1 dalam 50 juta, wanita dua rahim lahirkan bayi kembar ajaib, setiap seorang diami satu rahim ibu

KALAU sudah tertulis rezeki, tiada siapa boleh menghalang biarpun ramai mengatakan ia mustahil kerana pelbagai kekangan fizikal dan penyakit.

Sama juga halnya dalam perihal cahaya mata.

Biarpun sistem reproduksi wanita adalah keajaiban ciptaan ALLAH membolehkan mereka hamil dan melahirkan zuriat, tidak semua kaum Hawa dikurniakan organ yang normal.

Bagi wanita dari Melbourne, Australia, Madeline Kaklikos, 24, yang mengalami keadaan kongenital jarang jumpa iaitu uterine didelphys, kehamilan dan kelahiran cahaya matanya itu adalah satu keajaiban.

Baca juga: 2 rahim, haid 2 kali sebulan, wanita ‘aneh’ kongsi uterine didelphys

Wanita yang mengalami uterine didelphys selalunya berhadapan keguguran atau kehamilan luar rahim.

Madeline, 24, dan suaminya, Jon, 27, telah menyambut kelahiran bayi kembar mereka, Cole dan Nate Februari lalu selepas menjalani sepuluh pusingan rawatan kesuburan selama tiga tahun.

Lebih istimewa, salah seorang daripada mereka adalah hasil rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) manakala seorang lagi adalah secara semula jadi.

Susulan daripada itu, kedua-dua janin membesar secara berasingan di dalam dua rahim ibu mereka.

Pakar perubatan menyifatkan kes Madeline sebagai satu dalam 50 juta kerana fakta kedua-dua anaknya dikandung menerusi kaedah berbeza dan masing-masing membesar di dalam rahim yang berlainan.

Berusaha untuk hamil sejak tahun 2020, Madeline dan John terkejut dengan keajaiban apabila diberitahu mereka bakal menimang dua cahaya mata sekali gus.

“Selepas sepuluh pusingan rawatan kesuburan dan bertahun-tahun mencuba untuk hamil, tidak pernah terlintas di fikiran kami bahawa kami akan hamil secara semula jadi semasa menjalani IVF.

“Saya telah pun didiagnosis dengan Sindrom Ovari Polisistik (PCOS) pada 2017. Ketika itu saya berumur 18 tahun dan tahu sukar untuk hamil.

“Bagaimanapun, semasa ultrasound didapati saya sebenarnya mempunyai dua rahim dan saya disahkan menghidap uterine didelphys,” kata Madeline.

Baca juga: Disahkan doktor sukar hamil, wanita istimewa punyai 2 rahim, 2 vagina kongsi kisah hidup buat ramai buka mata

Doktor mencadangkan pasangan itu mencuba IVF dan dua embrio telah ditanam ke dalam ‘rahim yang lebih mudah diakses’ tetapi malangnya ia tidak berkembang.

“Kami terus mencuba. Ketika cycle kelapan, saya takut kami tidak akan berjaya memiliki anak. Saya benar-benar menaruh harapan,” ujar Madeline.

Beberapa bulan kemudian, sel telur yang diambil diproses dan menghasilkan 11 embrio.

Pada Jun tahun lalu pasangan itu mendapat panggilan telefon dari klinik kesuburan menyampaikan berita gembira kehamilan.

Ketika ultrasound minggu ke-10, pasangan itu mengetahui bakal menyambut kelahiran dua bayi iaitu hasil IVF dan kehamilan spontan.

“Doktor menjelaskan melahirkan dua bayi daripada dua rahim adalah satu dalam 50 juta.

“Kami juga menyedari bahawa mereka telah dikandung pada masa yang berbeza dan dengan cara yang berbeza.

“Seorang kembar telah dikandung melalui IVF dan seorang lagi dikandung secara semula jadi,” ujar wanita yang bertugas sebagai pekerja khidmat sosial itu.

Memandangkan kehamilannya dikelaskan sebagai berisiko tinggi, Madeline berada di bawah pemantauan pakar dan perlu melahirkan menerusi pembedahan Caesarean yang dirancang kerana dengan keadaannya itu bersalin semula adalah mustahil.

Baca juga: Pakar perjelas ‘faraj terkunci’ bukan kecacatan, suami sabar sikit, ini 8 fakta berkaitan

Iklan

Tiga tahu menunggu untuk mendakap bayi sendiri, impian Madeline dan Jon menjadi realiti apabila wanita itu bersalin ketika usia kandungan 34 minggu pada 20 Februari lalu.

“Apabila saya dapat memegang bayi buat kali pertama, saya berdebar-debar.

“Kami hanya sempat meluangkan masa skin-to-skin selama 10 minit sebelum mereka dibawa ke unit penjagaan khas neonatal,” ujarnya.

Selepas 17 hari di hospital, Cole dan Nate dibenarkan pulang.

“Memiliki anak kembar adalah sibuk. Syukur mereka telah berusia tiga bulan dan membesar dengan sihat,” kata Madeline.

Baca juga: Tuala wanita boleh menyebabkan kanser pangkal rahim? Ini penjelasan doktor

INFO UTERINE DIDELPHYS

1-Menurut WebMD, punca uterine didelphys tidak dapat dijelaskan tetapi ia dikaitkan dengan beberapa keadaan genetik.

Iklan

2-Ia adalah adalah keadaan yang jarang berlaku dan hanya dikesan terjadi kepada 1 hingga 0.5 peratus wanita di seluruh dunia.

3-Semasa kandungan berusia enam minggu hingga 22 minggu, organ reproduksi berkembang yang mana janin bayi perempuan mempunyai dua saluran yang dipanggil saluran Mullerian. Saluran ini bergabung dan membentuk satu organ berongga yang dipanggil rahim.

4-Dalam situasi uterine didelphys, saluran tersebut tidak bercantum dengan betul menyebabkan ia berkembang membentuk dua rahim.

5- Segelintir wanita yang mengalami masalah ini juga mempunyai dua serviks atau dua pangkal rahim.

6-Sesetengah bayi dilahirkan dengan satu buah pinggang boleh mempunyai organ reproduksi yang tidak teratur.

Baca juga: Sudah ada 7 anak, suami isteri ini teruja timang bayi kembar lima. Kisah paling rare!

Sumber: Metro UK, WebMD

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.