SEBUT sahaja nama Jasmine Suraya, pasti akan terbayang si kecil molek yang tidak lokek dengan senyuman di bibir.

Peramah dan mudah mesra orangnya tatkala bertentang mata buat kali pertama dengan anak kelahiran Bumi Kenyalang itu.

Hadir ke Studio A Sinar Karangkraf dengan wajah polos tanpa secalit mekap. Membuka bicara awal tatkala empunya diri ditatarias oleh jurusolek Ain Saad, perihal perancangan tahun 2024 menjadi mukadimah awal.

Sementelah penulis tidak sabar mahu mendengar daripada mulutnya sendiri akan persiapan beliau yang bakal terbang ke Los Angeles (LA) bagi menyambung pengajian.

jasmine

“Kalau diikutkan, memang saya bakal menyambut tahun baharu di LA, namun kita hanya mampu merancang, kan? Saya bakal pulang ke Sarawak untuk menyambutnya dengan ibu. Tambahan pula, sudah tiga tahun saya tidak berbuat demikian gara-gara covid-19 yang melanda sebelum ini.

“Perasaan gembira, teruja dan tidak sabar untuk berbuat demikian kerana saya anak tunggal dalam keluarga. Lebih-lebih lagi ayah sudah tiada, jadi hanya tinggal saya sahaja sebagai tempat ibu nak bermanja,“ jelasnya.

Baca ni ‘Tak perlu cipta helah raih perhatian.’ Jadi diri sendiri & anggap kerja ibadah, resipi Alif Satar sifar kontroversi 

Introvert dan suka menyendiri

Menyelongkar sisi peribadi pemilik nama penuh Jasmine Suraya Chin, beliau mengakui dirinya sedikit introvert.

“Mungkin orang lihat jenis yang suka bersosial tapi sebenarnya, saya lebih suka menyendiri. Pun begitu, saya suka dikelilingi kemeriahan terutama sambutan tahun baharu mahupun Krismas.

“Sebelum jadi artis, saya akan menyambut perayaan bersama keluarga. Kami akan keluar bersama, tengok bunga api dan makan besar. Selain itu, kami keluar membeli-belah dan berjalan-jalan.

“Sangat simple tapi cukup bermakna kerana dapat menghabiskan masa dengan ibu dan ayah ketika itu. Momen yang cukup manis,“ ungkapnya penuh makna.

jasmine 1

Enggan membiarkan empunya diri terus larut dalam memori lama, pantas penulis membangkitkan kembali persoalan mengenai perancangan menyambung pengajiannya yang dikatakan tertangguh seketika.

Jasmine Suraya mendedahkan keputusan tersebut dibuat kerana dirinya menerima tawaran berlakon filem untuk sebuah produksi flem Indonesia.

“Saya akan berangkat ke Jogjakarta selama dua bulan. Selepas selesai penggambaran filem tersebut, barulah saya akan terbang ke LA selama setahun lebih,“ jelasnya yang terharu kerana ramai yang menyokongnya.

Jika diikutkan empunya diri, memang hatinya berat untuk berbuat demikian, peluang sebegini bukan datang selalu.

Sementelah selepas ini, beliau harus fokus pada belajar dan tidak dibenarkan berlakon sepanjang sesi pengajian tersebut. Menyingkap lebih lanjut tentang keputusan beliau untuk menyambung pengajian, jujur Jasmine mengakui mahu menambahkan ilmu dalam bidang lakonan.

 

“Saya percaya dunia ini luas dan banyak benda yang boleh diterokai. Kalau ditanya plan saya untuk 2024, sejujurnya belum ada sebarang perancangan.

“Cuma mungkin (belajar) ini boleh dijadikan sebagai resolusi 2024 yang saya mahu peroleh kelak ,“ ujarnya yang teringin berlakon dengan Park Chan Wook dari Korea, Frances McDormand dan ramai lagi.

Baca ni ‘Bukan riak nak tunjuk kekayaan, kami mahu memberi inspirasi kepada orang lain.’ Wawa Zainal beri jawapan padu

jasmine 2

Berhenti belajar

Mengulas lanjut tawaran memasuki institut pengajian lakonan berprestij di Institut Filem dan Teater Lee Strasber itu, Jasmine mengakui bangga, teruja dan pelbagai lagi perasaan hadir dalam dirinya.

“Siapa yang tak bangga, kan? Sebelum ini, saya pernah mengikuti pengajian di ASWARA, namun kematian ayah membuatkan saya mengambil keputusan untuk berhenti belajar,“ ceritanya tanpa berselindung.

Ditebak persoalan tidakkah dirinya bimbang setahun lebih bakal ‘menghilang‘ daripada lensa kamera, ini jawab tuan punya badan.

“Bidang lakonan ibarat satu bisnes, mungkin selepas ini saya tidak akan tampil di kaca tv seperti sekarang. Pun begitu, kita punya teknologi canggih.

“Penggunaan media sosial misalnya sudah begitu meluas. Di situ kita boleh berinteraksi. Lagipun, biarlah ‘hilang‘ seketika daripada tidak dapat mencapai impian selama ini. Rasa tak lengkap diri ini andai tidak mampu berbuat demikian,“ ungkapnya penuh makna.

Memandangkan umurnya kini memasuki 34 tahun, tidakkah sudah terlewat untuk berbuat demikian (belajar)?

“Pada saya, setiap orang punya impian masing-masing. Justeru, lakukan apa yang anda ingini.

“Seperti saya, duit boleh dicari, namun saya bimbang jika tidak dapat capai apa yang saya ingini kelak. Jadi, saya akan rasa kesal dan tidak boleh hidup dengan sesalan tersebut,“ tegas beliau lagi.

Pada masa sama, empunya diri mengakui masih dibelenggu masalah untuk mendapatkan tajaan dana untuk pengajiannya yang dikatakan menelan kos sekitar RM300,000.

“Saya masih dalam proses mencari dana, namun sehingga kini masih belum berjaya. Sebenarnya, bidang seni tidak seperti bidang perubatan dan lain-lain lagi. Pun begitu saya percaya, bidang ini (seni) juga mampu membawa keuntungan kepada sektor ekonomi negara,“ ungkapnya optimis.

Baca ni Amyra Rosli tak pernah anggap media sosial satu platform toksik. Ini pengalaman yang dikongsikan…

jasmine 3

Fesyen dan perihal jodoh

Iklan

Tatkala ditanya bagaimana mahu melahirkan selebriti yang glamor dan pada masa sama memiliki ilmu penuh di dada, ini lontaran nasihat diberikan wanita berketinggian 157 sentimeter itu.

“Kita manusia dilahirkan berbeza minat, skil dan sebagainya. Jadi, perancangan kita semua tidak sama. Kalau pelajaran tidak mampu menggembirakan anda, tidak mengapa.

“Anda boleh capai atau buat apa yang anda ingini. Jika duit boleh buat anda bahagia atau gembira, teruskan,“ jelasnya yang mengagumi cara kerja dan perjalanan karier Tan Sri Michelle Yeoh dan Margot Robbie.

Seakan tidak lengkap perbualan andai tidak terjawab persoalan mengenai dirinya yang acapkali dihimpit kontroversi, terutama dalam penampilannya yang seksi.

“Mungkin wajah tidak terlalu Chinese look menyebabkan orang sangka saya ini orang Melayu. Sementelah, nama Jasmine Suraya turut membuatkan orang keliru,“ ungkapnya.

Bercerita lanjut, nama tersebut menjadi pilihan ibunya yang kebetulan mempunyai kawan baik bernama Suraya yang sama-sama menuntut di luar negara.

 

“Pun begitu, ayah kurang setuju lalu meletakkan Jasmine Suraya. Sehingga kini, saya tak kisah atau koyak dengan kritikan orang ramai terhadap imej saya. Ia sama sekali tidak memberi kesan pada diri saya. Saya enjoy bila baca komen netizen,“ ujar Jasmine Suraya sambil tertawa kecil.

Sempat juga penulis memintanya berkongsikan tentang fesyen dan perihal jodoh buat graduan lulusan ijazah Pengajian Politik dan Ekonomi itu.

“Saya gemar fesyen klasik, namun elegan. Saya rasa cukup feminin apabila tampil dengan fesyen sebegini. Konsep sedemikian pada saya sentiasa menjadi pilihan sepanjang zaman.

“Soal jodoh saya serahkan semuanya kepada masa. Saya bersyukur kerana ibu tidak memaksa, bahkan beliau faham keinginan anak tunggalnya ini,“ ulasnya ringkas.

jasmine 4

Iklan

Pada masa sama, Jasmine Suraya turut membuka cerita mengenai kesihatan ibu tersayang.

Rupa-rupanya, ibu beliau sebelum itu seorang wanita bekerjaya dan pernah menghidap kanser sebelum ini.

“Kehidupan ini sangat singkat, ayah saya meninggal dalam usia muda iaitu 55 tahun. Beliau rebah secara tiba-tiba. Sekarang ini, walaupun ibu sudah sihat, namun baru-baru ini beliau disahkan menghidap tumor.

“Sebab itu, setiap kali pulang ke kampung, ibu selalu nasihatkan saya supaya hidup dalam kegembiraan dan buat yang terbaik. Katanya, itu sudah jauh lebih memadai untuk diri saya,“ kongsi anak kelahiran Kuching, Sarawak itu.

Baca lagi Membawa aura persis Wan Zaleha Radzi, pembaca berita TV3, Nadia Azmi curi tumpuan. Turut guna platform TikTok sebar ilmu

Tambahnya lagi, pemergian ke luar negara kelak mendapat sokongan penuh daripada ibunya.

jasmine 5

“Lagipun sebelum ini saya pernah duduk di luar negara seperti di Afrika dan Australia. Lagipun, saya anak tunggal yang sudah biasa berdikari dan mencari duit sendiri sejak dahulu lagi.

“Jika ibu menghalang saya daripada pergi, pasti saya akan rasa tidak puas hati kerana tidak dapat mencapai impian saya. Ibu tak mahu saya melalui keadaan sedemikian, justeru restu beliau sentiasa mengiringi hidup saya,“ ungkap Jasmine Suraya sebelum menutup perbualan.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, Threads, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang