'Kalau duduk di rumah, setiap benda mengingatkan kepada arwah bonda' - Mukhriz dedah keadaan Tun M selepas pemergian Tun Hasmah
ANAK kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkongsi perkembangan terbaharu bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad selepas pemergian insan yang menjadi teman hidupnya selama lebih 70 tahun, Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
Memetik video Media Hiburan, Mukhriz berkata, bapanya kini sedang mengambil masa untuk menerima hakikat bahawa isterinya sudah tiada.
Menurutnya, pemergian Tun Dr Siti Hasmah yang baru sahaja berlaku bukan sesuatu yang mudah untuk diterima, apatah lagi selepas pasangan itu berkongsi kehidupan selama tujuh dekad.

"Tun Mahathir yang seperti mana kita boleh agak, belum sampai seminggu pemergian isteri kesayangan beliau selama 70 tahun jadi tentulah akan memakan masa sedikit untuk dia betul-betul dapat menerima hakikatnya bahawa arwah bonda tidak bersama kita lagi," kongsinya.
Malah, Presiden Parti Pejuang Tanah Air itu berkata, kehilangan tersebut turut sedikit sebanyak memberi kesan terhadap keadaan emosi dan kesihatan bapanya.
Justeru, katanya, buat sementara waktu adalah lebih baik sekiranya Tun Dr Mahathir berada di Institut Jantung Negara (IJN) bagi memberi ruang kepadanya untuk melalui tempoh berkenaan.
"Jadi saya rasa ada sedikit manifestasi dalam kesihatannya. Saya kira kalau duduk di rumah pun agaknya setiap benda yang dia pandang akan mengingatkan dia lagi kepada kepada arwah bonda.

"Jadi lebih baik mungkin kalau dia tidak berada di situ hingga benar-benar pulih. hari ini pun beliau sudah menziarahi kubur. Dan ia perkembangan terbaharu," kongsinya.
Terdahulu, Allahyarham Tun Dr Hasmah menghembuskan nafas terakhir pada 9.20 pagi Isnin lalu ketika menerima rawatan di Institut Jantung Negara.
Tun M dan Tun Dr Hasmah berkahwin pada 4 Ogos 1956 selepas berkenalan di King Edward VII College of Medicine, Singapura pada tahun 1947.
Berkongsi hidup selama 70 tahun, mereka dikurniakan tujuh cahaya mata, iaitu tiga perempuan dan empat lelaki, selain 18 cucu dan seorang cicit.
Sumber: Instagram Media Hiburan
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

