'17 saat terakhir yang menyayat hati…' Tragedi Air India AI171 gegar dunia, mayday juruterbang undang sayu
DETIK-detik terakhir tragedi Air India AI171 menyayat hati. Juruterbang, Kapten Sumeet Sabharwal, dilaporkan sempat membuat panggilan mayday hanya beberapa saat sebelum pesawat itu terhempas. Kapten Sumeet yang berpengalaman dengan lebih 8,200 jam penerbangan sempat memberi amaran cemas tidak lama selepas berlepas pagi Khamis lalu.
Beliau dan First Officer Clive Kunder yang mempunyai lebih 1,100 jam pengalaman di udara berjuang sedaya upaya cuba menyelamatkan 242 nyawa, termasuk nyawa mereka sendiri.
Hanya beberapa saat sebelum pesawat itu terjunam di pinggir bandar Ahmedabad dan terhempas ke sebuah kawasan perumahan dan merempuh sebuah kolej perubatan yang ketika itu dipenuhi doktor, pelajar dan kakitangan.
“Mayday… tiada daya tujahan, hilang kuasa, tak dapat naik,” katanya.

Di dalam kokpit, dua juruterbang berpengalaman hanya memiliki masa 17 saat untuk bergelut menyelamatkan pesawat tapi teknologi tercanggih sekali pun tak mampu menandingi kuasa takdir.
Dilaporkan, insiden tragis itu meragut sekurang-kurangnya 241 nyawa termasuk 229 penumpang dan 12 anak kapal. Pesawat Boeing 787-8 Dreamliner yang dalam perjalanan ke London itu baru sahaja naik ke paras 400 kaki apabila kedua-dua enjinnya dilaporkan gagal secara serentak. Penerbangan AI171 sepatutnya menempuh perjalanan sejauh 4,200 batu ke London dalam masa hampir 10 jam tetapi malangnya ia hanya mampu pergi terbang 1.5 batu dari landasan sebelum menjunam ke kawasan padat di Meghaninagar, Ahmedabad, Gujarat.
Dentuman kuat menggegarkan kawasan itu. Pesawat terhempas tepat ke asrama doktor di Kolej Perubatan BJ. Api menjulang ke langit. Debu dan serpihan logam berterbangan. Kawasan itu berubah menjadi zon bencana, seolah-olah sedang dilanda perang.

Dianggarkan lebih 50 orang awam di sekitar turut terkorban manakala ramai lagi yang tercedera. Pada saat kejadian, difahamkan pelajar dan staf Kolej BJ sedang menikmati makan tengah hari di kantin. Menerusi video yang tular di laman sosial, mereka berlari menyelamatkan diri meninggalkan meja masih penuh dengan makanan yang ditinggalkan dalam ketakutan.
Kini, pakar-pakar penerbangan cuba memahami apa yang sebenarnya berlaku. Ada yang percaya kawanan burung mungkin disedut ke dalam enjin, menyebabkan kegagalan menyeluruh seperti insiden Jeju Air di Korea Selatan.
Pasukan penyiasat masih giat mencari kotak hitam kedua bagi merungkai punca sebenar insiden yang meragut 241 nyawa itu. Harapan kini tertumpu kepada data penerbangan bagi memahami apa sebenarnya terjadi dalam saat-saat genting itu.

Tetapi ada juga yang berkata rakaman video tidak menunjukkan asap atau letupan dari enjin seperti kebiasaan bagi pesawat yang tersedut masuk burung. Teori lain pula timbul iaitu kemungkinan besar flap pada sayap pesawat tidak berfungsi seperti sepatutnya.
Bangkai belakang pesawat sepanjang 186 kaki itu kelihatan terkeluar dari tingkat atas kolej. Sayap yang terputus dan cebisan besar pesawat bertaburan di kawasan sekitar.

Sekurang-kurangnya lima hingga enam bangunan berdekatan hangus dijilat api. Pesawat ketika itu dikatakan sarat membawa 80 hingga 90 tan bahan api untuk penerbangan jauh ke London.
Sekadar info, model 787-8 merupakan antara pesawat badan lebar paling laris di dunia.
Pesawat yang terlibat dalam nahas itu telah diserahkan kepada Air India pada Januari 2014, menurut laman sesawang penjejak penerbangan Flightradar24.
Sumber: Daily Mail, Bernama
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
