'Badan berubah, kulit kusam, rasa down...' - Fasha Sandha akui pernah hilang keyakinan diri selepas bersalin, pesan wanita sayangi diri sendiri
MENJADI ibu, isteri, anak dan pada masa sama mengejar kerjaya bukanlah sesuatu yang mudah.
Dalam kesibukan itulah, keyakinan diri kadangkala perlahan-lahan menghilang, terutama apabila tubuh dan emosi berubah selepas melahirkan cahaya mata.
Perasaan itu bukan asing buat pelakon Fasha Sandha. Di sebalik penampilan yang sentiasa anggun dan penuh pesona, dia mendedahkan pernah melalui fasa sukar untuk menerima perubahan diri selepas bersalin.
Menurut Fasha, ramai menyangka kecantikan hanya diukur melalui wajah atau bentuk tubuh, sedangkan bagi dirinya, kecantikan sebenar lahir apabila seseorang wanita berasa gembira dan yakin dengan diri sendiri.
"Pada saya, cantik bukan hanya luaran, tetapi juga dalaman. Bila diri rasa cantik dan yakin, kita akan rasa gembira. Daripada situlah seri itu akan terpancar," ujarnya.

Namun, ibu kepada tiga cahaya mata itu tidak berselindung bahawa keyakinan tersebut juga pernah goyah.
"Saya juga pernah melalui fasa rasa down dan sangat tidak berkeyakinan.
"Perasaan itu timbul selepas melahirkan anak, kita rasa badan sudah berubah, kulit jadi kusam dan seolah-olah diri ini sudah tidak cantik," ungkap isteri kesayangan Aidil Aziz lagi.
Pengakuan jujur itu pastinya dekat dengan hati ramai wanita. Hakikatnya, perubahan fizikal selepas bersalin sering membuatkan ibu berasa kurang selesa dengan diri sendiri.
Dalam masa sama, mereka lebih banyak memikirkan keperluan anak, keluarga dan pasangan berbanding kebahagiaan sendiri.
Menurut pemilik nama sebenar, Nur Fasha Sandha Hassan itu lagi, keadaan tersebut tidak seharusnya berpanjangan.

Wanita juga berhak memberi perhatian kepada diri sendiri tanpa perlu berasa bersalah.
"Kita jangan letakkan diri di kedudukan paling bawah. Selalu kita utamakan kerja, keluarga dan suami sampai terlupa pada diri sendiri. Sedangkan kita juga perlu dijaga," tegas pelakon drama Kasih Yang Terkorban itu lagi.
Belajar sayang diri
Menginjak usia yang lebih matang, wanita berusia 42 tahun berkenaan mengakui dirinya kini lebih memahami kepentingan menghargai diri.
Baginya, menjaga diri bukan sekadar soal penampilan, tetapi juga tentang kesihatan, kesejahteraan emosi dan rasa hormat terhadap diri sendiri.
"Bila usia semakin meningkat, saya sedar kita kena jaga diri sendiri. Kalau kita tak jaga diri, siapa lagi yang akan sayang kita?
"Kita kena belajar sayang diri sendiri dahulu," tegas duta baharu Safi Youth Gold Rania itu.
Tambahnya lagi, apabila seseorang wanita bahagia dan menghargai dirinya, aura positif itu bukan sahaja memberi manfaat kepada diri sendiri, malah turut memberi inspirasi kepada orang di sekeliling.
"Bila kita sayang diri sendiri, insya-ALLAH kita juga boleh menjadi inspirasi kepada orang lain," ungkap bintang filem Anak Perjanjian Syaitan 2 itu lagi.

Perkongsian Fasha mengingatkan bahawa tidak mengapa jika sesekali wanita memilih untuk mendahulukan diri sendiri.
Kerana apabila diri terjaga, hati lebih tenang dan keyakinan kembali mekar, mereka akan lebih kuat untuk terus menggalas pelbagai peranan dalam kehidupan.
Lagipun, menyayangi diri sendiri bukan satu bentuk mementingkan diri, sebaliknya langkah pertama untuk menjadi versi terbaik buat diri sendiri dan insan tersayang
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
