Bella Astillah sah isteri Syed Saddiq, daripada pasangan kerja kini jadi pasangan hidup – 'Sekarang bergelar suami kepada cinta saya'

No Image Caption
A
A
A

Hari bahagia yang dinanti akhirnya tiba apabila penyanyi dan pelakon, Bella Astillah sah bergelar isteri kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menerusi akad nikah yang berlangsung pada pukul 10.40 pagi, Sabtu.

Menariknya, di sebalik ketenangan Syed Saddiq yang sering berhadapan dengan perbahasan politik dan suasana Parlimen, lelaki itu mengakui perasaan gementar tetap menguasai dirinya ketika melafazkan akad nikah.

Menurut Syed Saddiq, pengalaman tersebut cukup berbeza berbanding situasi yang biasa dihadapinya dalam kerjaya sebagai ahli politik.

No Image Caption

"Kegembiraan yang luar biasa, yang tiada tandingannya. Sebelumnya, gementar juga. Ingat nak overconfident. Debat tak ada masalah, di Parlimen tak ada masalah. Tapi tadi, gementar juga, gegar juga tangan.

"Alhamdulillah, bila sah itu, semua tamat. Alhamdulillah, sekarang bergelar suami kepada pasangan cinta saya, Bella," ujarnya  Ahli Parlimen Muar itu.

Pasangan tersebut disatukan dengan sekali lafaz dalam sebuah majlis istimewa yang turut mencipta sejarah apabila menjadi pasangan pertama yang melangsungkan pernikahan di bangunan ikonik negara, Merdeka 118 Precinct.

Majlis akad nikah disempurnakan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang bertindak sebagai jurunikah. Bella dinikahkan berwalikan bapanya, Awang Astillah Abdullah atau Dullah, dengan disaksikan Ustaz Syed Abdullah Syed Nordin dan Ustaz Mohd Nizam Md Nor.

No Image Caption

Syed Saddiq menyerahkan mas kahwin sebanyak RM500 kepada Bella. Majlis turut diserikan dengan tujuh dulang hantaran daripada pihak lelaki yang berbalas sembilan dulang daripada pihak perempuan.

Pasangan mempelai memilih busana rekaan pereka fesyen terkenal, Zaimi Zulkafli, bagi melengkapi majlis bertemakan Islamic Arabic yang dihadiri seramai 255 jemputan, termasuk ahli keluarga terdekat serta kenalan rapat kedua-dua belah pihak.

Sementara itu, Bella meluahkan rasa syukur kerana segala urusan pernikahan mereka berjalan lancar. Pelakon itu turut merakamkan penghargaan kepada peminat yang tidak putus-putus memberikan sokongan dan mendoakan kebahagiaan mereka.

"Bella sangat berbesar hati hari ini dan bersyukur ke hadrat Ilahi kerana semuanya sudah selesai. Terima kasih kepada peminat yang sentiasa mendoakan dan menyokong Bella dan YB selama ini. Kami sangat hargai. Alhamdulillah," katanya.

Syed Saddiq turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang sentiasa mendoakan perjalanan hubungan mereka, termasuk ketika berdepan pelbagai cabaran.

No Image Caption

"Terima kasih kerana sentiasa mendoakan perjalanan kami. Yang ada jatuh bangunnya. Kadang-kadang ada rintangan dan cabaran. Tetapi saya yakin atas berkat doa kalian semua, alhamdulillah dapat menyatukan saya dan Bella bersama.

"Daripada pasangan kerja ke pasangan hidup. Alhamdulillah," ujarnya.

Terdahulu, Bella dan Syed Saddiq mengikat tali pertunangan pada 28 Mac 2026 sebelum akhirnya melangkah ke alam perkahwinan, sekali gus membuka lembaran baharu dalam perjalanan hidup mereka.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang