Zamani buat peminat nostalgia, ini 5 sisi santai Festival Kota Selatan 2026 yang korang wajib singgah

No Image Caption
A
A
A

MENGISI masa minggu ini bersama keluarga pastinya lebih bermakna dengan berkunjung ke Dataran Segamat, Johor. Destinasi itu menghimpunkan suasana festival kebudayaan yang meriah, keenakan masakan tempatan, alunan muzik nostalgia, serta pelbagai aktiviti mesra keluarga.

Bermula 24 hingga 27 September 2026 ini, seawal jam 9 pagi hingga 11 malam, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) menganjurkan Festival Kota Selatan 2026 (FKS) buat edisi ke-6.

No Image Caption

Bersempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026/2027 dan Tahun Melawat Johor 2026, acara tahunan tersebut diolah khusus dengan sentuhan gaya hidup santai yang menyatukan seni, warisan, makanan, dan gaya hidup komuniti dalam satu pentas penuh warna-warni.

Penganjuran FKS 2026 turut diperkukuh menerusi kerjasama strategik antara JKKN Johor, Majlis Kebudayaan Negeri Johor (MKNJ) dan Yayasan Johor Corporation (Yayasan JCorp) melalui program jelajah pentas seni Johor.

Antara pengisiannya, himpunan pahlawan Johor, permainan diabolo serta kuiz interaktif berkaitan seni dan budaya serta banyak lagi.

Malam gala pada 25 September bakal menyaksikan kemunculan Zamani Slam dan Rojer Kajol, sebelum disusuli persembahan kemuncak daripada kumpulan legenda Senario dan Amir Ukays pada konsert pentas seni Johor pada 26 September.

No Image Caption

Malam penutup pula bakal diserikan dengan malam kesenian Wong Jowo bersama Poey Sting.

Bicara inspirasi seni

Buat para pencinta makanan tempatan, Yok Mangan Fest menjadi lokasi wajib yang tidak boleh dilepaskan. Di sini, anda bukan sahaja berpeluang merasai pelbagai sajian tempatan yang memikat selera, malah boleh menyertai aktiviti rewang beramai-ramai memasak bubur kacang durianbersama penduduk tempatan.

No Image Caption

Sambil menikmati sajian, telinga akan dihiburkan dengan alunan muzik tradisional kemplingan, kesenian warisan masyarakat Jawa.

Bagi mereka yang gemarkan aktiviti lasak, kalian boleh cuba pelbagai acara kecergasan seperti Teluk Belanga Fun Walk, Senam Seni 2.0, Zumba Fitness, serta kemunculan gempak Himpunan Lady Bikers.

No Image Caption

Bertambah meriah lagi dengan pelbagai pertandingan kreatif seperti pertandingan Doodle With Family, Anggun Bersama Bonda, pertandingan nyanyian lagu irama Malaysia, hingga ke pertandingan video TikTok FKS untuk anda rakam content menarik sepanjang festival.

Di samping hiburan, festival tersebut turut menyelitkan nilai keilmuan menerusi Bicara Inspirasi Seni: Modul Kuda Kepang Patuh Syariah, demonstrasi permainan tradisional gasing pangkah, serta kemudahan kaunter kerjaya dan pameran agensi kerajaan.

No Image Caption

Maklumat lanjut boleh didapati menerusi media rasmi JKKN Johor atau mysenibudaya atau layari laman portal rasmi Festival Kota Selatan.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang