'Saya mahu lihat mommy bahagia, tersenyum semula. Terima kasih daddy' – Luahan Ayden undang sebak, terharu Syed Saddiq menerima dirinya dan Ara
KEBAHAGIAN seorang ibu turut menjadi kegembiraan anak-anaknya. Bagi Ayden Adrian, 9, tiada hadiah yang lebih bermakna selain melihat ibunya, pelakon dan penyanyi Bella Astillah, kembali tersenyum dan ketawa selepas melalui saat-saat sukar dalam kehidupan.
Perasaan itu diluahkan menerusi ucapan istimewa Ayden bersama adiknya, Ara, pada majlis resepsi perkahwinan Bella dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur, malam tadi.
Berdiri di hadapan tetamu yang memenuhi majlis berkenaan, Ayden mengakui dirinya masih terlalu kecil untuk memahami sepenuhnya apa yang berlaku ketika melihat ibunya bersedih.
Namun, sebagai seorang anak, dia tahu apa yang paling diharapkan ketika itu adalah melihat Bella kembali bahagia.

“Saya dan Ara... kadang-kadang saya tak berapa faham dengan semua benda yang berlaku.
“Saya cuma tahu yang mommy tengah sedih dan sebagai anak lelaki dia, satu-satunya perkara yang saya mahukan adalah untuk melihat mommy tersenyum semula,” katanya dalam nada sebak.

Kehadiran Daddy bawa perubahan
Lebih menyentuh hati, Ayden turut berkongsi bagaimana kehadiran Syed Saddiq dalam kehidupan mereka sedikit demi sedikit mengubah suasana di rumah.
Dia mula melihat ibunya lebih kerap tersenyum dan ketawa, sekali gus membuatkan dirinya gembira menyaksikan wanita tersebut kembali ceria.
“Kemudian, daddy hadir dalam hidup mommy. Perlahan-lahan, saya mula nampak mommy lebih banyak tersenyum dan lebih banyak mendengar dia ketawa.
"Saya nampak mommy kembali gembira semula,” ujarnya.

Bagi Ayden, perubahan itu cukup bermakna. Kebahagiaan yang dilihat pada wajah ibunya menjadi sesuatu yang amat disyukuri, apatah lagi apabila lelaki yang kini bergelar suami Bella turut menerima dirinya dan Ara dengan penuh kasih sayang.
Ayden tidak sekadar berterima kasih kerana Syed Saddiq menyayangi ibunya, malah menghargai bagaimana mereka berdua turut diberi tempat dalam keluarga baharu itu.
“Daddy terima kami seadanya, tak pernah buat kami rasa yang kami ni cuma sekadar anak mommy saja.
“Daddy buat kami rasa yang kami juga adalah sebahagian daripada keluarga awak. Terima kasih kerana memilih mommy. Terima kasih kerana menyayanginya,” ungkap ayden.
Luahan tersebut memperlihatkan betapa pentingnya penerimaan dan kasih sayang dalam membina sebuah keluarga. Bagi seorang anak, kehadiran insan baharu dalam kehidupan ibu bukan sekadar tentang perubahan status, tetapi juga tentang rasa selamat, disayangi dan tidak dipinggirkan.

Doa Ayden buat Mommy dan Daddy
Dalam ucapan sama, Ayden turut menyampaikan rasa cinta kepada Bella yang sentiasa menjaga mereka, selain mendoakan kebahagiaan ibu dan bapa baharunya itu.
Dia berharap agar ALLAH SWT memberkati perkahwinan mereka, melindungi keluarga serta memelihara hati setiap ahli keluarga itu.
Doa tersebut melengkapkan ucapan penuh emosi yang menyentuh hati pasangan pengantin dan tetamu yang hadir. Di sebalik kemeriahan majlis, kata-kata Ayden mengingatkan bahawa kebahagiaan sebuah keluarga turut terletak pada kasih sayang yang dikongsi dan kesediaan menerima satu sama lain.

Majlis resepsi Bella dan Syed Saddiq berlangsung meriah dengan kehadiran kira-kira 3,000 tetamu, termasuk rakan selebriti, pemimpin negara dan barisan menteri.
Pasangan itu tampil dalam busana tradisional Melayu berona merah sebelum menyarungkan sut hitam dan gaun putih labuh. Majlis turut diserikan dengan persembahan nyanyian Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Jaclyn Victor, Didi Astillah serta vokalis Nidji, Muhammad Yusuf Nur Ubay atau Ubay.
Terdahulu, Bella dan Syed Saddiq sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz pada 10 Oktober lalu dalam majlis pernikahan yang berlangsung di Menara Merdeka Maybank.

Pasangan berkenaan turut merancang dua lagi majlis resepsi bertemakan Kenduri Rakyat di kampung halaman masing-masing, iaitu di Muar, Johor pada 25 Oktober dan Kota Kinabalu, Sabah pada 31 Oktober.
Sumber gambar : Hijabistahub & Bella Astillah
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
