'Saya sporting, tapi ada batasnya' - Zizan Razak tegur gambar diedit keterlaluan, minta hormati hukum agama

No Image Caption
A
A
A

NAMA Zizan Razak sering dikaitkan dengan imej santai, mencuit hati dan mudah melayan peminat. Namun, di sebalik sifatnya yang terbuka dan suka menghiburkan orang ramai, pelawak serta pelakon popular itu mengingatkan bahawa setiap perkara tetap mempunyai batas yang perlu dihormati.

Menerusi satu hantaran di media sosial baru-baru ini, dia tampil meluahkan pandangannya selepas beberapa gambar dirinya yang telah disunting dan diubah suai menjadi bahan jenaka tular di internet.

Menurut Zizan, dia tidak mempunyai masalah untuk bergurau atau menjadi bahan hiburan kerana mengakui dirinya seorang yang sporting dan gemar menceriakan suasana.

Bagaimanapun, dia berharap kreativiti yang dilakukan tidak keterlaluan sehingga menyentuh perkara yang bertentangan dengan nilai agama.

“Assalamualaikum kepada seluruh warga internet dan mereka yang mengenali diri ini.

"Tujuan posting adalah untuk meluahkan dan memberitahu yang saya memang seorang yang sporting dan juga fun, akan tetapi ada tahapnya,” katanya.

No Image Caption

Kongsinya lagi, dia memahami budaya masyarakat hari ini yang gemar menghasilkan kandungan kreatif, termasuk menyunting gambar selebriti untuk tujuan hiburan.

Namun, perkara tersebut seharusnya dilakukan dengan penuh tanggungjawab dan tidak melampaui batas.

“Berkenaan dengan gambar saya yang viral beberapa hari ini, diedit dan diubah menjadi kelakar boleh, tetapi biarlah berpada dan tidak melanggar hukum agama Islam,” ujarnya.

Dalam masa sama, pelakon filem Polis Evo itu turut menegur tindakan segelintir pihak yang menggunakan gambar dirinya bagi tujuan promosi tanpa mendapatkan kebenaran terlebih dahulu.

Menurut Zizan, penggunaan wajah seseorang untuk kepentingan perniagaan tanpa izin bukanlah perkara yang wajar, malah perlu dielakkan agar urusan perniagaan dilakukan dengan cara yang betul dan beretika.

“Dan ada juga pihak yang mengambil kesempatan bertujuan mempromosikan produk masing-masing tanpa meminta izin mahupun bayaran dikenakan. Itu totally haram pada pendapat saya. Jadi renung-renungkanlah jika ingin berniaga secara halal,” katanya.

No Image Caption

Luahan tersebut mendapat perhatian ramai yang menyokong pendirian Zizan agar setiap individu lebih peka terhadap batas penggunaan kandungan di media sosial.

Bagi seorang figura awam seperti Zizan, gurauan dan hiburan sememangnya sebahagian daripada dunia seni yang diceburinya.

Namun, dalam era digital yang pantas, setiap perkongsian juga membawa tanggungjawab agar tidak hanya mengejar perhatian, tetapi turut menjaga adab dan menghormati hak orang lain.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang