Air kencing harimau undang kontroversi, zoo di China jual RM30 sebotol ubat sakit sendi

PELIK bin ajaib! Sebut sahaja fasal harimau pasti ramai yang tergambarkan kebengisan haiwan buas itu.
Tindakan sebuah zoo di China ini menjual air kencing harimau benar-benar buat penulis terkedu.
Bagaimana agaknya cecair itu diperolehi dalam kuantiti yang banyak hingga mampu dikomersialkan?
Yaan Bifengxia Wildlife Zoo di Sichuan menerima kritikan hebat selepas menjual air kencing harimau Siberia pada harga 50 yuan atau RM30.27 sebotol yang didakwa mampu merawat rheumatoid, terseliuh dan sakit otot.

Zoo yang dikenali sebagai tarikan pelancong bertaraf dunia itu turut mendakwa bahawa air kencing harimau terbabit mempunyai kesan terapeutik bagi merawat masalah kesihatan seperti sakit otot.
Tulisan label di botol itu mendakwa air kencing harimau mempunyai kesan terapeutik yang baik dan berupaya memulihkan penyakit arthritis rheumatoid, terseliuh dan sakit otot.
Selain itu, mereka turut mencadangkan agar botol yang mengandungi kira-kira 250 gram air kencing itu diminum namun memberi amaran untuk menghentikan penggunaannya sekiranya timbul sebarang reaksi alahan.

Menurut seorang pekerja di zoo berkenaan, air kencing harimau tersebut dikutip dalam sebuah takungan namun tidak ada penjelasan sama ada ia melalui proses disinfeksi sebelum dijual kepada orang ramai.
Pada tahun 2014, zoo itu juga dilaporkan memberikan air kencing harimau sebagai hadiah kepada pemenang selebriti dalam sebuah rancangan realiti.
Terdahulu, seorang pengunjung mengakui membeli air kencing harimau untuk ahli keluarganya namun mendakwa belum melihat sebarang kesan positif setelah menelan air kencing haiwan berkenaan.

Seorang lagi pengamal perubatan tradisional Cina mempersoalkan kelayakan zoo untuk menjual produk perubatan, dengan menyatakan bahawa semua ubat mesti diluluskan oleh pengawal selia kerajaan.
Bagaimanapun, kakitangan zoo menegaskan mereka mempunyai lesen perniagaan untuk menjual air kencing harimau tersebut.
Insiden itu tular di media sosial tanah besar China, dengan topik berkaitan mendapat lebih daripada 35 juta tontonan.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang