'Bukan saya hebat, tapi doa mak' – Kekal nombor satu di TikTok Shop Malaysia, Anas Zahrin dedah rahsia kejayaan

No Image Caption
A
A
A

USAHAWAN dan pempengaruh, Anas Zahrin mempunyai cara tersendiri melihat kejayaan yang diraih menerusi ANAS Cosmetics selepas hampir sedekad membina perniagaan dalam bidang kosmetik dan penjagaan peribadi.

Jenama diasaskannya pada 2017 itu kini mencatat satu lagi pencapaian apabila disenaraikan di tangga nombor satu TikTok Shop Malaysia dengan jualan hampir 12 juta unit, berdasarkan laporan Echotik Blog bertarikh 8 Julai lalu.

Bagi Anas, kedudukan tersebut bukan alasan untuk berbangga diri, sebaliknya menjadi kayu pengukur bahawa produk tempatan dan Bumiputera juga mampu mendapat tempat dalam pasaran digital.

“Setiap hari saya tak pernah putus doa mengharapkan perjalanan perniagaan kosmetik dan penjagaan peribadi saya terus memberi manfaat kepada ramai.

“Ternyata, di sebalik keadaan ekonomi tidak menentu dan persaingan jualan banyak produk di TikTok, barangan kosmetik keluaran saya masih menjadi pilihan ramai,” katanya.

Anas yang juga anak jati Kota Tinggi, Johor mengakui perjalanan membina perniagaan bukan sesuatu yang mudah.

Antara cabaran yang pernah dilaluinya termasuk pandangan sinis ketika memilih TikTok sebagai salah satu platform untuk mengembangkan perniagaan.

Namun, Anas tidak menjadikan pandangan tersebut sebagai penghalang, sebaliknya terus memanfaatkan ruang digital berkenaan sehingga berjaya mencatat jualan RM1 juta menerusi satu sesi penstriman langsung di TikTok.

No Image Caption

“Dulu pada awalnya tiada siapa yang percaya, malah ada yang sinis ketawa memandang rendah saat saya jadikan platform TikTok untuk berniaga.

“Akhirnya, saya berjaya buktikan platform ini juga boleh menjadi satu medan magnet rezeki untuk saya kongsi dengan semua pihak,” katanya.

Doa ibu

Di sebalik pencapaian tersebut, Anas percaya ada insan yang sentiasa menjadi penguat sepanjang perjalanan perniagaannya iaitu ibu tersayang, Hajjah Hamida Dan.

Selain doa ibu dan keluarga, dia turut menghargai sokongan sahabat serta staf yang tidak pernah jemu membantu menggerakkan perniagaan.

“Doakan saya terus melakar sejarah dan terbang lebih tinggi. Doakan saya dikelilingi orang yang baik-baik supaya boleh kongsi rezeki dengan lebih ramai insan.

No Image Caption

“Semoga ALLAH SWT terus kurniakan rezeki yang melimpah ruah. Rezeki yang tak putus-putus.

“Bukan saya yang hebat, tapi doa mustajab mak yang tak pernah penat dipanjangkan,” katanya.

Pada April lalu, Anas turut mencatat pencapaian menerusi TikTok Shop 2026 dalam tiga kategori iaitu Top 1 Pencipta Kandungan, Top 1 Penjual Tempatan dan Top 3 Penjual bagi skop kecantikan, kesihatan dan penjagaan peribadi di Malaysia.

“Alhamdulillah, saban tahun saya diiktiraf di TikTok. Usaha tak pernah mengkhianati hasil. Ungkapan keramat itu takkan lekang dalam diri.

“Setiap hari menjadi penanda baharu dan motivasi untuk terus maju ke hadapan,” katanya.

No Image Caption

Dilantik sebagai mentor

Pengalaman tersebut turut membuka ruang baharu buat Anas apabila dilantik TikTok sebagai mentor kepada pencipta kandungan lain menerusi TikTok Shop Creator Icon musim kedua.

Menurutnya, gerakan berkenaan turut menampilkan Khairul Aming sebagai mentor, selain ahli perniagaan termasuk Datuk Seri Aliff Syukri yang diundang untuk berkongsi pengalaman.

Bagi Anas, perjalanan hampir sedekad dalam dunia perniagaan mengajarnya bahawa pencapaian tidak datang hanya daripada angka jualan, tetapi turut dibina melalui usaha, keberanian mencuba dan sokongan insan di sekeliling.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang