Tiada simptom bukan bererti sihat: Awas, penyakit jantung tetap boleh menyerang lelaki aktif bersukan!

JANGAN anggap perubahan prestasi seksual sebagai tanda penuaan biasa kerana ia mungkin petunjuk awal diabetes, tekanan darah tinggi atau penyakit jantung.
JANGAN anggap perubahan prestasi seksual sebagai tanda penuaan biasa kerana ia mungkin petunjuk awal diabetes, tekanan darah tinggi atau penyakit jantung.
A
A
A

MAMPU bekerja sepanjang hari, aktif bersukan dan tidak mengalami sebarang kesakitan bukanlah jaminan seseorang lelaki bebas daripada penyakit kronik seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan masalah jantung. Hakikatnya, penyakit-penyakit berbahaya ini boleh berkembang secara senyap tanpa menunjukkan sebarang gejala ketara pada peringkat awal.

Lebih membimbangkan, ramai lelaki cenderung menangguhkan pemeriksaan kesihatan kerana yakin tubuh masih kuat. Sedangkan, pengesanan awal amat penting bagi membolehkan faktor risiko dikenal pasti dan dikawal sebelum mencetuskan komplikasi serius seperti serangan jantung, strok dan kegagalan buah pinggang.

Pakar Kardiologi Gleneagles Hospital Kuala Lumpur, Datuk Dr Ismail Yaakob, mendedahkan ego, rasa terlalu yakin terhadap kesihatan diri serta ketakutan untuk menerima diagnosis menjadi punca utama golongan lelaki enggan berdepan dengan pemeriksaan perubatan.

DATUK Dr Ismail Yaakob
DATUK Dr Ismail Yaakob

"Mereka beranggapan selagi tiada simptom, bererti mereka sihat. Ada juga yang takut mengetahui keputusan kerana bimbang disahkan menghidap penyakit. Namun, mengabaikan status kesihatan sebenar bukanlah satu perlindungan, sebaliknya membiarkan penyakit itu terus merosakkan tubuh secara diam-diam," jelasnya.

Beliau menambah, penyakit jantung koronari lazimnya bermula secara beransur-ansur akibat pengumpulan plak kolesterol dalam saluran darah selama bertahun-tahun. Keadaan ini membuktikan bahawa ketiadaan simptom tidak bermakna seseorang itu bebas daripada penyakit.

"Ada pesakit kelihatan cergas dan mampu aktif bersukan, tetapi rupa-rupanya sudah mempunyai penyempitan saluran darah jantung yang serius. Kadangkala, serangan jantung mengejut menjadi isyarat pertama yang menyedarkan mereka," kongsi pakar itu lagi.

Dr Ismail turut mendedahkan, pernah merawat pesakit serangan jantung seawal usia 25 tahun, sekali gus menepis tanggapan bahawa masalah kardiovaskular hanya melibatkan golongan berumur.

Beliau menyarankan agar pemeriksaan kesihatan dimulakan lebih awal, khususnya sejak usia 30-an bagi mereka yang mempunyai faktor risiko seperti sejarah keluarga, tabiat merokok atau kolesterol tinggi.

Dari sudut metabolik, diabetes bukan sekadar isu peningkatan paras gula dalam darah.

Pakar Endokrinologi di hospital yang sama, Dr Saiful Kassim, menjelaskan penyakit itu merosakkan saluran darah kecil dan besar di seluruh sistem badan.

DR Saiful Kassim
DR Saiful Kassim

"Ramai lelaki masih mampu menaiki tangga atau berlari maraton, tetapi aktiviti fizikal semata-mata tidak menjamin paras gula, tekanan darah dan tahap kolesterol berada dalam julat sihat," ujar Dr Saiful. 

Kemerosotan prestasi seksual

Kongsinya lagi, individu bertubuh kurus juga tidak terkecuali daripada risiko akibat faktor genetik dan kesihatan metabolik.

Selain itu, petunjuk awal kesihatan sering diabaikan apabila perubahan tenaga, keletihan berpanjangan atau kemerosotan prestasi seksual dianggap sebagai faktor penuaan biasa.

"Hakikatnya, masalah disfungsi ereksi boleh menjadi petunjuk awal gangguan vaskular dan kardiovaskular. Proses ereksi memerlukan aliran darah yang mencukupi.

"Tekanan darah tinggi, diabetes dan kolesterol tidak terkawal boleh merosakkan lapisan dalam saluran darah, sekali gus mengganggu fungsi tersebut.

"Masalah ini wajar dinilai oleh doktor kerana ia sering berkait rapat dengan kesihatan sistemik," ulas Dr Saiful.

Tekanan hidup atau stres kronik turut memburukkan keadaan kerana ia mengganggu kualiti tidur, menjejaskan corak pemakanan dan menurunkan motivasi bersenam.

Untuk mengawal risiko tersebut, perubahan gaya hidup adalah kunci utama.

Kedua-dua pakar menyarankan pengamalan pemakanan seimbang tinggi serat, tidur yang mencukupi serta senaman konsisten.

"Penurunan berat badan sekitar lima hingga tujuh peratus bagi individu berisiko terbukti mampu memberi impak kesihatan yang signifikan.

PAKAR Kardiologi, Datuk Dr Ismail Yaakob dan Pakar Endokrinologi, Dr Saiful Kassim dari Gleneagles Hospital Kuala Lumpur bersama hos Juliana Ramlee ketika rakaman program DNA- Bila kali terakhir check-up?
PAKAR Kardiologi, Datuk Dr Ismail Yaakob dan Pakar Endokrinologi, Dr Saiful Kassim dari Gleneagles Hospital Kuala Lumpur bersama hos Juliana Ramlee ketika rakaman program DNA- Bila kali terakhir check-up?

"Berdasarkan kajian Diabetes Prevention Program, intervensi gaya hidup sihat yang menggabungkan kawalan berat badan dan aktiviti fizikal sekurang-kurangnya 150 minit seminggu berkesan mengurangkan kejadian diabetes sebanyak 58 peritus," ujar Dr Saiful lagi.

Selain itu, orang dewasa juga disaran melengkapkan rutin mingguan dengan latihan kekuatan otot sekurang-kurangnya dua hari seminggu.

Kesedaran individu wajar disokong oleh perkhidmatan kesihatan yang komprehensif. Sebagai rangkaian penjagaan kesihatan bersepadu terkemuka, IHH Healthcare Malaysia yang mengendalikan 18 hospital di seluruh negara, termasuk empat hospital Gleneagles, Hospital Island, 11 hospital Pantai, Prince Court Medical Centre dan Timberland Medical Centre, komited memperkasa saringan awal dan rawatan holistik bagi memastikan masyarakat menjalani kehidupan yang lebih sihat dan bermutu.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang