'Ibu terlalu terluka, anak masih belajar memahami...' – Ustazah Asmak Husin kongsi pandangan isu Abby Abadi & Marissa Dania

No Image Caption
A
A
A

LUKA paling dalam selalunya datang daripada orang yang paling kita sayang.

Bagi seorang wanita bergelar ibu, tiada apa yang lebih merobek jiwa melainkan apabila melihat anak yang dikandung dan ditatang sejak kecil, mula menjauhkan diri atau membawa haluan yang mengguris perasaan.

Detik-detik seumpama ini bukan sahaja menguji kesabaran, malah sering kali membuatkan air mata tumpah dalam diam, mengenangkan rapuhnya sebuah hubungan yang dibina dengan kasih sayang.

Rentetan kontroversi yang melanda selebriti Abby Abadi dan anaknya, Marissa Dania berhubung isu ketidakhadiran si ibu ke majlis hari lahir baru-baru ini, pendakwah bebas, Ustazah Asmak Husin tampil berkongsi pandangan yang cukup menyentuh sudut pandang gaya hidup kekeluargaan hari ini.

Melalui hantaran di laman Facebook miliknya, beliau melihat konflik tersebut sebagai satu fasa realiti yang kerap berlaku dalam masyarakat, bukannya sekadar sebuah drama untuk dihakimi netizen.

"Ibu yang terlalu terluka dengan pelbagai bebanan kisah lama. Anak yang sudah berusaha dan tidak tahu mahu buat bagaimana lagi.

"Saya sangat memahami situasi ini kerana usia awal 20-an adalah fasa kita masih belajar memahami hati ibu,"ujarnya.

No Image Caption

Menurut Ustazah Asmak lagi, kemelut yang melanda dua beranak ini sebenarnya adalah perkara normal dalam pasang surut hubungan kekeluargaan, yang mana tiada istilah siapa betul dan siapa salah.

Beliau menitipkan pesan penuh keinsafan agar Marissa tidak sesekali berputus asa untuk mengetuk kembali pintu hati ibunya, memandangkan usia awal 20-an sememangnya fasa paling mencabar untuk seorang anak belajar menyelami erti matang.

Ruang kemaafan

Pada masa yang sama, empati turut diluahkan kepada Abby Abadi yang pastinya membawa beban emosi yang sarat sebagai seorang ibu.

Ustazah Asmak mendoakan agar Abby diberikan kekuatan sekudus hati untuk merawat luka tersebut dan tidak membiarkan tekanan emosi menutup terus ruang kemaafan buat si anak yang sedang merangkak belajar daripada kesilapan lalu.

"Buat adik Marissa, jangan putus asa untuk terus mendekati dan membina semula hubungan. Selagi ibu masih ada, masih ada ruang untuk memohon maaf, berbual dan memulakan semula.

No Image Caption

"Buat Abby pula, saya doakan ALLAH mengurniakan kekuatan hati. Luka seorang ibu memang berat, lebih-lebih lagi apabila melibatkan anak sendiri. Namun jangan biarkan tekanan emosi membuatkan hati semakin tertutup.

"Anak juga sedang belajar menjadi dewasa. Berilah ruang untuk dia memperbaiki kesilapan dan hargailah setiap langkah kecil yang diambil untuk kembali mendekat," titp Ustazah Asmak lagi.

Hantaran pendakwah itu kemudiannya diakhiri dengan peringatan bahawa dalam hubungan darah daging, 'tiada yang menang dan kalah'.

"Semoga ALLAH melembutkan hati ibu dan anak, menghilangkan salah faham, dan mengikat kembali kasih sayang yang kadang-kadang menjadi renggang,"ujar beliau lagi.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang