Jerebu bukan sekadar mata pedih, zarah halus PM2.5 boleh jejaskan jantung dan paru-paru

SUMBER gambar Halim Wahid
SUMBER gambar Halim Wahid
A
A
A

LANGIT yang kelihatan kelabu ketika jerebu melanda sering membuatkan kita teringat akan mata pedih, tekak kering dan batuk yang tidak berhenti. Namun, kesan pencemaran udara sebenarnya boleh melangkaui ketidakselesaan itu apabila zarah halus yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar memasuki sistem pernafasan.

Lebih membimbangkan, pendedahan kepada udara tercemar boleh memberi kesan kepada kesihatan jantung dan paru-paru, terutama bagi individu yang mempunyai penyakit kronik. Justeru, langkah melindungi diri perlu diambil lebih awal, bukan hanya selepas badan mula menunjukkan tanda-tanda tidak sihat.

Menurut Pakar Perunding Perubatan Dalaman, Dr Esmond Khoo Zhen Lin, antara ancaman utama ketika jerebu ialah zarah halus yang dikenali sebagai PM2.5.

“Disebabkan saiznya yang terlampau kecil dan halus, zarah ini berupaya menembusi jauh ke dalam paru-paru apabila disedut, sebelum meresap ke dalam salur darah dan mencetuskan keradangan sistemik.

“Kesan jangka panjangnya bukan calang-calang kerana ia terbukti dikaitkan dengan peningkatan risiko serangan jantung serta strok,” jelas beliau.

No Image Caption

Golongan berisiko perlu berjaga-jaga

Pesakit asma dan penyakit paru-paru kronik boleh mengalami batuk, semput serta sesak nafas yang semakin teruk. Gejala yang sebelum ini terkawal juga mungkin menjadi lebih kerap sehingga mengganggu aktiviti harian.

“Simptom yang asalnya mudah dikawal mungkin tiba-tiba menjadi lebih kerap dan mula mengganggu kelancaran aktiviti harian anda,” katanya.

Pesakit diabetes dan tekanan darah tinggi turut perlu memantau kesihatan, terutama jika mempunyai masalah jantung. Kanak-kanak, warga emas, wanita hamil serta pekerja yang banyak berada di luar bangunan juga memerlukan perhatian tambahan.

Semak bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melalui portal rasmi Jabatan Alam Sekitar. Jangan bergantung pada keadaan langit atau bau asap semata-mata untuk menilai kualiti udara.

“Apabila bacaan IPU menunjukkan tahap yang tidak sihat, anda disarankan supaya mengurangkan aktiviti luar rumah, khususnya senaman berat seperti berjoging dan berbasikal,” jelas Dr Esmond.

Di rumah, tutup pintu dan tingkap bagi mengurangkan kemasukan zarah tercemar. Alat pembersih udara berpenapis HEPA juga boleh membantu. Elakkan merokok atau melakukan aktiviti yang menghasilkan asap di dalam rumah.

Jika terpaksa keluar, gunakan pelitup muka N95 yang dipakai dengan betul dan rapat pada muka.

“Pelitup muka N95 bukanlah lesen atau alasan untuk anda memanjangkan masa berada di luar ketika kualiti udara sedang merosot,” katanya.

SUMBER gambar Halim Wahid
SUMBER gambar Halim Wahid

Kenali tanda amaran

Pesakit kronik perlu meneruskan pengambilan ubat mengikut arahan doktor. Pesakit asma pula perlu membawa inhaler dan mendapatkan pemeriksaan jika ubat pelega perlu digunakan lebih kerap atau kurang berkesan.

Minum air secukupnya boleh melegakan tekak kering, tetapi tidak menyingkirkan zarah yang sudah memasuki paru-paru. Batuk dan demam berpanjangan juga perlu diperiksa kerana mungkin berpunca daripada jangkitan lain.

Dr Esmond mengingatkan bahawa sesak nafas teruk, sakit dada atau kekeliruan secara tiba-tiba memerlukan bantuan kecemasan.

“Muka senget, kelemahan pada sebelah badan atau pertuturan yang tiba-tiba menjadi pelat dan tidak jelas pula boleh jadi merupakan petunjuk berlakunya strok.

“Jangan pernah tunggu sehingga gejala tersebut reda sendiri kerana setiap saat amat berharga dalam situasi kecemasan,” katanya.

Peka terhadap kualiti udara dan perubahan kesihatan diri penting untuk melindungi diri serta keluarga sepanjang musim jerebu.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang