'Kekuatan tidak bermakna saya tak pernah penat' – Coretan menyentuh hati Bella Astillah raih perhatian, netizen titip kata semangat

No Image Caption
A
A
A

PERKONGSIAN terbaharu pelakon dan penyanyi jelita, Bella Astillah di laman sosial peribadinya sekali lagi mencuri perhatian netizen apabila dia memuat naik satu luahan emosi yang cukup mendalam.

Tanpa memperincikan sebarang konflik atau berkongsi cerita sebenar di sebalik kata-kata tersebut, hantaran yang sarat dengan mesej tersirat itu seolah-olah menggambarkan kekuatan dalaman yang sedang diputuskannya untuk terus melangkah ke hadapan.

Menerusi coretan yang menyentuh hati peminat itu, ibu kepada dua cahaya mata ini mengakui bahawa dia bukanlah seorang yang gemar meminta-minta, sebaliknya lebih selesa berdikari dan menyelesaikan segala ujian hidup dengan kudratnya sendiri.

"Saya tidak pernah mahu meminta banyak perkara. Saya sentiasa percaya, jika boleh mengendalikan sesuatu sendiri, saya patut lakukannya," luah Bella yang jelas menggambarkan keperibadiannya yang tabah.

No Image Caption

Senyuman jawapan terbaik

Tanggapan luaran yang sering melihatnya sebagai seorang wanita besi turut diulas lembut oleh Bella, yang menyifatkan bahawa kecekalan itu hadir bukan kerana dia kebal daripada rasa lelah.

"Mungkin itulah sebabnya orang fikir saya kuat. Tetapi kekuatan tidak bermakna saya tidak pernah penat.

"Ia cuma bermakna saya telah belajar bagaimana untuk terus berjalan, malah pada hari-hari apabila saya rasa sedikit tersesat," katanya lagi.

Menutup bicara coretannya yang penuh misteri namun sarat motivasi diri itu, Bella memberitahu bahawa senyuman sering kali menjadi jawapan terbaik bagi menyembunyikan segala rasa yang terbuku di hati.

"Jadi, jika awak tanya bagaimana keadaan saya, saya mungkin akan tersenyum dan berkata, 'Saya okey.'

"Bukan kerana semuanya sempurna, tetapi kerana sesetengah perasaan lebih mudah untuk dipikul daripada diterangkan," kongsinya lagi sambil mendoakan agar hari yang dilalui oleh semua pengikutnya dipermudahkan dan berjalan dengan baik.

No Image Caption

"Sikap positif sentiasa membawa kepada sesuatu yang baik.

"Percayalah cakap saya dan semoga hari anda semua ceria selalu," ujar tunangan Syed Saddiq itu lagi.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet dan peminat setia tidak melepaskan peluang untuk membanjiri hantaran tersebut dengan pelbagai kata-kata semangat dan doa yang menitipkan aura positif. 

Malah, ramai yang mengakui kagum dengan cara Bella membawa diri dan menyifatkan tenaga positif yang dipamerkannya itu turut memberi inspirasi kepada orang sekeliling.

"Peluk rapat untuk Bella, Bella seorang yang kuat dan kami sebagai peminat akan sentiasa berada di belakang Bella dan keluarga," coret salah seorang netizen. 

Ada juga yang memuji keperibadiannya dengan menulis, "Awak adalah perkara terbaik untuk diri sendiri, Bella. Sayang awak, kamu sangat positif." 

Sementara itu, seorang lagi pengikutnya sempat menitipkan ucapan hari Jumaat dengan berkata, "Sikap positif Bella ini sangat berjangkit tahu! 

Kita tengok Bella positif, kita pun ikut positif. Salam Jumaat Bella, semoga hari Jumaat penuh keberkatan."

No Image Caption

Bukan itu sahaja, peminat turut mengingatkan Bella untuk terus fokus kepada perkara yang membahagiakan diri sendiri dan mengabaikan segala kata-kata negatif di luar sana. 

"Itu maknanya ALLAH sentiasa bersama mu Bella selagi niat ikhlas membuat sesuatu. Aura yang sangat positif. 

"Abaikan sahaja yang mengata buruk, kalau boleh jangan baca atau tengok komen-komen yang buruk fasal Bella. Yang penting tidak lama lagi bakal jadi Datin Bella," tambah seorang lagi netizen yang mendoakan agar segala urusan masa depan artis kesayangan mereka itu sentiasa dipermudahkan.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang