Jangan tunggu mak minta tolong, PU Riz pesan anak dan menantu ringan tulang – 'Tanpa tangan seorang ibu, susah nak berjaya'

No Image Caption
A
A
A

PULANG ke rumah ibu bapa sepatutnya menjadi peluang untuk melepaskan rindu, berkongsi cerita dan menikmati masa bersama insan tersayang. Namun, di sebalik kemeriahan pertemuan itu, ada perkara kecil yang kadangkala terlepas pandang, termasuk keprihatinan untuk membantu ibu bapa tanpa perlu diminta.

Perkara itu menjadi perhatian pendakwah selebriti, PU Riz atau nama sebenarnya Haris Ismail, yang mengingatkan golongan anak dan menantu supaya tidak hanya duduk menunggu dilayan setiap kali berkunjung ke rumah keluarga.

Menerusi perkongsian di Threads, suami kepada selebriti Nur Neelofa itu menyeru anak-anak agar lebih peka terhadap keperluan ibu bapa, terutama ketika waktu makan. Jika selama ini ibu yang sibuk menghidangkan makanan dan memastikan semua orang selesa, tidak salah untuk anak mengambil alih tugas tersebut.

“Pesan seorang anak atau menantu pada yang lain. Baca tulisan ini baik-baik. Kalau hari ini balik rumah mak, waktu makan terutamanya, dan mak tanya nak tambah nasi? Nak apa-apa lagi?

“Jangan biar mak yang angkat benda-benda itu semua. Kau bangun pergi tolong. Kau yang jamu,” tegasnya.

No Image Caption

Jangan lupa jasa ibu bapa apabila berjaya

Pesanan itu turut membawa peringatan bahawa kejayaan dalam kerjaya, kedudukan dan kehidupan tidak seharusnya menjadikan seseorang lupa akan pengorbanan ibu bapa.

Menurut PU Riz, doa seorang ibu antara perkara yang tidak wajar dipandang ringan, walau setinggi mana pun pencapaian yang diraih oleh anaknya.

“Ingat, walaupun hari ini gaji kau setinggi gunung, posisi kau Perdana Menteri sekalipun, tanpa tangan seorang ibu yang meminta pada Sang Pencipta, susah kau nak berjaya.

“Kenali diri, jangan angkuh atas kesementaraan,” pesannya.

Hakikatnya, membantu ibu bapa tidak semestinya memerlukan wang yang banyak atau usaha yang luar biasa. Perkara sederhana seperti mengangkat pinggan, menyediakan minuman, membantu mengemas meja atau bertanya jika mereka memerlukan bantuan juga mampu meringankan beban.

Lebih penting, sikap prihatin itu menunjukkan bahawa anak-anak bukan sekadar datang untuk menikmati layanan, sebaliknya turut mahu mengambil bahagian dalam urusan rumah tangga ibu bapa.

Netizen turut berkongsi pengalaman

Perkongsian PU Riz mengundang pelbagai reaksi pengguna Threads. Ramai bersetuju bahawa anak-anak sewajarnya mengambil inisiatif untuk berkhidmat kepada ibu bapa, bukannya mengharapkan layanan seperti tetamu setiap kali pulang.

Seorang pengguna berkongsi pandangan bahawa kunjungan ke rumah ibu bapa sepatutnya disertai keinginan untuk membantu, bukan sekadar melepaskan rindu.

No Image Caption

Ada juga yang meluahkan rasa terkilan apabila melihat ibu bapa begitu bersungguh-sungguh menyediakan makanan dan melayan anak serta menantu, tetapi tidak menerima layanan serupa apabila berkunjung ke rumah anak-anak.

Bagaimanapun, seorang pengguna turut berkongsi pengalaman berbeza apabila ibu mentuanya sendiri lebih gemar menguruskan segala persiapan dan meminta anak-anak duduk menikmati hidangan.

Walaupun begitu, pengguna berkenaan tetap berusaha membantu, sekurang-kurangnya dengan menyediakan minuman, kerana tidak sampai hati melihat ibu mentua melakukan semuanya seorang diri.

Perkongsian itu mengingatkan kita bahawa kasih sayang kepada ibu bapa tidak cukup sekadar dilafazkan. Ada kalanya, rasa hormat dan penghargaan lebih bermakna apabila diterjemahkan melalui tindakan kecil yang dilakukan dengan ikhlas.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang