DISAHKAN doktor sukar dan mengalami beberapa masalah jika hamil, seorang wanita istimewa yang sangat tabah tampil berkongsi kisah hidup.

Siapa sangka dilahirkan dengan mempunyai dua uterus, dua serviks dan dua vagina juga mampu mengandung dan melahirkan zuriat seperti orang normal.

Begitu yang dilalui seorang wanita, Nur Hasmidah Hamzah, 31, yang berkongsi kisah hidup keajaiban dilalui menerusi TikTok buat ramai warganet buka mata.

SinarPlus kemudian terus menghubunginya untuk mendengar sendiri ceritanya.

Akui anak jati Kedah itu, dia terkejut dan tak sangka apabila disahkan mengandung dua tahun lalu.

“Sebab doktor beritahu dulu peluang untuk wanita yang ada dua rahim ni mengandung, tipis. Kalau mengandung pun, senang keguguran. Dan kaedah bersalin pun hanya melalui pembedahan serta bayi pramatang.

“Rahim ganda ini ruang dia sempit. Jadi bila bayi makin besar, rahim akan ‘expand’ kan. Saya bernasib baik sebab kandungan tiada masalah. Sakit apa pun tak rasa.

“Masa kandungan dah 3rd trimester, bayi pun jantung ok, tak ada abnormal apa. Dan tak songsang. Mula bayi lapan bulan, dia dah tak boleh pusing-pusing,” ujarnya kepada SinarPlus.

Kredit foto: Pexels

Baca juga 2 rahim, haid 2 kali sebulan, wanita ‘aneh’ kongsi uterine didelphys

Bicara Hasmidah lanjut, dia mengetahui keadaan diri mempunyai dua rahim itu ketika berusia 26 tahun.

“Dapat tahu umur 26 tahun. Ketika itu masih bujang. Ia bermula ketika itu saya mendaki bukit Broga dengan kawan-kawan. Saya mengalami sakit perut yang amat sangat.

“Selepas itu pendarahan jadi abnormal berwarna hitam pekat dan berterusan selama tiga bulan. Sebelum itu, darah haid saya juga dua kali sebulan. Bila tanya kawan-kawan, ada yang mengalami perkara sama jadi saya tak sangka rahim abnormal. Saya lakukan pemeriksaan di klinik.

“Selepas scan doktor maklumkan rahim saya ada dua cuma tak tahu lagi bentuk dan jenisnya. Perlu lakukan MRI untuk selanjutnya. Sangat rare dan jarang berlaku tapi ada. Nisbahnya satu dalam sejuta.

“Saya menangis dan terduduk selepas doktor menerangkan keadaan diri saya dikenali Bicornuate Bicollis berisiko sukar mengandung selain jika hamil akan mengalami keguguran atau bayi pramatang serta bersalin hanya secara pembedahan,” ujarnya.

Bagaimanapun katanya, dia tidak merahsiakan perkara tersebut kepada pasangan (suami sekarang) dan bersyukur dapat menerimanya.

faraj feminine wash rahim ovari

Baca juga Isu suami dayus biarkan isteri bersalin dengan doktor lelaki, cara Ustaz Azhar Idrus dipuji

Dalam pada itu, wanita yang kini menetap di Terengganu itu bersyukur dikurniakan seorang bayi perempuan yang kini berusia setahun lapan bulan.

“Tak pernah sangka akan ada lagi ‘kekurangan’ yang menguntungkan ibu. Terlahirnya anak sayang ibu dari rahim ibu yang berbeza dengan orang lain.

“Ibu mempunyai dua rahim, dua serviks dan dua faraj tapi anak ibu lahir secara normal dan sihat. Berat lahir 3.05kg.

“Insya-ALLAH, jika diizinkan ALLAH, saya boleh bersalin lagi selepas ini. Saya pun lepas bersalin dan habis darah nifas, setahun enam bulan juga tak datang bulan.

“Bulan November lepas baru datang bulan (haid) untuk pertama kali selepas bersalin. Dan hanya sekali kitaran je darah keluar. Mungkin darah dari rahim yang kedua belum mahu keluar,” bicaranya.

Pesan Nur Hasmidah buat wanita di luar sana yang sedang mengalami masalah diri mahupun zuriat, kekal tenang dan bersangka baiklah selalu dengan aturan ALLAH.

Iklan

Baca juga Dr Hamid Arshat kongsi makanan baik untuk rahim, bagus diamalkan wanita

Menjengah ruangan komen perkongsian video wanita itu, ada antaranya baru mengetahui tentang keajaban ALLAH itu sekali gus ia membuka mata ramai.

“Seorang perempuan yang hebat apabila dia mampu hadapi masalah bertarung nyawanya betul-betul berserah nyawa pada penciptaNya.”

“Pertama kali dengar dan teruja… hehehe hebat awak. Agak-agak boleh jadi kembar dua rahim kan.”

“Kes rare, kuasa Tuhan, harap awak dipermudahkan segala urusan.”

“Pernah tengok jenis dua rahim. Awak salah sorang yang dapat luar biasa. Dulu saya fikir, ye ke ade. Sekarang da terbukti memang ada.”

“Awak itu bukan kekurangan. ALLAH sedang tunjukkan bukti kekuasaan dia pada awak. Subhanallah, ALLAH Maha Besar, saya baru tahu.”

Sementara itu ini sedikit info berkaitan wanita dua rahim;

Iklan

1. Wanita dua rahim atau mempunyai rahim berganda adalah satu keabnormalan yang jarang berlaku. Keadaan ini berkembang dan berlaku sejak dari bayi di dalam rahim ibunya lagi.

2. Setiap rahim bermula sebagai dua tiub kecil disebut saluran Mullerian. Sewaktu tumbesaran, ia akan bersatu membentuk satu rahim atau uterus.

3. Namun dalam kes jarang berlaku, tiub tetap terpisah dan membentuk dua saluran rahim yang berbeza.

4. Keadaan ini juga dikenali sebagai didelphys uterus. Ia adalah satu bentuk malformasi rahim kongenital di mana wujudnya dua rahim. Malahan ada juga yang hadir dengan dua serviks.

5. Selalunya faraj wanita dengan keadaan ini akan dibahagikan kepada dua bukaan yang dipisahkan oleh selaput nipis.

6. Keadaan yang dialami bukan penghalang untuk proses kehamilan. Walau bagaimanapun, wujud risiko yang tinggi untuk berlakunya keguguran atau kelahiran bayi pramatang.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.