‘Selamat pulang ke pangkuan babah’ - Rizalman Ibrahim lega Umar Nail dibenarkan pulang, bebas komplikasi, titip penghargaan buat doktor dan jururawat

No Image Caption
A
A
A

BERITA kemalangan yang menimpa anak angkat pereka fesyen terkenal Datuk Rizalman Ibrahim, baru-baru ini di Wangsa Maju, Kuala Lumpur sememangnya mengejutkan ramai.

Kejadian berlaku sewaktu Umar Nail sedang berjalan di laluan pejalan kaki sebelum bertembung dengan sebuah lori muatan ais yang sedang mengundur.

Namun selepas melalui saat mencemaskan, khabar lega akhirnya menyapa keluarga ini apabila Umar dibenarkan keluar dari hospital tanpa sebarang komplikasi serius.

Pihak hospital sendiri mengakui kagum dengan perkembangan positif Umar sepanjang tempoh rawatan.

No Image Caption

"Anak Datuk dibenarkan keluar dari hospital dan pulang tanpa perlu ke mana-mana hospital swasta. Beliau bebas daripada sebarang komplikasi dan hanya perlu datang ke hospital untuk pemeriksaan susulan dari masa ke masa serta memerlukan rehat yang cukup bagi proses penyembuhan seterusnya. Proses penyembuhannya dan semangat Umar sangat luar biasa," kata doktor.

Rasa syukur yang melimpah-ruah itu turut dikongsikan Rizalman menerusi hantaran di akaun IG Stories miliknya.

"Selamat pulang ke pangkuan babah wahai anakanda Umar," ungkap Rizalman ringkas, namun cukup menggambarkan kelegaan seorang bapa yang kembali dapat memeluk erat buah hatinya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan yang tidak terhingga kepada seluruh tenaga kerja perubatan yang berdedikasi menjaga anaknya sepanjang tempoh sukar tersebut.

"Kepada semua para doktor dan jururawat Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Selayang, terima kasih dan syukur tidak terhingga di atas penjagaan dan ilmu yang ALLAH kurniakan kepada kalian yang telah kalian praktikkan ke atas Umar," katanya.

No Image Caption

Bagi seorang bapa, proses pemulihan anak bukan sekadar kesembuhan fizikal, malah emosi dan mental juga memerlukan masa serta ruang yang secukupnya.

Rizalman mengakui sehingga kini beliau memilih untuk tidak bertanyakan secara terperinci mengenai detik cemas itu demi menjaga emosi Umar yang masih dibayangi trauma.

Umar dikatakan sering terbangun daripada tidur secara tiba-tiba akibat kenangan ngeri yang masih terpahat rapat dalam ingatannya.

Hikmah di sebalik ujian ini mengajar kita tentang ertinya kesabaran, nilai sokongan keluarga, serta penghargaan tinggi buat wira-wira barisan hadapan negara.

Semoga Umar dikurniakan kesembuhan yang sempurna dan kembali pulih daripada trauma yang dilaluinya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang