Hidung tersumbat dan bersin setiap pagi, resdung atau sinusitis sebenarnya? Ini perbezaan yang perlu anda tahu

No Image Caption
A
A
A

BARU sahaja bangun tidur, hidung sudah tersumbat, bersin berkali-kali dan hingus pula mengalir tanpa henti. Rutin pagi yang sepatutnya bermula dengan selesa bertukar sebaliknya.

Ramai menganggap keadaan itu sebagai resdung, tetapi gejala yang hampir sama sebenarnya boleh berpunca daripada alahan hidung atau sinusitis yang memerlukan rawatan berbeza.

Pakar Perunding Otorinolaringologi UiTM Private Specialist Centre (UPSC), Profesor Madya Datuk Dr Ahmad Kusyairi Khalid menjelaskan, istilah resdung sering digunakan secara umum oleh masyarakat untuk merujuk kepada pelbagai masalah hidung.

Menurut beliau, alahan hidung atau rinitis alergi antara masalah yang lazim berlaku di Malaysia, terutama dalam persekitaran lembap.

Keadaan ini berlaku apabila sistem imun bertindak balas terhadap bahan tertentu yang disedut, lalu menyebabkan gejala seperti bersin, hidung gatal, berair dan tersumbat.

“Antara pencetus utama ialah hama habuk rumah yang boleh ditemui pada tilam, bantal dan selimut. Bulu haiwan seperti kucing serta bahan kimia di tempat kerja juga boleh mencetuskan alahan.

“Mengenal pasti punca alahan penting supaya langkah pencegahan dapat dilakukan dengan lebih berkesan. Ujian alahan boleh membantu menentukan bahan yang mencetuskan reaksi tersebut, sekali gus memudahkan doktor mencadangkan rawatan bersesuaian,” ujar beliau.

Pakar itu menambah, jika tidak dikawal, alahan boleh menyebabkan turbinate hidung, iaitu struktur di dalam hidung yang membantu menapis, memanaskan dan melembapkan udara, membengkak. Ini mengganggu aliran udara serta saliran sinus, sekali gus meningkatkan risiko sinusitis.

Sinusitis ialah keradangan pada rongga sinus yang boleh berlaku bersama jangkitan. Selain hidung tersumbat, pesakit mungkin mengalami sakit muka, sakit kepala, demam dan deria bau yang berkurangan. Gejala yang lebih teruk boleh menjejaskan keselesaan serta aktiviti harian.

Bagaimanapun, hingus berwarna kuning atau hijau tidak semestinya menandakan jangkitan bakteria. Doktor perlu menilai gejala lain, tempoh masalah berlaku dan hasil pemeriksaan sebelum menentukan punca serta rawatan yang sesuai.

Hidung tersumbat, kerap bersin dan hingus berterusan bukan semestinya tanda resdung. Kenali puncanya untuk rawatan tepat.
Hidung tersumbat, kerap bersin dan hingus berterusan bukan semestinya tanda resdung. Kenali puncanya untuk rawatan tepat.

Bengkak pada leher

Masalah hidung yang berlarutan atau semakin teruk juga tidak wajar dipandang ringan. Hidung berdarah berulang kali, penurunan berat badan tanpa sebab jelas atau bengkak pada leher memerlukan pemeriksaan lanjut kerana boleh menandakan masalah lain, termasuk ketumbuhan.

Bagi pesakit sinusitis, bengkak di sekitar mata pula boleh menandakan komplikasi serius. Jika disertai perubahan penglihatan atau sakit kepala yang teruk, dapatkan rawatan kecemasan kerana jangkitan berpotensi merebak ke kawasan berdekatan, termasuk otak.

Dr Ahmad Kusyairi menyarankan pesakit mendapatkan nasihat pakar sekiranya gejala tidak pulih atau semakin teruk selepas rawatan awal.

“Jika simptom tersebut tidak pulih ataupun makin teruk, sudah tentulah kita menyarankan untuk mendapatkan nasihat pakar,” jelasnya.

Doktor boleh memeriksa rongga hidung menggunakan kamera khas dan mencadangkan imbasan CT jika perlu bagi mengenal pasti punca serta tahap masalah.

“Rawatan bergantung pada diagnosis. Alahan hidung boleh dikawal melalui ubat-ubatan, semburan hidung khusus dan usaha mengurangkan pendedahan kepada pencetus. Sesetengah semburan alahan perlu digunakan secara konsisten selama beberapa minggu sebelum

"Bukan semua semburan hidung sesuai digunakan untuk tempoh panjang. Pesakit perlu mengetahui jenis semburan yang digunakan.

“Jika sinusitis berpunca daripada jangkitan bakteria, antibiotik mungkin diberikan berdasarkan penilaian doktor. Pembedahan pula dipertimbangkan jika rawatan ubat tidak berkesan atau berlaku komplikasi,” ujar beliau lagi.

Dr Ahmad Kusyari (kanan) bersama hos, Juliana Ramle dalam program DNA yang bertajuk Resdung atau Sinusitis? Kenali Tanda & Bila Perlu Rawatan.
Dr Ahmad Kusyari (kanan) bersama hos, Juliana Ramle dalam program DNA yang bertajuk Resdung atau Sinusitis? Kenali Tanda & Bila Perlu Rawatan.

Dalam rutin harian, kebersihan persekitaran juga memainkan peranan penting. Cadar dan sarung bantal perlu dibasuh secara berkala, manakala kawasan berhabuk perlu dibersihkan bagi mengurangkan pendedahan kepada hama habuk.

Ketika jerebu, penggunaan pelitup muka yang sesuai dan pengurangan aktiviti luar membantu mengehadkan pendedahan kepada bahan pencemar.

Kesimpulannya, bersin setiap pagi atau hidung yang kerap tersumbat tidak wajar terus dilabel sebagai resdung. Mengenali gejala, memahami pencetus dan mendapatkan pemeriksaan yang tepat membantu memastikan rawatan diberikan mengikut punca sebenar masalah hidung.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang