Ada hikmah di sebalik peristiwa ‘disekolahkan’ artis bermulut lantang, Nursyazwani lega ramai buka mata tentang…

NAMANYA tiba-tiba menjadi sorotan ramai. Temu bual dengan seorang selebriti bergelar Datuk tiba-tiba menjadi kontroversi.

Dunia maya bergema hampir seminggu lamanya gara-gara tidak berpuas hati dengan tindakan artis berkenaan yang ‘menyekolahkan’ Nursyazwani Saiful Sham atau Syaz.

Baca ni ‘Saya mahu jalan terus’. Digelar cepat koyak & sentap, Sissy Iman langsung tak kisah

Pada saat diri mahu melupakan ‘tragedi’ itu, pembaca berita Awani Pagi di saluran Astro Awani itu terkesima apabila gelombang popular menerpanya. Nama beliau turut menjadi carian tinggi menerusi Google sepanjang kejadian.

Itu bermakna, masing-masing ingin tahu siapa empunya diri dan apakah perisai yang digunakan untuk terus menambat perasaan tenang?

Bertitik tolak daripada itu, penulis lantas menghubungi Syaz. Perbualan di antara kami akhirnya membawa anak kelahiran Kuala Lumpur itu ke Studio A, Sinar Karangkraf, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Hadir sendirian, wanita tersebut tampil dengan gaya ringkas. Berseluar jean, blaus dan tudung bawal dililit ringkas.

Oh! Kepada yang sebelum ini memikirkan Syaz sudah berbelas tahun berkerja di Awani, anda silap sebenarnya.

Beliau baru lima tahun terpilih muncul di layar kaca. Namun, gaya Syaz yang bersahaja, berkeyakinan dan profesional menampakkan personalitinya yang cukup elegan, bukan?

“Untuk pengetahuan semua, selepas menjalani latihan praktikal empat bulan di Awani, alhamdulillah saya terus diserap masuk seusai tamat pengajian,” katanya.

SENTIASA SIAP SIAGA
Seakan-akan tahu apa soalan mukadimah, penulis jangkakan Syaz yang tinggi adabnya sudah bersiap sedia dengan jawapan.

Namun, tulus tuturnya, beliau tidak punya hati untuk memanjangkan kemelut yang hanya menyesakkan kepala sahaja. Lebih baik, fikirkan hal-hal yang membahagiakan.

“Kalau ikutkan selebriti itu berkelakuan profesional ketika menjawab soalan. Cuma mungkin ada salah faham di antara soalan dan jawapan,” katanya menuturkan ayat diplomasi.

Baca ni ‘Saya harap hubungan baik ini berterusan sehingga ke akhir hayat’. Memey mahu silaturahim dengan Abby terus mekar

Nasi sudah menjadi bubur. Isu telah pun tular. Namun, nama Syaz mekar meniti bibir masyarakat yang meluahkan kata-kata pujian terhadap kawalan emosinya tatkala mengendalikan individu yang sukar diramal.

Tuan punya badan berkata, beliau bersyukur apabila orang sekelilingnya cukup memahami.
“Keluarga, penerbit, penolong penerbit, kru produksi, kawan-kawan waima organisasi saya sendiri okey sahaja. Ada yang bertanyakan khabar. Terdapat juga minta saya jangan baca komen netizen,” ungkapnya.

Kepada SinarPlus, Syaz berkata, sebenarnya beliau dan juga rakan sejawat pernah merentas isu yang sama. Ia seakan lumrah dalam kehidupan seorang bergelar wartawan dan pengamal media.

“Kami sentiasa berhadapan dengan pelbagai individu, ilmuan, pakar dan lain-lain. Pelbagai reaksi kami terima. Berbekalkan pengalaman itulah, sedikit sebanyak membantu saya mengemudi keadaan ketika kejadian itu,” ujarnya.
Seperkara jelas Syaz, kadangkala mereka bersiaran tidak berpandukan skrip sepanjang masa dan sentiasa meletakkan ‘quality comprehensive conversation’ sebagai keutamaan.

“Bila dapat berita terbaharu, kami perlu spontan mengeluarkan fakta. Mudah kata, wartawan atau pembaca berita perlu sentiasa bersiap siaga dalam apa jua keadaan,” katanya.

Masih gugup ketika berhadapan depan kamera? Anak sulung daripada tiga beradik itu mengakui hakikat itu.

“Pun begitu, saya sedaya upaya jadikannya (gugup) sebagai ‘kawan’ bukannya ‘lawan’. Mungkin satu atau dua minit pertama akan rasakannya. Apa yang biasa saya lakukan adalah cuba bernafas dengan baik supaya suara tidak kedengaran gugup,” katanya memberi panduan kepada generasi baharu yang berimpian menjadi wartawan penyiaran.

INSPIRASI
Barangkali ramai menganggap bergelar pembaca berita kerana mahu glamor. Ditambah, semua artikel yang dibaca sudah disiapkan. Baca sahaja depan TV.

Pandangan itu disangkal oleh Syaz. Ujarnya, seawal pukul empat pagi beliau sudah ‘terpacak’ di studio menyedia dan menyusun bahan Awani Pagi yang akan ke udara pukul 7 pagi.

“Saya dapat rasakan ada hikmah di sebalik ‘tragedi’ itu. Orang luar mula buka mata. Selama ini, ada yang beranggapan pembaca berita hanya tahu baca skrip yang terpampang saja, sedangkan kami juga perlu membuat kerja-kerja wartawan termasuklah mencari dan menulis berita.

“Bukan itu sahaja, ramai yang mula sedar, kami di Awani bukan hanya menumpukan kepada berita politik atau ekonomi, berita gaya hidup, jenayah, kesihatan dan sebagainya juga diberi keutamaan,” ungkapnya.

Baca ni Wajah comel terpapar pada botol kordial F&N hampir 2 dekad, ini wajah terkini Madihah ‘si gadis sirap’

Siapalah kita kalau tidak idola yang mencetuskan inspirasi dalam kehidupan? Terus terang, Ketua Pengarang Astro Awani, Ashwad Ismail ialah mentor rujukan Syaz. Personaliti itu cukup kagum dengan cara Ashwad membaca dan mengemudi bilik berita.

“Beliau sentiasa bawa kelainan dalam penyampaian. Saya masih ingat pesanannya sehingga kini. Kata beliau, kita bukan sekadar menyampai atau membaca, sebaliknya penceritaan (story telling) itu penting dalam menyampaikan maklumat penting kepada orang ramai,” ujarnya yang turut mengagumi Ketua Pengarah, Jabatan Penyiaran Malaysia, Suhaimi Sulaiman.

Sengaja penulis mengajak Syaz mengimbau zaman kegemilangan personaliti televisyen era dulu yang nama mereka masih menjadi sebutan sampai sekarang. Antaranya seperti Wan Zaleha Radzi, Nur Farahin Jamsari dan Azrinaz Mazhar Hakim.

Pun begitu, hal itu tidak berlaku kini? Mengapa agaknya? Tiada aurakah? Jawab Syaz dengan tenang: “Salah satu cabaran mungkin kerana stesen televisyen semakin banyak.

“Segala perubahan yang berlaku sangat pantas. Mungkin juga penonton kini lebih fokus tentang berita berbanding ambil tahu tentang mana-mana penyampai berita.”

Iklan

LANJUTKAN PENGAJIAN

Kami melencongkan sedikit topik perbualan dengan bertanya tentang peribadi dan gaya hidupnya pula.

Namun, terlebih dulu, beritahu Syaz, kerjaya sebagai wartawan dan penyampai berita bukanlah pilihan utama. Sebaliknya, beliau mahu bergelar pendidik.

“Sejak kecil saya minat nak jadi guru. Kebetulan saya pernah ambil TESL (Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua). Namun, tersekat di pertengahan jalan. Justeru, saya beralih dalam bidang kewartawanan yang tak lari jauh dengan apa yang saya gemari,” jelasnya.

Pun demikian, beliau tetap memasang impian untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi demi merealisasikan cita-cita bergelar pengajar atau pensyarah suatu hari nanti.

Kembali kepada matlamat asal penulis, Syaz berkata, secara lahiriahnya, beliau dilihat sebagai individu yang serius.

“Namun, itu hanyalah ‘watak’ yang saya terjemahkan di hadapan kamera. Sejujurnya, saya jenis happy go lucky dan mudah mesra orangnya,” ujar graduan Universiti Teknologi Mara Malaysia itu.

Berkongsi rutin harian pula, Syaz berkata, jika tidak bertugas, masanya banyak dihabiskan di gimnasium.

Baca  lagi Zara Zya mahu kaum Hawa kental dan ‘kena mahal’. Pelakon jelita ini juga sedia bertukar status

“Kerja awal pagi, selesai waktu tengah hari. Memandangkan kitaran harian itu tak normal, saya perlukan sesuatu yang boleh ‘penatkan diri’ dan pada masa sama, sihat.

Iklan

“Biasanya selepas balik kerja, saya tidur seketika, kemudian makan sebelum ke gimnasium pada waktu petang. Walaupun tinggal dengan keluarga, saya jarang ada masa bersama.

Demikian juga masa dengan kawan-kawan,” ujarnya yang gemar melancong.
Mahu memanjangkan lagi perbualan, bicara kami kali ini sedikit serius dan ia telah membuatkan Syaz terus mengimbas momen ketika zaman belajarnya dahulu.

Penulis bertanyakan tentang sikap manja belia kini yang mengharapkan duit ibu bapa, meski mempunyai ruang bekerja separuh masa ketika menunggu keputusan peperiksaan atau cuti semester.

Ujar Syaz, beliau tidak tergolong dalam kelompok itu. Tuan punya badan pernah membuat kerja sampingan di rangkaian francais minuman terkenal sewaktu belajar.

“Kerja itu sedikit sebanyak mengajar saya hidup ini bukan senang walaupun diberi kecukupan serba-serbi oleh ibu bapa waktu itu.

“Status sebagai anak sulung memerlukan saya berdikari tanpa harapkan bantuan keluarga sepanjang masa. Justeru, saya memang bersetuju kalau ramai kata anak muda sekarang kurang berdikari dan sikap itu perlu diubah,” tegas Syaz lagi.

Ya, populariti yang menjengahnya tanpa dirancang secara tidak langsung membuatkan beliau mula dikenali.

Ke mana sahaja, pasti ada yang menyapa, tidak kurang juga mahu berswafoto.
Tertawa kecil saat melihat transisi hidupnya, penulis terus bertanyakan kemungkinan ada produksi yang melamar menjadikannya anak seni?

“Belum ada. Kalau ada, saya tak menolak. Begitu juga kalau diberi ruang untuk bergelar pengacara,” tuturnya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah yang menginspirasikan.