'Saya tidak pernah give up' - Betty Banafe menang kes komital selepas 8 tahun, dedah cabaran sebagai ibu yang terus berjuang

No Image Caption
A
A
A

BUKAN sehari dua, tetapi hampir lapan tahun. Tempoh itu cukup panjang untuk menguji kesabaran, emosi dan ketabahan seorang wanita yang bergelar ibu.

Di sebalik senyuman yang sering dikongsikan di media sosial, tersimpan perjalanan hidup yang penuh ujian apabila pelakon dan usahawan Betty Banafe berulang-alik ke mahkamah demi mempertahankan hak serta masa depan anak-anak.

Namun, Betty tidak pernah memilih untuk mengalah. Setiap kali melangkah ke kamar mahkamah, dia percaya setiap perjuangan pasti ada penghujungnya dan keadilan akan berpihak kepada mereka yang tidak pernah berhenti berusaha.

Terbaharu, wanita itu berkongsi di Instagram miliknya akan  rasa syukur apabila Mahkamah Tinggi Rayuan memutuskan kes komital pertama yang difailkan bekas suaminya tidak memihak kepada pihak plaintif pada 3 Ogos lalu.

Bagi Betty, kemenangan itu bukan sekadar satu keputusan mahkamah, tetapi sebuah kelegaan selepas melalui perjalanan panjang yang penuh cabaran.

No Image Caption

Lebih daripada itu, dia melihat pengalaman tersebut sebagai satu ruang untuk menyuarakan harapan agar sistem perundangan negara terus diperkasakan demi memastikan hak setiap individu yang mencari keadilan benar-benar terbela.

"Alhamdulillah, 3 Ogos bersamaan hari Isnin 2026, saya mendapat kemenangan di Mahkamah Tinggi Rayuan untuk kes komital pertama yang tidak memihak kepada pihak plaintif iaitu bekas suami," katanya menerusi perkongsian di media sosial.

Menurut Betty, walaupun mahkamah mengenakan kos sebanyak RM3,000 kepada pihak plaintif, jumlah keseluruhan kos yang terkumpul sebelum ini mencecah RM21,500.

Namun, cabaran sebenar katanya adalah apabila pihak yang kalah tidak berada di Malaysia dan tiada aset yang boleh digunakan untuk melaksanakan arahan pembayaran tersebut.

"Persoalannya, bagaimana kita mahu memperkasakan sistem mahkamah di Malaysia supaya apabila seseorang membawa saman ke mahkamah dan mereka kalah, ada mekanisme yang membolehkan pihak yang menang mendapatkan semula hak mereka," ujarnya.

Jelas Betty, situasi yang dilaluinya berbeza kerana bekas suami tidak menetap di Malaysia selain tidak mempunyai harta atau caruman KWSP di negara ini. Keadaan itu menyebabkan keputusan mahkamah yang memihak kepadanya sukar diterjemahkan kepada tindakan sebenar.

PENGORBANAN BESAR

Bagi seorang ibu yang sudah bertahun-tahun melalui proses perundangan, Betty mengakui perjalanan tersebut bukan sesuatu yang mudah. Setiap prosiding memerlukan pengorbanan besar dari segi masa, tenaga, kewangan dan emosi.

No Image Caption

Untuk rekod, Betty atau nama sebenar, Betty Ibtisam binti Abu Bakar Benafe mendirikan rumah tangga dengan Bruce pada 8 Disember 2012 sebelum bercerai pada 10 Julai 2019.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Julia,13, dan Bruce Dean Dargus, 10.

"Bayangkan hampir lapan tahun berada di mahkamah. Dalam masa yang sama, saya perlu menjaga anak-anak, menyediakan kehidupan mereka, mengurus rumah, persekolahan, kesihatan dan segala keperluan harian. Semua itu bukan perkara kecil," dedahnya lagi.

Menurut Betty, pengalaman tersebut membuatkan dia berharap agar sistem sedia ada dapat ditambah baik supaya pihak yang berada di luar negara tidak sewenang-wenangnya menggunakan ruang perundangan tanpa memikirkan kesan kepada pihak yang satu lagi.

Wanita berusia 46 tahun itu turut mencadangkan supaya satu bentuk jaminan kewangan atau mekanisme tertentu dipertimbangkan sebelum sesuatu tindakan undang-undang difailkan, terutama melibatkan individu yang tidak mempunyai hubungan kewangan kukuh di Malaysia.

"Saya harap pengalaman saya ini boleh dijadikan satu kajian kes atau perkara yang membantu memperkasakan sistem kita di Malaysia. Saya percaya ramai ibu tunggal di luar sana yang melalui perkara sama, ada yang letih, tertekan dan hampir berputus asa," kongsinya.

No Image Caption

Dalam pada itu, anak kelahiran Johor Bahru tersebut mengakui sepanjang melalui pelbagai kes mahkamah, dia banyak belajar mengenai kepentingan memahami proses undang-undang dan tidak mudah menyerah apabila berdepan cabaran.

TAK PERNAH GIVE UP

Katanya, ada ketika proses yang panjang membuatkan seseorang berasa penat, namun perjuangan perlu diteruskan terutama apabila melibatkan masa depan anak-anak.

"Saya percaya ALLAH itu tidak kejam. Saya mengharapkan agar dibukakan lagi rezeki dan saya tetap berdepan dengan memikirkan kebaikan serta masa depan terbaik untuk anak-anak saya. Saya tidak pernah give up dan saya reda dengan ketentuan Tuhan," ulasnya lagi.

Betty turut menitipkan semangat kepada ibu-ibu lain yang sedang melalui proses mahkamah agar terus kuat memperjuangkan hak mereka, terutama apabila melibatkan kebajikan dan kesejahteraan anak-anak.

Bagi wanita yang pernah melalui pelbagai ujian hidup itu, setiap pengalaman pahit pasti membawa pengajaran.

Apa yang penting adalah terus berusaha, menjaga kekuatan diri dan percaya bahawa setiap perjuangan yang dilakukan dengan niat yang baik akan menemukan jalan akhirnya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang