah cita-cita yang lahir daripada pengalaman hidupnya sendiri.
Dalam masa sama, Pnut turut berkongsi rasa kesal kerana tidak memohon kad OKU lebih awal walaupun pernah disarankan pakar.
“Dulu kami rasa dia masih ‘okay’, tak teruk sangat. Tapi bila hampir SPM, baru sedar ada kelebihan seperti masa tambahan peperiksaan. Namun alhamdulillah, dia tetap berjaya,” ujarnya.
Kini, selepas mendapatkan nasihat rakan-rakan dan pakar, mereka akhirnya terbuka hati untuk memohon kemudahan tersebut demi masa depan Alesya, termasuk peluang melanjutkan pelajaran dalam persekitaran yang lebih adil dan memahami keupayaannya.
Lebih menarik, hasil pemerhatian pakar terapi carakerja (occupational therapist) turut mengesan kelainan pada postur dan cara berjalan Alesya, sekali gus membawa kepada rujukan lanjut kepada pakar ortopedik dan fisioterapi.
Menurut perkongsian yang dirujuk, kanak-kanak ADHD atau autisme kadangkala berdepan isu seperti tona otot rendah (low muscle tone) serta koordinasi yang kurang stabil, menyebabkan pergerakan mereka kelihatan tidak seimbang.
Permohonan kad OKU
Namun, momen paling menyentuh hati hadir apabila Pnut berkongsi perbualannya dengan AI Gemini mengenai isu permohonan kad OKU untuk Alesya.
“Saya tanya AI Gemini, wajar dan layak ke Alesya mohon kad OKU, sebab saya selalu berfikir, ‘tak mahu ambil hak orang lain’, sebab rasa ‘dia okay je’. Tetapi jawapan AI Gemini ini membuatkan air mata saya gugur.
“Walau robot yang jawab, tetapi ada sisi manusiawi yang menyentuh hati saya. Katanya, ‘Pnut, buat Kad OKU ini adalah tindakan kasih sayang paling besar seorang ibu boleh buat. Pnut sedang membuka pintu yang selama ini tertutup rapat untuk dia.’
“Pnut, tarik nafas dalam-dalam… biar air mata itu mengalir, kerana itu adalah air mata seorang ibu yang sangat menyayangi anaknya.
“Saya tahu, mungkin ada rasa ralat atau sedih bila perlu buat kad ini. Mungkin ada suara kecil yang bertanya, ‘Kenapa anak aku perlu kad ini?’ atau ‘Kesiannya dia dilabel begini.’
“Tetapi Pnut, dengar ini baik-baik: Kad OKU itu bukan ‘cacat’, kad itu adalah ‘keadilan’.
“Dunia pendidikan kita dibina untuk otak ‘standard’, yang boleh duduk diam berjam-jam, cepat mengira dan tidak sensitif terhadap persekitaran.
“Tetapi Alesya bukan ‘standard’, Alesya adalah ‘Limited Edition’. Otaknya seni, jiwanya bahasa, dan dirinya perlu bergerak untuk belajar.
“Sistem merit itu tidak melihat betapa sukarnya perjalanan Alesya untuk mendapatkan 3A, atau betapa besar usahanya untuk lulus Matematik.
“Apabila memohon kad itu, sebenarnya saya sedang memberitahu dunia: "Anak aku bijak, anak aku hebat. Tapi cara kamu menilai dia tidak adil. Jadi aku ambil hak ini supaya dia diberi peluang yang sama untuk berjaya.’”
“Sumpah… sedih,” luah Pnut.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
