'Dulu tak suka, sekarang macam anak...' - Mark Adam dedah kisah jaga 18 kucing, siap nama Melayu & bilik aircond, TV

No Image Caption
A
A
A

SIAPA  sangka di sebalik watak jenaka dan personaliti ceria penyanyi serta pelakon kelahiran Cebu, Filipina ini, tersimpan satu sisi keibubapaan yang sangat luar biasa terhadap haiwan peliharaan. 

Pemilik nama Islam Fikri Mark Adam Abdullah ini sebenarnya seorang 'bapa kucing' yang sangat penyayang dan sanggup berhabis demi keselesaan 18 ekor "anak-anak bulu" kesayangannya. 

Namun, siapa sangka, di sebalik kemewahan yang diberikan kepada haiwan comel itu sekarang, pelantun lagu Pencuri ini rupa-rupanya pernah melalui fasa tidak menyukai kucing suatu ketika dahulu.

Detik perubahan itu bermula selepas dirinya mendirikan rumah tangga bersama isteri tercinta, Norazah Redzuan. 

Menurut Mark, pada awal perkahwinan, isterinya yang terlebih dahulu menunjukkan minat yang mendalam terhadap haiwan berkenaan. 

Lama-kelamaan, kecomelan dan gelagat unik makhluk berbulu itu berjaya mencuri tangkai hatinya sehingga dia sendiri jatuh cinta.

No Image Caption

"Sebelum itu saya memang tidak suka kucing. Semuanya berubah selepas saya berkahwin. Kalau diikutkan isteri yang suka kucing dulu.

"Namun segalanya berubah apabila saya tahu perangai haiwan ini, itu yang membuatkan saya terus jatuh cinta," kongsi Mark mengimbas kembali bagaimana dia mula terjebak menjadi pencinta kucing tegar.

Kasih sayang yang dipupuk sekian lama membuatkan rumah tangga pasangan ini tidak pernah sunyi daripada bunyi mengiau. 

Malah, bilangan kucing yang pernah dipelihara mereka pernah mencecah sehingga 30 ekor. 

Bagaimanapun, jumlah tersebut semakin berkurangan saban tahun ekoran faktor usia haiwan-haiwan berkenaan yang sudah tua.

Bagi Mark, kehadiran kucing-kucing tersebut bukan sekadar haiwan peliharaan yang datang dan pergi, tetapi mereka merupakan sebahagian daripada ahli keluarga yang sangat istimewa. 

Ikatan emosi yang kuat itu membuatkan Mark dan isteri tidak berkira soal wang ringgit demi memastikan kebajikan dan kebahagiaan baki 18 ekor kucing yang ada sekarang terjaga sepenuhnya.

No Image Caption

"Sampai sekarang, kalau tiada kucing, rumah itu sunyi. Kucing ialah satu haiwan yang sangat istimewa bagi saya. Malah saya ada hasilkan lagu khas bertajuk Rokiah, dua tiga tahun lepas.

"Tidak kira benda itu, sebab anak-anak kesayangan kan. Jadi apa yang saya mampu dengan isteri, kita bagilah," ujarnya santai namun penuh dengan nada keibuan.

Bukan calang-calang layanan yang diberikan, Mark mendedahkan dia menyediakan dua buah bilik khas yang dilengkapi dengan kemudahan aircond serta televisyen. 

Lebih melucukan, bilik tersebut bertukar menjadi 'panggung wayang' mini kerana kucing-kucingnya itu rupa-rupanya sangat gemar meluangkan masa menonton rancangan kartun.

No Image Caption

Bercerita mengenai pengurusan domestik di rumah, Mark dan isteri mengamalkan konsep toleransi dan pembahagian tugas yang sangat adil. 

Jika pada waktu siang tugas membersihkan bilik dan memberi makan diserahkan kepada isteri, giliran Mark pula mengambil alih tanggungjawab tersebut apabila pulang bekerja pada lewat malam. 

Malah, sekiranya mereka perlu keluar daerah atas urusan kerja untuk tempoh yang lama, kesemua kucing tersebut akan dihantar ke hotel kucing bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.

Satu lagi keunikan yang mencuri perhatian mengenai komunitinya itu adalah pemilihan nama. 

Walaupun bapa kepada kucing-kucing tersebut berasal dari luar negara, Mark tetap bertegas mahu menamakan mereka dengan nama-nama klasik Melayu yang diinspirasikan daripada barisan artis terkenal tanah air.

"Nama-nama mereka kena nama Melayu itu yang isteri saya tegaskan. Yang awal-awal itu nama-nama Filipina. Sekarang semua ada nama Melayu. Rosmah, Rosyam, Rokiah, Roslan... nama-nama artis," seloroh Mark sambil ketawa kecil.

No Image Caption

Kisah tanggungjawab dan kasih sayang luar biasa Mark Adam ini sebenarnya selari dengan kempen kesedaran yang dibawa dalam OHMYMEOW! EXPO 2026 yang kembali membuka tirainya di Mid Valley Exhibition Centre (MVEC).

Diiktiraf sebagai Ekspo Kucing Terbesar di Malaysia oleh Malaysia Book of Records, acara yang berlangsung selama empat hari bermula 9 Julai 2026 ini bukan sekadar ruang membeli-belah dengan kehadiran lebih 250 pempamer, malah turut disokong oleh ikon kulinari negara, Datuk Chef Wan bagi membentuk komuniti yang lebih penyayang dan beretika terhadap haiwan.

Menariknya, ekspo kali ini turut menyaksikan perubahan gaya hidup pemilik moden menerusi kemunculan pra-tonton eksklusif JAECOO J5 EV yang menampilkan konsep kabin mesra haiwan untuk keselesaan perjalanan. Menurut Penganjur Bersama, Jaice Tan, matlamat utama ekspo ini adalah untuk mewujudkan kesedaran mengenai pemilikan haiwan yang bertanggungjawab serta memperkenalkan pelbagai inovasi baharu yang mampu meningkatkan kualiti hidup haiwan kesayangan di negara ini.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang