100 keranda berisi mumia, 40 patung emas dijumpai dalam keadaan masih kukuh
MUMIA merupakan mayat yang telah diawetkan supaya ia tidak reput dengan menggunakan bahan tradisional atau campuran bahan kimia.
Pada zaman dahulu terdapat beberapa bangsa di dunia yang mengamalkan adat mengawet mayat seperti kaum Incas dari Peru dan orang asli Australia. Tetapi bangsa yang paling terkenal dengan adat mengawet mayat menjadi mumia adalah orang-orang Mesir purba.
Perkara tersebut dibuktikan sekali lagi apabila baru-baru ini Mesir mengumumkan penemuan lebih 100 keranda yang masih kukuh iaitu harta karun kuno dan sekali gus dianggap sebagai satu penemuan terbesar tahun ini.
Menurut laporan portal akhbar tempatan, keranda kayu yang tertutup kemas dengan keadaan yang masih kukuh itu didakwa adalah milik pegawai tinggi Mesir purba.
Ia ditemui di tiga kawasan kubur pada kedalaman 12 meter di perkuburan Saqqara di selatan Kaherah. Turut ditemui di tempat tersebut adalah 40 patung emas yang dipercayai patung dewa kuno dan topeng penguburan.
Penemuan yang dianggarkan lebih 2,500 tahun itu kini dipamerkan di pameran sementara di Step Pyramid of Djoser yang terkenal di Saqqara, Mesir.
Saqqara adalah tempat pengkebumian ibu kota Mesir kuno Memphis iaitu Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Ahli arkeologi membuka satu keranda untuk mendedahkan seorang mumia dibungkus dengan kain kafan yang dihiasi dengan gambar hieroglif berwarna terang.
Sehingga kini kerja menggali masih diteruskan dan menurut Menteri Antik dan Pelancongan, Khaled al-Anany, Saqqara masih belum mendedahkan semua isinya kerana ini adalah harta karun.
Penemuan terbesar itu berlaku kira-kira sebulan selepas ahli arkeologi di kawasan itu menjumpai 59 keranda kayu lain yang terpelihara dan bertutup, dipercayai berusia 2,500 tahun yang lalu.
Artifak itu dipercayai dari Dinasti Ptolemy yang memerintah mesir selama 300 tahun dari sekitar 320 tahun ke 30 tahun sebelum masihi.
Penemuan bersejarah itu juga akan diedarkan ke beberapa muzium di Mesir termasuk Muzium Besar Mesir yang belum dibuka di dataran tinggi Giza yang kini masih dalam proses pembinaan.
Beliau mengaitkan banyak penemuan di Saqqara dalam kerja penggalian yang dilakukan dalam beberapa tahun ini, malah akan mengumumkan beberapa penemuan baharu.
Ahli arkeologi juga berharap dapat menemui bengkel kuno untuk pembuatan keranda kayu untuk mumia tidak lama lagi, menurut Mostafa Waziri iaitu Setiausaha Agung Majlis Tertinggi Antikuiti.
Mesir berharap penemuan arkeologi akan mendorong pelancongan, iaitu sektor yang mengalami banyak kejutan sejak pemberontakan tahun 2011 hingga wabak Covid-19 hari ini. - AFP
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang