Bukan sekadar ekspo kucing, acara ini satukan pencinta si bulus, angkat kesedaran pemilikan haiwan bertanggungjawab
Bagi pencinta haiwan kesayangan, terutama si bulus yang sering dianggap sebahagian daripada keluarga, menjaga mereka bukan lagi sekadar soal makanan dan tempat tinggal. Ia melibatkan kesihatan, keselesaan serta gaya hidup yang lebih baik.
Menyedari perubahan cara masyarakat melihat haiwan peliharaan, OHMYMEOW! EXPO 2026 kembali membuka tirainya dengan membawa pengalaman lebih dekat kepada dunia si comel.
Diiktiraf sebagai Ekspo Kucing Terbesar di Malaysia oleh Malaysia Book of Records, acara yang berlangsung di Mid Valley Exhibition Centre (MVEC) itu menghimpunkan pencinta haiwan, pemain industri serta pelbagai inovasi berkaitan penjagaan haiwan kesayangan.
Berlangsung selama empat hari bermula 9 Julai 2026, ekspo berkenaan menampilkan lebih 250 pempamer yang menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan meliputi aspek pemakanan, kesihatan, penjagaan harian serta gaya hidup haiwan peliharaan.

Namun, lebih daripada sekadar ruang membeli-belah, OHMYMEOW! EXPO 2026 turut membawa mesej penting mengenai pemilikan haiwan secara bertanggungjawab.
Kempen itu memberi kesedaran kepada masyarakat supaya lebih memahami keperluan haiwan kesayangan dan menyediakan penjagaan yang lebih beretika.
Menariknya, ikon kulinari negara, Datuk Chef Wan turut tampil menyokong usaha membentuk komuniti yang lebih penyayang terhadap haiwan.
Antara tarikan yang mencuri perhatian tahun ini ialah kemunculan pra-tonton eksklusif JAECOO J5 EV yang buat pertama kali diperkenalkan kepada umum di Malaysia.

Kenderaan elektrik itu menampilkan konsep kabin mesra haiwan dengan ciri khas yang direka untuk memberikan pengalaman perjalanan lebih selesa dan selamat buat pemilik bersama haiwan kesayangan mereka.
Menurut Pengurus Produk OMODA JAECOO Malaysia, Kamal Afiq, konsep mesra haiwan yang dibawa bukan sekadar tarikan, tetapi mencerminkan perubahan gaya hidup pemilik moden yang semakin mengambil berat tentang kebajikan haiwan peliharaan ketika bergerak.
“Pemilik hari ini melihat haiwan kesayangan sebagai sebahagian daripada keluarga. Jadi, keperluan mereka ketika melakukan perjalanan juga perlu diberi perhatian,” katanya.

Sementara itu, penganjur bersama OHMYMEOW! EXPO 2026, Jaice Tan berkata, ekspo berkenaan berkembang daripada sebuah pameran kepada platform yang menyatukan komuniti pencinta haiwan dan pemain industri.
“Matlamat kami adalah untuk mewujudkan kesedaran mengenai pemilikan haiwan yang bertanggungjawab serta memperkenalkan pelbagai inovasi yang mampu meningkatkan kualiti hidup haiwan kesayangan,” ujarnya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
