Bermula dengan RM250, kini jadi ‘payung’ Syed Saddiq


BERMULA dengan sekadar menghubungkan kenalan korporat bersama selebriti dan pempengaruh, siapa sangka usaha kecil itu akhirnya berkembang menjadi sebuah agensi perhubungan awam (PR) dan media tempatan yang mempunyai lebih 15 kakitangan.
Itulah perjalanan Larenme Sdn Bhd (Larenme) yang kini memasuki tahun ketiga operasi selepas ditubuhkan pada 2024.
Sambutan ulang tahun kedua Larenme yang berlangsung di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC), baru-baru ini, menjadi ruang untuk meraikan perkembangan syarikat berkenaan serta langkah seterusnya dalam industri PR dan media.
Pengarah Eksekutif Larenme, Asyraf Khalid berkata, syarikat itu pada awalnya hanya mempunyai empat kakitangan sebelum berkembang kepada lebih 15 pekerja ketika ini.
Menurutnya, idea menubuhkan Larenme tercetus daripada pengalamannya menghubungkan kenalan korporat dengan selebriti dan pempengaruh untuk menjalinkan kerjasama.
Namun, perjalanan awal itu tidak semudah yang disangka.
“Pada awalnya, kami berdepan kekangan dari segi saluran transaksi kewangan. Jadi, saya mendapatkan bantuan sahabat baik saya sejak lebih 10 tahun lalu, Nazrin Kamal.
“Bermula dengan bayaran RM250 bagi setiap transaksi, ia akhirnya berkembang kepada perbincangan pemegangan saham 50:50 antara kami,” katanya lagi.

Bagi Asyraf, perkembangan Larenme sepanjang dua tahun lalu bukan sekadar mengenai pertambahan jumlah kakitangan, tetapi turut membabitkan usaha membina kepercayaan serta memperluas jaringan dalam industri.
Kini, Larenme menguruskan kerjasama jenama, endorsmen dan kolaborasi komersial bagi Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, selain empat lagi bakat tempatan iaitu SpaceDollah, Dzulfaqar, Papa Ayie dan Boss James.
Tumpuan diberikan kepada usaha memperkukuh penjenamaan serta kedudukan komersial bakat-bakat berkenaan dalam pasaran.
Di sebalik perkembangan itu, kekuatan Larenme turut didorong pembahagian peranan yang jelas antara Asyraf dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nazrin Kamal.
Nazrin berkata, kedua-duanya mempunyai fokus berbeza dalam menggerakkan syarikat.
“Beliau lebih kepada pemikir utama syarikat, manakala saya lebih kepada aspek pelaksanaan,” katanya.
Pendekatan itu membolehkan mereka saling melengkapi dalam menguruskan perjalanan syarikat, termasuk mengendalikan pelbagai keperluan pelanggan daripada syarikat multinasional, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), korporat hinggalah perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

