Bukan kejar publisiti, Nur Liyana bangga bergaya busana Murut Nabai di rantau orang

A
A
A

“MUNGKIN beginilah gaya bagaimana untuk menjadi seorang model. Lihat di majalah gambar cantik-cantik seperti mudah sahaja untuk mereka menggayakannya, tetapi sekarang baru saya faham.“

Demikian tutur Nur Liyana Razali, 26, gadis keturunan Murut yang tular di media sosial lantaran mengenakan pakaian tradisional Sabah ketika majlis konvokesyennya di United Kingdom (UK) baru-baru ini.

Reaksi itu diluahkannya saat pertama kali diminta beraksi di hadapan kamera bagi menghiasi muka depan sisipan SinarPlus minggu ini.

Tidak dinafikan, jurufoto, Asril Aswandi Abdul Shukor mencurahkan segala pengalaman dan kemahirannya bagi membantu Nur Liyana agak tidak kelihatan canggung dan ‘mematikan‘ posisi kekerasan.

Untung perlahan-lahan graduan dari kampus berprestij itu mula memperlihatkan sifat profesionalnya, sekali gus kelihatan ‘sebati‘ dengan situasi.

Setelah pulang dari United Kingdom, Nur Liyana teruja untuk memulakan pekerjaannya di Malaysia.

Sebaik sahaja tamat, penulis mengambil kesempatan duduk berbual dengan beliau sambil bercerita mengenai sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri di negeri kelahirannya, Sabah.

Tidak lekang dengan senyuman, Nur Liyana dengan nada lembut memberitahu, dirinya mendapat sambutan persis bintang filem selepas tajuk berita yang berbunyi ‘Nur Liyana berpakaian etnik Murut Nabai terima ijazah sarjana di UK‘ ketika hadir ke majlis graduasi tersebar meluas.

“Semasa berada di kampung, saudara-mara dan jiran tetangga menegur dan memberitahu tentang cerita tersebut. Terdapat juga ahli keluarga yang mengira jumlah tanda suka (like) di laman Instagram. Menariknya, ada sesetengah mereka yang tidak dikenali, tiba-tiba mengaku sebagai saudara.

“Awalnya, mungkin saya tidak tahu mereka ialah saudara jauh, tetapi setelah diperiksa, ibu dan ayah memberitahu tidak mengenali pun siapa individu terbabit. Pada saya, perkara itu satu jenaka dan saya anggap mereka ingin bergurau atau tumpang rasa bangga,“ ungkapnya.

Ringkasnya, ekoran hal tersebut, Nur Liyana boleh dikatakan terkenal di persekitaran kampung halamannya sehingga setiap langkah pasti ada sahaja yang bertegur sapa.

Pun demikian, ujarnya, beliau tidak bermaksud untuk meraih perhatian, mahupun mengumpul pengikut di media sosial dengan cara memakai pakaian tradisional itu.

Apa yang dilakukan hanyalah untuk mempersembahkan keunikan dan kehalusan seni budaya negara pada mata dunia. Lagipun, masih terdapat banyak lagi etnik Sabah dan Sarawak yang tidak diketahui ramai, kata Nur Liyana.

“Saya anggap memakai pakaian tradisional hanyalah perkara biasa. Hal itu turut dilakukan oleh pelajar lain seperti pakai baju kurung dan Melayu. Mungkin kerana ia dilihat asing, jadi pendekatan tersebut mendapat perhatian.

“Susulan laporan yang dikatakan viral itu, saya berasa gembira dan berterima kasih kerana masyarakat memberi sokongan padu. Lagi satu, kaum etnik Murut sebenarnya terbahagi kepada beberapa kumpulan kecil lain, namun apa saya tonjolkan pada majlis itu adalah budaya daripada sebelah ibu.

“Ingin saya tegaskan, tujuan saya hanya satu iaitu mempamerkan rasa sayang dan menghargai ibu pada acara tersebut, tetapi tidak menyangka perkara itu lantas menarik perhatian rakyat Malaysia,“ katanya dengan penuh kesungguhan.

Jiwa berani

Meskipun memiliki peluang cerah untuk bekerja di luar negara, Nur Liyana bagaimanapun memilih untuk pulang ke tanah air.

Melihat kepada personalitinya yang lemah lembut dan sopan tutur kata, penulis berandaian beliau merupakan anak bongsu dalam keluarga. Bagaimanapun, telahan tersebut dinafikan oleh Nur Liyana. Gadis itu sebenarnya merupakan anak sulung daripada tiga adik beradik.

Empunya diri berkata, beliau sudah biasa hidup berdikari sejak kecil. Mengurus segala macam hal bukan suatu perkara yang asing sejak berusia 13 tahun lagi.

“Saya memang sudah lama belajar hidup berjauhan dengan keluarga. Sejak remaja, keluarga saya menetap di Sabah, manakala saya bersekolah di Negeri Sembilan. Tidak dinafikan, awalnya banyak perkara perlu belajar.

“Namun, ia bukan satu masalah.Tugasan seperti mengemas dan lain-lain sudah menjadi perkara biasa kepada saya,“ jelasnya yang memang gemarkan gaya hidup kendiri.

Disebabkan itu beliau tidak mudah terbuai dengan emosi apabila berjauhan dengan keluarga lebih-lebih lagi di luar negara.

Meskipun terpisah beribu batu dan tidak pernah menjejakkan kaki ke UK sebelum ini, hal tersebut bak kata pepatah, asal bisa tegal biasa.

Mendapat tajaan Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah, Nur Liyana menggalas kepercayaan keluarga yang ingin melihatnya membawa pulang segulung ijazah. Syukur tempoh sekitar empat tahun berlalu dengan pantas, katanya.

Sebaik sahaja tamat Sijil Peperiksaan Malaysia, beliau kemudian meneruskan ke peringkat A Level selama dua tahun.

“Saya memang suka mencabar diri dengan menjalani kehidupan berdikari, tetapi tidak pernah terfikir untuk menuntut ke luar negara. Alhamdulillah, segalanya dipermudahkan dan cita-cita saya serta keluarga berjaya direalisasikan,“ ungkapnya.

Jiwa anak bangsa

Sejak kecil, Nur Liyana sudah terbiasa berdikari sendiri.

Disoal mengenai cabaran ketika berada di UK, tanpa mengambil masa lama Nur Liyana pantas mengeluarkan kata tentang jati diri. Jawapan berkenaan jelas menunjukkan anak kelahiran Papar, Sabah itu sangat cintakan negara.

Namun, tidak memilih melanjutkan pengajian di tanah air sendiri bukan bermaksud benci, apatah berasa angkuh mahupun lebih tinggi berbanding lain. Baginya, beliau mahu mengguna pakai perumpamaan yang menyebut ‘menuntut ilmu biarlah sampai ke negara China.‘

Biarpun tidak berdiri di bumi sendiri, Nur Liyana tetap menitikberatkan soal rukun negara kelima iaitu kesopanan dan kesusilaan. Jauh dari tanah kelahiran, tidak semestinya beliau perlu ikut perilaku masyarakat setempat.

“Saya tiada masalah sepanjang berada di UK, cuma salah satu cabarannya adalah perbezaan waktu. Jurang lapan jam di antara Malaysia dan UK kadangkala menyukarkan saya untuk menghubungi keluarga.

“Itu satu hal, namun tantangan utamanya adalah bagaimana memastikan pendirian kita tidak hanyut. Mujur rakan-rakan sering menasihati dan ‘menarik‘ semula jika melihat kalau saya seperti cuba-cuba untuk ‘lupa diri‘. Perkara sama turut saya lakukan kepada rakan-rakan yang lain,“ jelasnya seraya ketawa kecil.

Sama juga dengan keputusannya untuk terus pulang ke Malaysia sebaik selesai kuliah.

Beliau memberitahu, biasiswa yang diterima 100 peratus membiayai pembelajaran, tanpa perlu khuatir untuk perlu membayar semula, mahupun terikat dengan sebarang perjanjian.

Susulan itu, beliau seakan menerima lampu hijau jika ingin terus menetap dan bekerja di UK.

Nur Liyana menggayakan busana tradisional Murut Nabai ketika menghadiri acara konvokesyen di luar negara.

Pasti sahaja hal tersebut menjadi tarikan kerana beliau memiliki peluang cerah untuk memperoleh pendapatan lebih tinggi dan kedengaran sangat ‘eksklusif‘ lebih-lebih lagi saat pulang ke kampung.

Tentu saudara-mara terbuntang mata mendengar anak tempatan merantau mencari rezeki di luar negara. Ditawarkan dengan pelbagai kelebihan, beliau sempat hampir ‘termakan umpan‘.

Namun, fikiran dan fizikal beliau berubah dan akhirnya memilih untuk pulang sahaja ke Malaysia, ditambah lagi tatkala melihat sebilangan rakan-rakan meninggalkan negara Inggeris yang gah itu.

“Memang saya sudah menghantar permohonan dan mencari kerja di sana (UK). Hantar sahaja, jika benar ada rezeki, saya menetap, jika tidak jawapannya pulang sahaja. Namun, sebaik sahaja menghantar permohonan, tiba-tiba hati saya terdetik untuk pulang sahaja ke Malaysia.

“Tidak menghiraukan apa-apa lagi, tamat sahaja pengajian, saya terus mencari kerja di sini (Malaysia). Sebenarnya saya sudah dua tahun habis belajar, namun disebabkan Covid-19, acara konvokesyen ditunda sehinggalah dibenarkan untuk dilakukan secara fizikal. Ada yang fikir saya baru habis belajar, tetapi sebenarnya tidak,“ katanya yang kini berkhidmat di sebuah organisasi terkemuka di Lembah Klang.

 

Jangan lupa follow kami di Instagram dan lawati portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca