Buletin Utama satukan Asrul & Ezreena. 'Enggan terburu-buru buka bisnes, demi anak sanggup korbankan kerjaya'
Buletin Utama satukan Asrul & Ezreena. 'Enggan terburu-buru buka bisnes, demi anak sanggup korbankan kerjaya'
PENGHIAS muka depan SinarPlus kali ini agak istimewa kerana menggandingkan suami isteri yang bekerja dalam bidang yang sama.
Pasangan penyampai berita TV3, Asrulnizam Kadir dan isterinya, Ezreena Aamir Hamzah menerima pelawaan tanpa banyak bicara. Cukup mudah memberi kerjasama baik ketika sesi fotografi mahupun temuramah, mungkin kerana dari bidang yang sama (media), justeru masing-masing tidak banyak kerenah.
Sedikit mukadimah berkenaan sang suami yang mesra disapa Asrul. Bermula sebagai penolong penerbit, sebelum dinaikkan pangkat sebagai penerbit, beliau turut berkhidmat sebagai penyampai dan kini sudah 11 tahun bersama TV3.
“Alhamdulillah, rezeki dapat berkhidmat dengan sebuah syarikat konglomerat yang cukup dikenali dan disegani ramai.
“Kalau diikutkan tahun ini genap 40 tahun usia TV3 dan sebagai salah seorang kakitangan yang terbabit, sudah pasti terselit perasaan bangga dan gembira kerana dapat mencurahkan khidmat bakti di sini,“ ujar lelaki berusia 36 tahun itu.
Pada masa sama, beliau turut berharap TV3 akan terus kekal relevan dalam industri media.
“Saya juga berharap, selain meneroka lebih banyak ruang dan peluang dalam era digitalisasi ini, syarikat juga tidak selesa untuk berada ditakuk lama sahaja. Banyak lagi yang boleh dan patut dilakukan oleh kita semua,“ ujar ayah kepada seorang cahaya mata itu.
Berbeza pula dengan isterinya yang mesra dengan panggilan Ezreena, beliau mengorak langkah dalam dunia kewartawanan usai tamat pengajian dalam bidang Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL).
“Jika orang lain keluar jadi cikgu dan sebagainya, saya pula memilih jalan berbeza dengan mencuba nasib sebagai wartawan. Kalau diikutkan dalam famili saya ramai yang jadi guru, namun saya memikirkan apa lagi yang dalam dunia ini ada selain bidang perguruan.
“Lantas, saya memberanikan diri untuk mencuba nasib di Kuala Lumpur. Pun demikian, saya menantikan sehingga tamat pengajian dan menggenggam segulung ijazah,“ ulas beliau yang sudah 13 tahun dalam arena tersebut.
Beli jiwa
Mengulas lanjut tentang pertanyaan kenapa awal-awal tidak memilih kerjaya dalam industri media sebagai platform Utama,ini jawapan tuan punya badan.
“Mula-mula saya tak minta kerana takut tak berkat, langgar kemahuan ibu ayah. Saya tidak mahu lihat ibu bersedih, lebih-lebih lagi saya takkan berjaya tanpa berkatnya.
“Kalau orang cakap saya ini macam anak mak, saya tidak menidakkan perkara tersebut. Alhamdulillah, pilihan saya disusuli dengan doa keluarga buat saya berjaya,“ ujar Ezreena lagi.
Topik perbualan kami seterusnya menjurus kepada perkenalan mereka sehingga membawa ke jenjang pelamin.
“Kami rapat dan bersama sewaktu saya mula baca Buletin Utama dan suami (Asrul), memang sudah lama di saluran berkenaan. Bermula sebagai kawan, dalam beberapa bulan, kami mula serius . Mungkin kerana adanya chemistry, hubungan jadi semakin serius,“ ujar anak bongsu daripada lapan beradik itu.
Ditanya kenapa mengambil masa lama untuk mendedahkan hubungan mereka, celah Asrul, mereka enggan berbuat demikian kerana bimbang tak jadi.
“Ada masanya perselisihan faham berlaku, namun kami boleh bezakan antara peribadi dan kerjaya.
“Ini punca rezeki kami justeru sebarang masalah kami ketepikan, enggan buat ia terganggu. Soal majikan pula tak timbul memandangkan kami bekerja dalam unit berbeza,“ ujar Asrul lagi.
Bercakap mengenai kerjaya, akui pemegang Ijazah Sarjana Komunikasi & Media itu berkata, sejak dahulu beliau seorang yang berpegang pada prinsip buat sampai jadi.
“Saya seorang yang berimpian tinggi, justeru sesiapa yang mengenali diri ini kena faham cita-cita untuk saya capai. Untuk tujuan tersebut, saya perlukan sokongan dan Ezreena punya pakej yang lengkap dalam memenuhi kriteria yang saya ingini.
“Paling utama, mak saya memang approve dia. Kami ini kebetulan sama-sama anak bongsu, manja. Sejak dulu saya memang hidup berdua dengan mak sahaja kerana abang-abang semua sudah besar.
“Isteri saya mudah untuk ‘masuk‘ dengan sesiapa sahaja. Berbeza dengan saya jenis introvert. Dia berjaya beli jiwa ibu saya dan itu pilihan yang tepat,“ ungkap Asrul lagi.
Berkat restu kedua belah pihak, pasangan ini diijabkabulkan sebagai suami isteri yang sah pada November 2015.
Anak istimewa
Dalam melayari bahtera rumah tangga, mereka diuji apabila dikurniakan nak istimewa.
“Sejak awal kelahiran sehingga sekarang, memang bab anak kami berdua yang uruskan tanpa bantuan pembantu rumah dan juga keluarga terdekat.
“Syukur kerana kerja dalam bidang ni cukup fleksibel dan ada shif. Itu memudahkan untuk kami sama-sama uruskan anak,“ ujar Ezreena
Bercerita lebih lanjut mengenai anaknya, Zillqayyim. Si kecil itu di hantar ke pusat asuhan kanak-kanak atau nursery seawal usia 3 bulan.
Sempat penulis mengajukan persoalan apakah mereka tidak geru dek kes-kes yang membabitkan anak-anak di nursery.
“Bohonglah andai kata tidak bimbang, cuma kami berdua akan buat rujukan terlebih dahulu untuk lihat latar belakang tempat tersebut, jika perangai anak berbeza atau asyik menangis enggan ke sana, mungkin itu petanda yang ada sesuatu tak kena.
“Justeru, kami tidak teragak-agak untuk menukarnya ke tempat lain. Setakat ini, memang banyak kali bertukar lokasi bergantung kepada cara kerja kami,“ ulas Asrul.
Dedah Ezreena pula, sikap majikannya yang cukup prihatin membuatkan diri dihujani rasa syukur dan terharu.
“Bila ada anak dengan kerjaya sebegini memang cukup mencabar. Mujurlah ketua memahami, membolehkan saya bertukar ke jabatan yang memudahkan untuk menguruskan anak.
“Sekarang, anak sudah berumur lima tahun, dan sebagai ibu bapa kami mahu berikan yang terbaik buatnya. Sebab itu, kami memilih untuk menghantarnya ke kelas terapi supaya dia tidak ketinggalan dan membantu perkembangannya,“ ujar Asrul pula.
Menyelami isi hati seorang ibu yang dikurnia anak istimewa, jujur Ezreena mengakui awal-awalnya enggan berdamai dengan takdir.
“Saya mula persoalkan, apa silap saya, di mana kekurangan dalam melayani anak sedangkan segala keperluan disediakan lengkap. Ketika itu, saya mula salahkan diri.
“Mungkin kerana awal-awal kelahirannya, saya sibuk dengan tugasan ke sana ke mari sehinggakan dia banyak habiskan masa di nursery,“ ungkap Ezreena.
Pun begitu, berbeza pula dengan Asrul. Ralatnya hanya seketika dan enggan larut dalam emosi duka terlalu lama.
“Saya anggap anak istimewa adalah pemberian yang bukan semua orang dapat. Pada masa sama, tanggungjawab pun cukup besar untuk pastikan keperluan anak terjaga.
“Seawal usia dua tahun, kami dapat tahu dia ada masalah speech delay kerana tidak banyak berkomunikasi. Sepatutnya dalam usia sebegitu, dia sudah mampu capai satu-satu kemahiran.
“Selepas didiagnosis, barulah kami tahu rupa-rupanya ada masalah autistik. Usianya empat tahun, namun tahap komunikasinya macam kanak-kanak dua tahun,“ ujar Asrul yang mengakui mahu memberi tumpuan terlebih dahulu buat anaknya itu sebelum memikirkan soal menambah ahli keluarga baharu.
Tamat bicara mengenai anak kesayangan mereka, perbualan kami kemudiannya menjurus pula kepada hala tuju dan perancangan masa depan bersama.
Jika ramai berlumba-lumba memasuki bidang bisnes untuk jaminan kehidupan yang lebih baik, namun Asrul enggan terburu-buru untuk berbuat demikian.
“Saya tidak mahu nanti yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran. Lebih baik saya berhati-hati. Memang ada perancangan ke arah tersebut (buka bisnes), namun saya tunggu ruang dan peluang yang lebih baik.
“Sementelah dengan situasi ekonomi dan kos yang semakin meningkat. Saya tidak mahu tersalah langkah,“ ujar anak kelahiran Melaka itu lagi.Sementara Ezreena pula sudah membayangkan untuk membuka sebuah bisnes online jika ada peluang kelak.
“Saya memang minat memasak dan walaupun tiada pengalaman dan kemahiran dalam bidang tersebut, itu bukan sesuatu yang mustahil untuk dicapai.
“Jika sebelum ini saya mampu membina kerjaya dalam bidang kewartawanan biarpun memiliki kelulusan dalam bidang berbeza, pasti bisnes makanan ini juga mampu untuk dilaksanakan,“ ujarnya sambil mengakui anaknya cukup menggemari setiap air tangan yang beliau hasilkan.
Ungkap Ezreena lagi, anak merupakan faktor utama jika beliau mahu beralih bidang kelak.
“Bila ada anak ini, minat mula berubah. Kalau dulu berkobar-kobar untuk capai itu ini dalam kerjaya. Namun selepas bergelar ibu, saya mula fikirkan kebajikannya dan sanggup berkorban demi anak,“ kata Ezreena lagi.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, Threads, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform ShopeeKarangkraf Mall sekarang!
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang