NAMA Siti Khadijah mungkin tidak segah rakan seangkatan yang lain.

Pun begitu, kurangnya populariti tidak menyebabkan empunya diri berputus asa dan mahu angkat kaki daripada industri seni.

Akui tuan punya badan, dirinya masih ‘hijau’ dalam industri tersebut dan masih banyak kepincangan yang perlu diperbaiki.

Tirai perbualan penulis dan gadis manis itu diselak dengan memperincikan kehadirannya dalam bidang lakonan tatkala usia 20 tahun.

Baca ni Restu ibu mengiringi, Jasmine Suraya pilih berlakon filem Indonesia sebelum sambung pengajian di LA

siti khadijah

“Daripada sekadar suka-suka tanpa sedar, saya jatuh hati dan minat dengan dunia lakonan. Saya bermula daripada bawah sebagai pelakon tambahan sebelum sampai ke tahap sekarang,“ ujarnya sebagai mukadimah awal tentang kerjayanya.

Penceritaan diteruskan dengan pemilik nama sebenar, Siti Khadijah Abdul Halim itu membuka satu persatu lembaran diari pembabitannya sebagai anak seni.

“Kalau diikutkan, sebelum dikenali sebagai pelakon, saya ialah seorang pempengaruh. Saya masih ingat, ada segelintir memandang sinis kononnya menjadi pempengaruh adalah jalan pintas untuk bergelar pelakon. Saya cuba tangkis tanggapan negatif dengan menolak setiap kali ada tawaran berlakon,”jelasnya yang mesra disapa Siti Khadijah

Sehinggalah suatu hari, ibu beliau terbaca iklan satu pertandingan dalam surat khabar. Lantas, memintanya memasuki pertandingan tersebut.

“Namun, saya segan dan enggan berbuat demikian. Saya bimbang kalau tak menang nanti dapat malu. Pun begitu, atas dorongan dan doa ibu bapa, ahli keluarga serta kawan-kawan, saya berjaya menjadi juara Gadis Panca NR 2017.

“Saya bersyukur kerana dengan adanya sistem sokongan yang kuat membantu saya mengukir nama dalam bidang seni,“ ujarnya lagi.

Baca ni ‘Tak perlu cipta helah raih perhatian.’ Jadi diri sendiri & anggap kerja ibadah, resipi Alif Satar sifar kontroversi 

Kecewa dengan industri

Dedahnya lagi, sejak kecil ibunya sudah mendidiknya supaya membina keyakinan diri dan buang rasa malu.

“Sebut sahaja apa pertandingan yang saya tidak sertai di sekolah, sama ada berpidato, bercerita dan macam-macam lagi. Ibu sudah siapkan diri saya untuk tampil yakin di hadapan khalayak.

siti khadijah 1

“Cuma sebagai insan biasa, bohonglah andai kata hati tidak terguris tatkala ada kecaman daripada pihak luar. Sedikit sebanyak menggoyahkan keyakinan dan pemikiran saya. Pun begitu, saya cuba elakkan menangis untuk benda yang sama,“ tegasnya.

Jujur mengakui dirinya bukanlah sejelita atau secantik pelakon wanita lain. Namun kata anak kelahiran Kuala Lumpur itu, sekurang-kurangnya kehadirannya membuka ruang dan memberi inspirasi buat wanita senasib dengannya untuk menceburi bidang lakonan.

Menyentuh soal ketidakadilan dalam industri yang perlu dilalui oleh setiap anak seni, ini jawapan padu tuan punya badan: “Adakalanya memang rasa kecewa dengan industri ini (lakonan).

“Industri kita ibarat western , mereka lebih memandang kepada berkulit putih, kurus, mata bulat, hidung mancung dan sebagainya.

“Sedangkan kita ini orang Asia yang rata-ratanya mata sepet, kulit gelap atau sawo matang. Benda sebegini sudah berlarutan sejak dahulu lagi,“ ulas pelakon drama rantaian Sekali Lagi Cinta Kembali.

Mengulas mengenai kehadiran pelakon baharu bak cendawan tumbuh selepas hujan, bagi Siti Khadijah, itu adalah perkara biasa.

Baca ni ‘Bukan riak nak tunjuk kekayaan, kami mahu memberi inspirasi kepada orang lain.’ Wawa Zainal beri jawapan padu

siti khadijah 2

Justeru, tiada istilah cemburu jauh sekali tergugat dengan situasi tersebut.

“Akan sentiasa ada pelakon baharu yang muncul. Malah, saya sendiri ibarat pelapis kepada pelakon senior. Oleh yang demikian, saya harus menunjukkan teladan yang baik kepada mereka ini (pelakon baharu),“ katanya lagi.

Siti Khadijah turut mendedahkan sewaktu media sosial miliknya mencapai 100,000 pengikut, rasa sebak meyelubungi.

Disebabkan itu, dia sanggup membeli dan memotong kek bagi meraikan detik tersebut. Sehingga kini, media sosial Instagram miliknya sudah melebihi 400,000 pengikut.

Beli follower

Dijentik persoalan adakah dirinya tidak seperti segelintir pempengaruh lain yang ‘membeli’ follower, tegas empunya diri, perkara sedemikian tiada dalam kamus hidupnya.

“Tidak dinafikan (beli follower) berlaku pada zaman sekarang. Mungkin mereka yang mengambil langkah berkenaan semata-mata untuk meraih iklan atau memudahkan mendapat tawaran.

“Saya tidak halang atau mengata mereka yang berbuat demikian kerana masing-masing ada komitmen yang perlu dilunaskan,“ujarnya.

Baca ni Amyra Rosli tak pernah anggap media sosial satu platform toksik. Ini pengalaman yang dikongsikan…

siti khadijah 3

Gadis berumur 27 tahun itu meluahkan rasa terharu dengan sokongan ramai pihak, sekali gus kakinya mengorak langkah ke hadapan.

“Saya tidak mahu nilaikan diri sendiri dan orang lain berdasarkan pengikut semata-mata. Bahkan secara peribadi, saya anggap media sosial ini ibarat portfolio diri saya,“jelasnya panjang lebar.

Pada masa sama, Siti Khadijah turut ditanya perlukah menjadi fake terutama dalam media sosial?

“Oh! memang perlu (fake), namun kalau asyik control dan menjaga penampilan diri pun penat juga, kan? Lebih-lebih lagi nak nampak baik di mata orang lain,” ulas Siti Khadijah penuh makna.

Sepanjang perbualan penulis bersamanya, nyata gadis berkulit sawo matang itu seorang yang mudah mesra orangnya.

Namun, kata Siti Khadijah jika tidak kena gaya, dia boleh bertukar daripada ekstrovert kepada introvert.

Bahkan di awal perbualan Siti Khadijah sudah mengakui dirinya seorang yang pemalu.

“Saya ekstrovert kepada mereka yang buat diri saya selesa, selebihnya saya introvert. Jika saya rasa tidak ‘selesa’ maka saya akan lari,“ ulasnya yang gemar memasak dan berkuda pada waktu senggang.

Membahasakan dirinya adik terutama bersama ahli keluarga, anak bongsu daripada empat beradik itu bagaimanapun mengakui cukup berhati-hati dalam mengatur langkah.

Baca lagi Membawa aura persis Wan Zaleha Radzi, pembaca berita TV3, Nadia Azmi curi tumpuan. Turut guna platform TikTok sebar ilmu

Iklan

siti khadijah 4

Malah, dia hormat pandangan dan cara ibu bapa serta adik-beradiknya yang lain terutama dalam bab menegur.

“Walaupun saya anak bongsu, namun abang dan kakak saya sangat tegas. Kalau ada benda salah mereka akan tegur,“ ulas Siti Khadijah lagi.

Memasang cita-cita mahu bergelar pengarah dan memiliki produksi sendiri, Siti Khadijah juga mengamalkan sikap suka bersedekah dan membantu orang sekelilingnya.

“Saya percaya, lebih banyak kita memberi maka lebih banyak yang kita dapat. “Justeru, kalau ditanya soal komitmen kerja dan hal peribadi, bagi saya yang penting adalah membayar bil setiap bulan,“ selorohnya lagi.

Menyelongkar sisi peribadi, rupa-rupanya Siti Khadijah graduan Diploma Komunikasi Media Baharu dan Keusahawanan Kandungan.

Tatkala ditanya sama ada teringin untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi, empunya diri tidak menolak untuk berbuat demikian.

“Bagi saya, menyambung pengajian sehingga ke peringkat tertinggi universiti memang penting. Ruginya saya sebab tidak berbuat demikian kerana saya bukan jenis yang boleh buat dua kerja dalam satu masa.

“Saya respek dengan kawan-kawan artis lain yang boleh bahagi masa belajar semasa bekerja.

siti khadijah 5

Nasihat saya kepada adik-adik di luar sana, jangan lepaskan jika ada peluang belajar. “Memang seronok dapat jadi pelakon atau pempengaruh, namun jangka panjang kita tidak tahu masa depannya bagaimana kelak,“ jelas Siti Khadijah

Kongsinya lagi, orang tengok kehidupan artis nampak menyeronokkan, cantik dan lawa.

“Hanya yang melalui sahaja tahu betapa sukarnya. Kadangkala keluar pagi, pulangnya malam sampai tak sempat tengok langit,“ ulasnya panjang lebar.

Skeptikal dan seram sejuk

Iklan

Betapa masa begitu mencemburui kami. Serasa baru sahaja berbual namun sudah sampai ke penghujungnya.

Sempat juga Siti Khadijah mendedahkan hubungan baiknya dengan Sophia Albarakbah. Bahkan pujian melangit dilemparkan kepada pelakon wanita berkenaan.

“Kami dipertemukan menerusi drama From Saga With Love. Memang awalnya saya agak skeptikal dan seram sejuk mendengar namanya.

“Namun, sebagai wanita dan kawan, saya bersyukur dapat peluang mengenalinya lebih dekat, sekali gus dapat memberitahu sisi peribadinya yang cukup baik.

siti khadijah 6

“Soal cantik itu saya tak nafikan, malah dia juga lembut dan baik. Itulah keperibadiannya dalam dan luar. Malah, tanggapan orang lain kepadanya salah sama sekali,“ ungkapnya.

Jujur mengakui bukanlah seperti wanita lain di luar sana yang cantik, namun pergaulan bersama Sofia mengubah segala-galanya.

“Saya ini bukan jenis lemah-lembut dan feminin. Namun, Sofia buat saya nak jadi wanita yang lebih bersopan. Pun begitu dia tidak sedar dirinya mengajar saya ke arah tersebut.

siti khadijah 7

“Sejujurnya, pembawaan diri Sofia membawa saya ke arah yang baik. Apabila kita melihat satu-satu perkara dari sudut berbeza, daripada situ kita belajar banyak perkara,“ tuturnya menutup bicara bersama penulis.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, Threads, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang