'Tiada satu kenangan terakhir, tetapi ada sejuta kenangan' - Mokhzani pilu kongsi keadaan Tun Mahathir menghadapi pemergian Tun Dr Hasmah

Foto: Bernama, Astro Awani
Foto: Bernama, Astro Awani
A
A
A

ANAK ketiga pasangan negarawan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Tan Sri Mokhzani Mahathir meluahkan rasa terkejut apabila keadaan ibunya berubah secara mendadak sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Katanya keluarga terkejut dengan perubahan keadaan Tun Dr Hasmah yang berlaku secara mendadak sementelah Allahyarham berada dalam keadaan ceria ketika bersama keluarga di Institut Jantung Negara (IJN) sehari sebelum pemergiannya.

“Kami terkejut pagi tadi kerana semalam keluarga berada bersama Allahyarham di IJN. Beliau begitu ceria dan mesra, tetapi pagi tadi berlaku perubahan besar dan keadaan itu tidak dapat dipulihkan sebelum beliau meninggal dunia,” katanya.

Ketika ditanya mengenai kenangan terakhir bersama ibunya, beliau berkata, terlalu banyak kenangan dikongsi bersama keluarga.

No Image Caption

“Tiada satu kenangan terakhir, tetapi ada sejuta kenangan. Saya sangat gembira kerana kami mempunyai begitu banyak masa untuk berkongsi bersama beliau.

“Kami mengadakan banyak pertemuan keluarga sejak beberapa bulan, minggu dan hari kebelakangan ini. Jadi, kami mempunyai banyak kenangan,” katanya.

Sementara itu, Mokhzani berkata, bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad berada dalam keadaan baik selepas pemergian tersebut.

“Hari ini (Isnin) merupakan satu hari yang sangat luar biasa, tetapi beliau akan baik-baik sahaja, insya-ALLAH,” katanya.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Mengenai majlis tahlil, Mokhzani berkata, keluarga merancang mengadakannya di kediaman mereka selepas solat Isyak.

"Majlis berkenaan juga berkemungkinan diteruskan pada keesokan hari (Selasa) dan hari ketiga," katanya.

Tun Dr Hasmah dan Tun Dr Mahathir dikurniakan tujuh cahaya mata, iaitu tiga perempuan dan empat lelaki, selain 18 cucu dan seorang cicit.

Sekadar info, Tun Dr Hasmah menjalani kehidupan yang penuh dengan tanggungjawab dan tuntutan seorang pegawai perubatan dan kemudiannya isteri Perdana Menteri selama 22 tahun.

Selepas suaminya berundur sebagai Perdana Menteri, Tun Dr Hasmah terus memainkan peranan memberikan sokongan serta menemani suaminya dalam pelbagai urusan dan tugasan beliau.

Sumber: Bernama

https://youtube.com/shorts/uJNnu4VEU5E?si=987-RlNVSPw0ozkR

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang