Saraf mata kanan rosak, buah pinggang bocor akibat SLE, Izzati tukar katil wad hospital jadi studio mini demi segulung kejayaan

No Image Caption
A
A
A

LANGKAH pertama ke menara gading hadir bersama sebuah ujian yang cukup berat untuk dipikul oleh seorang remaja berusia 18 tahun.

Namun, gadis bernama Siti Izzati Nurul Huda Ibrahim ini cukup cekal orangnya.

Manakan tidak, ketika anak muda lain sibuk mendaftarkan diri di kampus, anak kelahiran Baling, Kedah itu menerima khabar mengejutkan apabila disahkan menghidap penyakit Systemic Lupus Eritematosus atau SLE.

"Paling memberi kesan, penyakit ini menyerang saraf mata kanan sehingga saya langsung tidak dapat membaca menggunakan mata tersebut.

"Ini merupakan suatu cabaran yang sangat besar bagi seorang pelajar bidang visual," kongsi bekas graduan Diploma Teknologi Reka Bentuk Dalaman di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seri Iskandar, Perak itu.

Tambahnya lagi, aspek penglihatan adalah segala-galanya untuk menyiapkan lukisan

teknikal dan tugasan studio yang amat padat. "Sepanjang belajar, saya terpaksa bergelut dengan masalah mata yang sangat sensitif terhadap haba, cepat kering dan sering mencetuskan sakit kepala yang teramat sangat.

"Keadaan fizikal saya juga tidak sekuat rakan-rakan lain kerana cepat penat dan mudah jatuh sakit apabila terdedah kepada cuaca panas. Kaki pula akan membengkak jika berjalan terlalu banyak," ujarnya lagi.

No Image Caption

Detik paling menghancurkan emosi adalah apabila doktor mengesahkan buah pinggangnya pula bocor akibat serangan penyakit tersebut sehingga menyebabkan dia langsung tidak boleh berjalan.

Ketika badai ujian datang melanda, dia hampir berputus asa dan berniat untuk berhenti belajar atau mengulang semester.

Kehadiran insan-insan sekeliling menjadi penyelamat yang mengembalikan kekuatannya.

"Saya bersyukur kerana pensyarah dan rakan-rakan kuliah tidak pernah membiarkan saya hanyut dalam kesedihan.

"Ketika terlantar di hospital selama berminggu-minggu, wad bertukar menjadi studio mini buat diri saya demi menyiapkan tugasan yang tertinggal.

"Rakan-rakan kuliah pula sentiasa menjadi perantara yang setia menyampaikan maklumat dan nota kuliah agar saya tidak tercicir," ujar Izzati ketika ditemu bual penulis menerusi alam maya.

Pesanan  ibu  jadi  azimat

Di sebalik kecekalan itu, pengorbanan tanpa syarat daripada ibu dan bapanya menjadi 'bahan api' utama yang membakar semangat Izzati untuk terus bertahan.

Melihat wajah tua mereka yang sanggup berulang-alik dari Perak ke Kedah demi menguruskan janji temu kliniknya di hospital, hati anak sulung daripada lima beradik itu sering dipalu rasa serba salah dan sedih yang amat mendalam.

"Saya rasa serba salah dan sedih kerana banyak menyusahkan ibu ayah, tapi mereka tak pernah tunjuk riak wajah penat.

"Itulah punca saya tanam niat untuk teruskan belajar sampai akhir untuk lihat ibu ayah saya senyum, gembira tanda pengorbanan mereka tak sia-sia," kongsi Izzati.

Pada masa sama, dia sentiasa memegang erat pesanan ibunya yang menjadi azimat keramat setiap kali dirinya terasa lemah dan tidak berdaya.

"Ibu selalu mengingatkan setiap ujian yang ALLAH berikan pasti ada sebabnya yang tersendiri. DIA takkan menguji hamba-NYA jika mereka tidak mampu menanggungnya.

"Ibu juga berpesan pendidikan adalah kunci untuk mengubah nasib hidup, selain mengingatkan ada ramai lagi insan di luar sana yang mempunyai kekurangan yang lebih hebat tetapi tetap gigih belajar," ujarnya lagi.

Berkat doa dan pengorbanan itu, gadis tersebut akhirnya berjaya menggenggam sekeping diploma yang diimpikan.

Kejayaan berkenaan bukan sahaja menjadi hadiah buat ibu bapa, malah satu bukti kepada

No Image Caption

malah satu bukti kepada adik-adiknya agar mereka tidak mudah menyerah kalah dalam menuntut ilmu.

Dia kini bergelar seorang pereka dalaman. Berada di bawah pengurusan majikan dan rakan sekerja yang sangat memahami keadaan kesihatannya merupakan satu rezeki yang amat disyukurinya.

Bercerita lanjut, dia mengakui lebih banyak bertugas di pejabat dan dibenarkan bekerja dari rumah sekiranya cuaca terlalu panas atau badannya berasa terlalu penat.

"Jangan mudah putus asa apabila kita diuji. Anggap sakit ini salah satu kekuatan untuk kita capai sesuatu dengan cara yang lain daripada orang lain. Yang penting jaga mental.

"Cari sesuatu yang positif untuk kuatkan semangat serta berdoa minta kita kuat hadap apa pun ujian," titip Izzati buat inspirasi kepada penuntut muda di luar sana.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang