Tertipu ubat titis mampu hilangkan rabun, wanita ini hilang penglihatan buat selamanya!
TIDAK boleh bayangkan sebelum ini penglihatan yang baik dan jelas sahaja tiba-tiba hilang sekelip mata disebabkan oleh mencuba produk titisan mata di luar.
Itulah yang terjadi kepada seorang wanita muda dalam usia 20-an yang dikongsikan oleh Public Health Malaysia (PHM) boleh dijadikan peringatan untuk kita semua.
Menurut perkongsian itu, wanita tersebut datang ke klinik mata dengan hati penuh harapan, tetapi pandangannya kian kabur.
"Beberapa bulan lalu, dia masih dapat melihat dunia dengan jelas walaupun memerlukan cermin mata. Kini, semua berubah. Gelap. Kosong.
"Dalam usaha memulihkan penglihatan, dia percaya pada seorang peniaga yang mengadakan demonstrasi di surau. Ubat titis mata yang dijual kononnya “ajaib”, mampu menyembuhkan rabun jauh. Dia menggunakannya setiap hari, dua kali sehari.
"Hasil pemeriksaan mendapati tekanan dalam bebola matanya sangat tinggi. Saraf matanya telah hancur, ditekan kuat hingga penglihatannya tidak dapat diselamatkan lagi," tulis PHM.
Setelah dilihat, ubat titis yang digunakan sebenarnya mengandungi steroid iaitu bahan yang boleh menyebabkan Steroid Induced Glaucoma, sejenis kerosakan saraf mata yang kekal.
Sementelah itu, memetik kata-kata Dr Kamarul Ariffin dalam perkongsian beliau sebelum ini penting untuk mengetahui jenis-jenis ubat titis mata yang terdapat di pasaran.
1) Pelembab/pelincir (moisturizer/lubricants)
Digunakan apabila mata menjadi kering atau rengsa akibat cuaca, penuaan, penggunaan kanta lekap, masuk habuk, dan sebagainya.
2) Anti-alahan (Anti-inflammatory)
Digunakan apabila mata menjadi gatal, merah dan bengkak akibat terdedah kepada sesuatu yang menyebabkan alahan.
3) Anti-merah mata (decongestant)
Digunakan untuk menghilangkan gejala mata merah, tetapi tidak merawat puncanya. Sejenis pengecil salur darah (vasoconstrictor).
4) Antibiotik dan antikulat
Digunakan untuk menghapuskan bakteria atau kulat yang menjangkiti mata. Ia perlu digunakan ikut tempoh yang disyorkan.
5) Kombinasi
Ubat titis yang menggabungkan dua atau lebih bahan aktif dari kumpulan berlainan, contohnya antibiotik dan anti-alahan.
Selain itu, terdapat juga ubat titis yang diberi oleh doktor untuk tujuan atau penyakit spesifik, contohnya:
1) Anti-glaucoma
Digunakan untuk megurangkan penghasilan cecair di dalam bebola mata untuk mengurangkan tekanan di dalamnya.
2) Midriatik
Digunakan untuk mengembangkan bukaan anak mata secara sementara, supaya pemeriksaan mata mudah dijalankan.
Oleh itu, pemilihan ubat titis yang betul amatlah penting.
Jika anda pernah terdengar dakwaan ubat titis boleh menyembuhkan rabun, katarak, atau masalah mata lain, berhentilah sejenak. Fikirkan mata anda. Jangan biarkan penipuan meragut nikmat penglihatan.
Jika mempunyai keraguan atau ketidakpastian, disarankan agar pesakit bertemu dengan doktor untuk pemeriksaan dan pengesyoran ubat.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang